Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan bilangan kes wabak COVID-19 yang tertinggi dalam masa satu hari, iaitu 3,027.

Ini menjadikan angka kes aktif keseluruhan membawa kepada 25,221 dan secara keseluruhan, Malaysia sudah mencatat lebih 120,000 kes sejak COVID-19 datang melanda negara.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Rekod ini bukanlah satu rekod yang boleh dibanggakan. Keadaan ini telah menimbulkan kegusaran di dalam hati para doktor yang melihat situasi yang semakin hari, semakin tidak terkawal.

Terbaharu, seramai 46 doktor pakar kesihatan terkemuka telah bertindak menghantar surat terbuka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka menyuarakan kebimbangan dan merayu agar kerajaan Malaysia menyediakan satu strategi baharu bagi mengatasi kadar jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat saban hari.

Seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini, barisan doktor pakar memohon agar kerajaan mengambil jalan yang lebih serius dalam menangani wabak COVID-19 di dalam negara, “Pengurusan pandemik Covid-19 negara memberi gambaran yang suram dan tidak terkawal.”

Mereka turut menyatakan kebimbangan dengan Kadar Ujian Pengesanan Positif berada pada tahap yang jauh daripada tanda aras keberkesanan pengawalan pandemik yang ditetapkan oleh WHO.

Susulan daripada itu, mereka tampil memberi 10 cadangan kepada kerajaan Malaysia bagi mengatasi situasi COVID-19 yang melanda negara, lapor Awani.

Antara cadangan yang dikemukakan oleh para doktor adalah kadar ujian saringan ditingkatkan menggunakan ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK) berbanding kit PCR bagi mendapat keputusan dalam tempoh kurang dari 24 jam.

Selain itu, mereka juga mencadangkan supaya individu positif COVID-19 yang tidak bergejala dikuarantikan di rumah dan mengalihkan kesemua pesakit bukan COVID-19 ke hospital-hospital bukan khusus untuk COVID-19 serta hospital swasta.

Para pakar juga meminta agar proses mendapatkan vaksin COVID-19 dipercepatkan, manakala maklumat mengenai vaksin disampaikan kepada rakyat Malaysia.

Di akhir surat, mereka turut memohon agar isu COVID-19 tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak dan fokus utama adalah untuk meratakan keluk jangkitan.

“Jangan mempolitikkan pandemik ini, sebaliknya, bentukkan konsensus bipartisan serta kata sepakat untuk pendekatan bagi meratakan keluk jangkitan dan mencapai kelompok imuniti sebagai perlindungan masyarakat untuk hidup bersama virus ini.

“PRU15 di tengah-tengah pandemik yang tidak terkawal ini adalah satu bencana yang hanya menunggu masa untuk berlaku, seperti yang dibuktikan dengan PRN Sabah.”

Untuk rekod, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan dengan peningkatan kes setiap hari akan membawa sistem kesihatan kita kepada tahap yang tenat dan berada di peringkat ‘genting’ (breaking point).

Bagi anda yang mahu membaca surat terbuka 46 doktor kepada Perdana Menteri, boleh klik disini.

Terdahulu, sistem kesihatan di peringkat breaking point, katil hospital di seluruh Malaysia hampir penuh. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Sistem Kesihatan Di Peringkat ‘Breaking Point’, Katil Hospital Di Seluruh Malaysia Hampir Penuh