Kisah pemilik tidak sempat memandu kereta baru akibat keretanya mengalami kemalangan bukanlah satu perkara yang asing lagi dikalangan kita. Sebelum ini melibatkan sebuah Proton X50 dan Mercedes-AMG E43 yang dipandu oleh orang lain.

Pada petang semalam, tular beberapa keping gambar menunjukkan sebuah Nissan Skyline GTT R34 hancur teruk setelah melanggar sebatang pokok di satu kawasan di Johor.

Difahamkan sewaktu kejadian, pemandu yang membawa kereta tersebut merupakan ‘orang tengah’ yang menguruskan proses jual beli di antara pemilik lama dan pemilik baru kereta tersebut.

vocket-nissan-skyline-gtt-r34-kemalangan-1
Sumber Gambar: IG Story @hafishazam
vocket-nissan-skyline-gtt-r34-kemalangan-2
Sumber Gambar: IG Story @hafishazam

Menurut hantaran Facebook pemilik lama kereta tersebut, beliau sudah selesai menjual keretanya kepada pemilik baru dengan transaksi bayaran penuh dan thumbprint menggunakan e-auto bagi urusan penukaran nama pemilik kereta pada pukul 2.18 petang semalam.

Beliau telah memaklumkan kepada pemilik baru yang kereta tersebut telah diletakkan di rumah ‘orang tengah’ yang telah diberikan kepercayaan oleh pemilik baru bagi menguruskan keretanya.

Namun selepas 1 jam beliau meninggalkan kereta tersebut, beliau telah dimaklumkan yang kereta yang baru ditinggalnya kepada ‘orang tengah’ sebentar tadi telah mengalami kemalangan.

Sejurus menerima berita tersebut, beliau dan rakan-rakannya yang lain bergegas menuju ke tempat kejadian untuk melihat keadaan kemalangan tersebut. Ternyata remuk hati beliau apabila melihat keadaan kereta kesayanganya yang dimodifikasi daripada ‘kosong’ telah hancur teruk pada bahagian hadapan akibat ‘melekat’ pada pokok.

“Kenapalah dia (‘orang tengah’) pergi langgar pokok, kalau langgar tiang lampu mungkin tak seteruk ini,” luah kekecewaan beliau semasa sesi Instagram live dibuat di tempat kejadian semalam.

vocket-nissan-skyline-gtt-r34-kemalangan-3
Sumber Gambar: IG Live @hafishazam

Terangnya lagi, beliau berasa simpati dengan pemilik baru kerana bukan sahaja tidak sempat untuk memandu kereta barunya, bahkan dia (pemilik baru) tidak pun sempat melihat kereta tersebut di depan matanya sendiri.

Walaubagaimanpun, pemilik lama dan baru serta ‘orang tengah’ bersemuka bagi mendapatkan penjelasan yang lebih jelas mengenai insiden kemalangan yang berlaku. Kesemua pihak telah pun bersetuju untuk menyelesai perkara tersebut dengan baik.

Dalam hantaran Facebook pemilik lama kereta tersebut turut ada memberitahu, beliau terpaksa menjual kereta kesayangannya bagi menampung kos-kos beberapa perniagaannya seperti bengkel tayar kereta, restoran makan barat dan sebuah lagi restoran Texas BBQ yang akan dibuka tidak lama lagi.

Beliau turut berharap agar orang ramai dapat mengambil iktibar daripada insiden kemalangan yang tular ini agar bakal pemilik apa-apa kenderaan serta ‘orang tengah’ sentiasa berwaspada kerana kejadian yang tidak diingini seperti ini boleh berlaku jika tidak cekap untuk mengawal kenderaan tersebut.

Tambah beliau lagi, adalah lebih baik pihak ‘orang tengah’ dan pemilik baru kenderaan menggunakan perkhidmatan tunda kereta bagi memastikan kenderaan tersebut selamat sampai ke destinasi.

Pada bulan Mac lalu, seorang pemilik kereta ‘berputih mata’ apabila kereta barunya yang dipandu oleh jurujual terlibat dalam kemalangan.

Pandu Proton X50 Pelanggan 180km/j, Sales Advisor Kemalangan Dan Kereta ‘Total Lost’

Lelaki Ini Kongsi 12 Panduan Penting Sebelum Anda ‘Lenjan’ Kereta Ketika Pandu Uji