Bunyi bankrap pun dah menakutkan. Dalam konsep kewangan, seolah-olah hukuman gantung pula. Malangnya lagi punca bankrap adalah pinjaman peribadi, kad kredit, penjamin pinjaman dan hutang kenderaan sewa beli.

Kadar bankrap di Malaysia semakin menakutkan dan mencecah lebih daripada 50 individu diisytiharkan bankrap setiap hari!

Dan lebih mendukacitakan lagi, bilangan belia berusia 25 tahun hingga 35 tahun yang bankrap semakin bertambah saban tahun. Inilah akibatnya bila meletak emosi dalam kewangan.

Okay, sebelum saya mula membebel, jom kita ketahui sedikit sebanyak tentang bankrap.

1. Apa itu bankrap?

Dalam bahasa mudahnya, kita berhutang namun tidak membayar hutang lalu diisytiharkan muflis melalui perintah Mahkamah.

2. Macam mana saya boleh bankrap pula?

Ada dua cara Mahkamah boleh bankrapkan anda:

πŸ‘‰ Melalui permohonan daripada pemiutang
πŸ‘‰ Secara sukarela mendapatkan perintah Mahkamah membankrapkan diri sendiri

3. Apakah kelayakan untuk bankrap?

Pemiutang contohnya macam bank boleh memohon Mahkamah bankrapkan anda jika berhutang melebihi RM30,000.

4. Apa akan jadi jika saya bankrap?

Of course hilanglah peluang kita untuk bermain salji di luar negara. Selepas ini nak pergi selfie di oversea terpaksalah buat permohonan dulu di Jabatan Insolvensi.

5. Tak apa, pergi oversea tak penting. Ada kesan lain tak?

Segala harta anda secara automatik akan menjadi milik KPI. Dan KPI berhak untuk menjual semua harta tersebut untuk diagihkan kepada pemiutang yang memfailkan bukti hutang. Tapi kalau kita ini Cik Tipah yang memberi hutang main kutu tak dapatlah balik duit kita ya. Jadilah kita Tipah tertipu. Hmm.

6. Eh! Macam mana Insolvensi boleh mengambil alih harta dan simpanan saya pula?

Setelah diisytiharkan bankrap, semua akaun simpanan akan ditutup dan segala transaksi akan disekat. Anda boleh membuka akaun baru hanya dengan kebenaran KPI. Sila hadiri cawangan Insolvensi yang mentadbir kes anda.

7. Tudiaaa… Kad kredit saya pun dah tak boleh gunalah ya?

Boleh dengan syarat tidak melebihi RM1,000. Jika lebih anda perlu mendapatkan kelulusan bank dan memaklumkan status bankrap anda. Menyembunyikan status bankrap dianggap melakukan kesalahan di bawah Akta Kebankrapan 1967.

8. Alamak! Rasa insaf pula. Boleh ke saya segera jelaskan kesemua hutang saya selepas bankrap?

Maaf dik. Sudah terlambat. Individu bankrap tidak dibenarkan membuat pembayaran terus kepada pemiutang. Bayaran tersebut hendaklah dikreditkan ke Insolvensi dan akan diagihkan kepada pemiutang yang telah memfailkan β€œBukti Hutang”.

9. Adakah status bankrap menjejaskan status pekerjaan saya?

Mungkin ya dan mungkin tidak tertakluk kepada terma dan syarat di dalam kontrak pekerjaan majikan. Namun, pekerja bertanggungjawab penuh untuk memaklumkan kepada majikan akan status tersebut.

10. Sedihnya menjadi bankrap. Seolah-oleh BANKRAP – BERAKHIRLAH SUDAH kehidupan saya.

Duhai sahabat mulia, selagi hidup, tiada masalah yang wujud tanpa penyelesaian. Jika dah tersangkut, terdapat beberapa cara untuk β€œbebas bankrap” seperti:

πŸ‘‰ Membuat permohonan pembatalan ke mahkamah dengan alasan hutang telah dijelaskan sepenuhnya
πŸ‘‰ Kes bankrap telah melebihi lima tahun dan melepasi syarat-syarat KPI bagi pelepasan bankrap.
πŸ‘‰ Memberikan kerjasama yang baik dengan Jabatan Insolvensi

11. Apa pandangan saya bagi isu bankrap ini?

Si celik kewangan memang dipandang kejam. Golongan ini tidak akan sesekali menjadi penjamin pinjaman, membuat hutang peribadi untuk menghantar keluarga ke umrah, guna kad kredit untuk persandingan gah atau berbangga memandu kereta jenama gah. Kenapa? Kerana wang adalah angka. Dan angka bukan emosi.

12. Pesanan merangkap bebelan bagi mengelak risiko bankrap?

πŸ‘‰ Tolak secara baik permintaan saudara-mara untuk menjadi penjamin hutang bank. Biarlah bermasam muka seketika demi masa depan terlindung dari gelap gelita.
πŸ‘‰ Jelaskan kepada ibu bapa jika impian mereka membuatkan anda terpaksa memohon hutang peribadi. Sayangilah masa depan anak-anak duhai ayah dan bonda mulia.
πŸ‘‰ Usahlah termakan pujukan tunang untuk pelamin mewah. Belum kahwin mengeletis habiskan pitis, selepas kahwin jadi pengikis. Maaf, pantun ini sedikit pedih.
πŸ‘‰ Pejamkanlah mata memandu kereta berjenama biasa. Biar dipandang selebet asalkan poket jauh bergaya.
πŸ‘‰ Yang paling penting, jauhi emosi dengan angka. Ini adalah demi kebaikan masa depan kewangan anda. Dalam membuat keputusan kewangan, utamakan angka dan fakta semata-mata.

Jika nak ikut, ikutlah sahabatku sayang. Jika tidak mahu, hidup anda adalah pilihan anda. Saya yang tua ini cuma berpesan saja. Mengingatkan diri dan arjuna beta semoga tidak menjadi punca anak atau keluarga berhutang di masa hadapan.

Semoga saya tidak meminta anak-anak sesuatu yang mereka tidak termampu.

Oh ya, saya sayangkan semua sahabat saya!
Salam sayang daripada ibu yang akan tua juga.