Durioo+ merupakan platform penstriman tempatan yang menfokuskan kepada gaya hidup Muslim mesra kanak-kanak. Kandungan yang ditawarkan bersesuaian dengan kanak berusia 9 tahun dan ke bawah dengan pelbagai nilai murni yang diterapkan dengan cara lebih santai.

Untuk makluman, Durioo+ telah dilancarkan pada Februari 2022 lalu dan pengasasnya Sinan Ismail mendapat inspirasi untuk memperluaskan penawaran kandungan yang mesra kanak-kanak berlandaskan Islam selepas pembangunan animasi Omar & Hana.

Baca Juga:

Sumber Gambar: Amanz

Selepas setahun beroperasi, syarikat Durioo kini mengumumkan mereka telah berjaya meraih suntikan dana pelaburan berjumlah RM12.5 juta dan ia telah melonjakkan nilai syarikat tersebut kepada RM100 juta.

Ini boleh dikatakan satu pencapaian yang luar biasa buat syarikat yang dikira baru setahun jagung di dalam industri. Kejayaan ini juga hasil daripada input yang diterima oleh pasukan yang diterajui Sinan Ismail ini, melalui program Y Combinator – yang turut melahirkan sejumlah syarikat berjaya seperti Airbnb, Dropbox, Twitch dan sebagainya.

Sumber Gambar: Amanz

Durioo kini mempunyai sejumlah pelabur strategik dalam syarikat mereka termasuklah dari Y Combinator, Uncommon Capital, Gabi Partners, Lynett Capital, New Venture Order dan juga Innate Capital. Platform penstriman ini kini mempunyai 22,000 pelanggan aktif berbayar yang melanggan pada harga RM12.90 sebulan.

Menjelang penghujung 2023, Durioo menyasarkan mencapai 100,000 pelanggan berbayar dan dengan sasaran 1 juta pelanggan berbayar menjelang 2025 kelak. Sinan Ismail turut mengatakan mereka tidak mempunyai sebarang perancangan memperkenalkan pelan percuma di sokong iklan.

Sumber Gambar: Durioo+

Dari segi kandungan pula, sehingga kini Durioo telah menghasilkan lebih 20 rancangan tersendiri dibawah label Durioo Originals, disamping turut melesenkan lebih 1,500 episod rancangan dari penerbit seluruh dunia. Durioo turut menyasarkan untuk memperluaskan ia kepada lebih 5000 kandungan dalam beberapa bulan akan datang.

Sinan Ismail turut secara ringkas menyentuh mengenai perancangan lima tahun akan datang mereka. Ini termasuk menyertai arena permainan video yang mesra kanak-kanak dibawah label Durioo Games, disamping turut bersama Durioo Commerce, Durioo Learning, dan Durioo Experiences.

Sumber