Pada awal minggu ini tular satu pengumuman oleh Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengenai taman tema Disneyland akan dibina pada tahun 2027 di negeri tersebut.

Bagaimanapun kenyataan itu sekadar spekulasi sahaja apabila seorang wartawan CNN telah menghubungi pihak Disney dan memaklumkan bahawa tiada perancangan rasmi pembinaan taman tema Disney di negeri berkenaan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Terbaharu Kerajaan Melaka hari ini membuat permohonan maaf berhubung cadangan pembinaan taman tema ‘Disneyland’ atau ‘Disney City’ di negeri ini yang tular sehingga dianggap diputuskan secara rasmi.

Menurut Muhammad Jailani, pembinaan taman tema itu masih dalam perancangan dan tidak ada sebarang persetujuan atau pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani setakat ini.

Tambah beliau lagi, MoU tersebut melibatkan antara antara syarikat Metrolink Sdn Bhd dan Menara Taming Sari Berhad adalah untuk mengadakan Sistem Maglev yang bakal menghubungkan semua tempat pelancongan di Melaka dan bukan MoU Disneyland.

“Tapi syarikat Metrolink ada menyatakan perancangan seperti saya cakap tempoh hari untuk mengadakan Disneycity di Jasin, Melaka. Jadi ini satu perancangan.

“Kami tidak ada menyatakan bahawa sudah ada persetujuan atau MoU dengan Disneyland. Saya boleh saja nak merancang esok nak bina Burj Khalifa di Melaka, tidak semestinya pengurusan Burj bersetuju.

“Saya meminta maaf atas kekeliruan ini tapi saya sedar satu fakta bahawasanya Disney mempunyai reputasi yang baik, mungkin atas keterujaan tak sabar kalau boleh ia (Disneyland di Melaka) jadi realiti, maka tiba-tiba Disneyland ini dah jadi ‘out of proportion’, digembar-gemburkan dan hampir pasti berada di Melaka.

“Tidak, kita dalam perancangan. Mungkin kerana itulah tertularnya seolah-olah Disney sudah bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat Tourism Melaka, Ayer Keroh, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi KCI Metrolink Sdn Bhd, Dr Parimalan R Isa Michael.

Muhammad Jailani berkata, pada sidang media berkenaan pihaknya tidak pernah menyiarkan apa-apa berkaitan Disneyland kecuali video Sistem Maglave kepada hadirin.

“Kita pamerkan video Maglave iaitu rangkaian sistem kereta api Maglev yang tiada geseran, tidak pakai minyak, tidak membawa bunyi dan ini sealiran konsep ‘bandar hijau’ direncanakan kerajaan Melaka.

“Saya sekali lagi minta maaf atas kekeliruan yang berlaku ini. Mengenai Disneycity atau Disneyland ini adalah perancangan syarikat dalam pada mereka merancang membangunkan Meglav kalau boleh ada peluang untuk Disney masuk dan buka cawangan atau mini Disney,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, bahawa kekeliruan itu bukan berpunca daripada pengumuman dibuatnya, sebaliknya salah tanggapan oleh pihak lain.

“Saya minta maaf kerana banyak orang salah sangka, tapi saya tidak yakin saya melakukan kesilapan. Pihak syarikat maklumkan kepada kami hasrat atau perancangan untuk bawa Disney ke sini.

“Yang dispekulasikan ini seolah-olah sudah ada persetujuan, perjanjian dan komitmen, (sedangkan) ini perancangan kami memajukan negeri untuk kepentingan rakyat. Salahkan saya merancang?” katanya.

Sementara itu pada bulan Mac lalu, Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberitahu bahawa taman tema bertaraf dunia bakal dibina di Melaka dan dijangka akan siap pada tahun 2026. Pembinaan taman tema dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion dijangka menarik 5 juta pengunjung setiap tahun.

Sumber