Baru-baru ini seorang rakyat Malaysia, Abdul Rahman Hashim atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Hashim’ telah mendapat anugerah iaitu pingat Order of Australia (OAM) sewaktu sambutan Hari Australia pada 26 Januari yang lepas.

Menurut sumber, pengiktirafan tersebut telah diberikan oleh Gabenor Jeneral Australia kepada Abdul Rahman, 79 tahun atas semangat dan kerja keras beliau dalam membantu komuniti Islam di negara terbabit.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Abdul Rahman merupakan antara individu yang terkenal di Australia kerana beliau dengan sukarelanya telah membantu komuniti Islam serta rakyat Malaysia di Canberra setiap tahun.

Menurut laporan terbitan Free Malaysia Today, hanya tiga tahun selepas penghijrahan beliau ke Australia pada tahun 1969, beliau telah bertindak menubuhkan sebuah Persatuan Rakyat Malaysia Australia sebagai usaha dalam menyatukan rakyat Malaysia di Canberra.

“Ideanya adalah untuk menjaga mereka. Masalah utama yang sering dihadapi adalah di sana tiada daging halal.

“Jadi saya bersama-sama beberapa rakan telah berbincang dengan kerajaan persekutuan dan mereka bersetuju menjadikan penyembelihan halal sebagai sesuatu yang sah,” kata beliau sewaktu ditemu bual di stesen radio ABC menerusi saluran YouTube Anil Sabah Al Ahmad Masjid.

Selain itu, sepanjang berada di Canberra beliau turut menjadi salah seorang sukarelawan di hospital dengan menjaga pesakit yang beragama Islam. Aktiviti sukarelawan tersebut difahamkan bermula sewaktu isterinya menerima rawatan bagi penyakit kanser.

Masih aktif membantu komuniti Islam di Canberra

Walaupun usia beliau telah mencecah 79 tahun, beliau dipercayai masih aktif melakukan aktiviti sukarelawan seperti mengajar komuniti Islam di Canberra membaca Al-Quran serta melakukan upacara pengebumian.

“Kami telah melatih mereka tetapi kebanyakan daripada mereka agak keberatan kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai jenis mayat, sama ada normal atau kematian yang disebabkan kemalangan, jadi mereka memerlukan masa untuk menangani perkara tersebut,” kata beliau.

Aktiviti sukarelawan beliau difahamkan turut diiktiraf oleh Perkhidmatan Awam Australia dan telah menerima anugerah tertinggi Rotari iaitu Felow Paul Harris pada 1987 ketika beliau menganggotai Kelab Rotari Bandaraya Canberra.

Tambahan lagi, beliau turut terbabit di dalam pelbagai persatuan termasuklah Majlis Pelajar Luar Negara Canberra, Persatuan Pelajar Malaysia, Persatuan Pelajar Islam Canberra dan Persatuan Rakyat Malaysia Australia sewaktu zaman muda beliau di Universiti Canberra.

Usaha terkini beliau adalah pelancaran Australian Muslim Aged and Respite Care iaitu sebuah platform di mana ia membantu masyarakat Islam di Canberra menggunakan perkhidmatan kebajikan yang dibayar oleh kerajaan.

Objektif perkara tersebut adalah bagi menyediakan tempat yang selesa serta menanggung rawatan perubatan sepenuhnya bagi warga emas yang beragama Islam.

Baca perkongsian kami yang sebelum ini mengenai pasangan tukang urut yang dikatakan telah berjalan kaki sejauh 20km demi mencari rezeki melalui pautan di bawah.

Pasangan Tukang Urut Jalan Kaki Sejauh 20km Demi Cari Rezeki Dapat Perhatian Dr Zulkifli

Takut Kena COVID-19, Lelaki Ini Tinggal Di Lapangan Terbang Selama 3 Bulan