2021 baru sahaja menjengah beberapa hari, kebanyakan rakyat Malaysia menitipkan harapan agar tahun ini berlangsung dengan lebih baik. Sekurang-kurangnya tidak seperti tahun lalu, apabila cabaran datang dari pelbagai penjuru.

Pandemik tahun lalu telah memperlihatkan bagaimana kita perlu membiasakan diri dengan norma baharu. Tidak cukup dengan itu, COVID-19 juga telah membawa kepada kesan ekonomi yang teruk, hingga ada rakyat Malaysia yang dibuang kerja dan hilang punca pendapatan.

Namun, bak kata salah seorang cendekiawan, kerja tuhan, siapa tahu? Tidak sampai beberapa hari tahun 2021, Malaysia sudah dilanda bencana alam.

Semalam kita dikejutkan dengan cuaca yang luar biasa. Negara kita dilanda ‘cuaca sejuk’ apabila merata tempat dilaporkan menghadapi hujan, langit mendung dan diselebungi kabus. Suhu di sekitar Lembah Klang turun sehingga 23 darjah Celcius akibat musim Monsun Timur Laut yang juga dikenali sebagai ‘musim sejuk’.

Ada beberapa tempat yang dilaporkan hujan tidak berhenti selama 24 jam. Tidak cukup dengan itu, terjadi juga kejadian tanah runtuh dan keretakan jalan disebabkan cuaca yang tidak menentu.

Di Pahang, Redzuan Abdul Manap, wartawan dan juga editor di NTV7 melaporkan semalam akibat arus deras sungai serta hakisan, ia telah menyebabkan sebahagian jalan di Jambatan Lechar Dong, Raub runtuh.

Di Bentong pula, Jabatan Kerja Raya melaporkan terdapat kejadian Tanah runtuh di Jalan Bentong menuju ke Raub lama. Kejadian itu menyaksikan hampir separuh daripada jalan utama runtuh dan memaksa pengguna jalan raya untuk mengambil alternatif lain.

Di Johor pula, KOSMO! dalam laporannya pagi tadi menyatakan jumlah mangsa banjir di negeri terbabit kembali meningkat apabila seramai 7,112 mangsa banjir dipindahkan ke 68 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka setakat pukul 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata bahawa situasi hari keempat bencana banjir ini menyaksikan daerah kota tinggi mencatat kes yang mendadak dengan seramai 559 mangsa banjir dalam tempoh 12 jam hingga kini.

Selain itu, sebahagian rakyat Malaysia juga dilaporkan terkandas dan tidak dapat pulang ke Kuala Lumpur apabila jalan utama dinaiki air. Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) yang menghubungkan Kuantan – Kuala Lumpur difahamkan masih ditutup selepas dilimpahi air susulan hujan lebat berterusan.

Bagi para netizen, mereka melihat bencana alam ini berlaku disebabkan pembanggunan yang berlangsung dari pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerakusan dan sikap tamak beberapa pihak telah menyaksikan kejadian tanah runtuh dan bencana alam yang sukar dikawal.

Akaun Instagram, @savefraserhill semalam turut mengadu kepada pihak berwajib agar bersifat peka dan ambil tahu. Difahamkan hampir 15 tanah runtuh dan pokok tumbang akibat hujan lebat yang berterusan semalam.

“Inilah yang kami maksudkan ketika kami mengatakan bahawa para saintis mempunyai laporan bahawa tanah di Bukit Fraser tidak sesuai untuk pembangunan berskala besar.

“Anda belum memulakan pembinaan, lebih dari 15 tanah runtuh dan pokok tumbang disebabkan oleh hujan lebat yang berterusan hari ini, ” katanya sebelum menyambung sebahagian daripada penduduk Bukit Fraser terkandas di atas dan mendesak pihak berwajib untuk memahami kepentingan ekosistem.

Bagaimanapun, dugaan yang menimpa ini turut diambil secara positif oleh rakyat Malaysia. Sebahagian daripada mereka dirakam telah melakukan beberapa aksi lucu. Antaranya seperti video lucu seorang pemandu lori yang memasak maggi di dalam kenderaannya apabila terkandas di tengah banjir.

Biarpun 2020 menjadi titik luka rakyat Malaysia apabila terpaksa menghadapi situasi pandemik yang tidak terkawal, namun masih ada harapan bahawa tahun ini akan membawa satu cerita baharu untuk rakyat Malaysia.

Walaupun permulaan 2021 dilihat membawa kepada bencana alam dan juga beberapa kejadian yang tidak diingini. Ia adalah sebahagian permulaan awal, sudah pasti akan ada cerita lain yang mampu membuatkan kita tersenyum. Lebih senyum daripada sebelum ini.

Terdahulu, aksi lucu seorang lelaki sempat masak maggi dalam lori ketika banjir buat netizen terhibur. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Sempat Masak Maggi Dalam Lori Ketika Banjir, Aksi Lelaki Ini Buat Ramai Terhibur

Anda Mungkin Suka