Masalah lipas dalam kereta rasanya perkara biasa untuk semua pemilik kenderaan lagi-lagi kereta yang bawa anak kecil. Kita tak terlepas untuk makan dan minum dalam kereta jadi sisa makanan yang jatuh di bawah atau celah-celah kerusi memang mengundang lipas untuk menjadikan kereta anda sebagai tempat permainan mereka.

Memang rasa marah dan annoyed kalau nampak lipas melintas di atas dashboard ketika kita sedang memandu. Sebelum ini dah banyak cara saya guna untuk bunuh lipas-lipas ini. Spray ubat lipas semalaman, gunakan perangkap lipas; tetapi lipas yang tertangkap tidak seberapa. Mungkin lipas dalam kereta saya sudah mutasi untuk immune dengan segala ubat lipas versi chemical ini.

Tetapi sedang saya berjalan di Econsave, terdetik untuk mencari perangkap lipas yang baharu. Dan nyata ada satu jenis perangkap yang masih belum saya cuba dan dari segi packagingnya pun cantik. Produk buatan Jepun pula tu! Nama perangkap ini adalah Trap-A-Roach jenama Hoy Hoy. Comel juga nama perangkap ni. Jadi saya pun beli satu untuk cuba.

Packaging produk yang comel

Berdasarkan gambar pada kotak ini, ianya mampu untuk memerangkap lipas serta cicak. Fuh, cicak pun boleh. Kalau dalam kereta anda turut bela cicak mungkin ini solusinya. Saya ingat packaging sahaja yang lawa, rupanya bentuk perangkapnya pun comel sungguh!

Bentuk perangkap apabila siap dipasang

Cara pasangnya pun mudah sahaja. Cuma ikut sahaja arahan bergambar yang ada pada perangkap ini. Apabila siap, ianya berbentuk seperti sebuah rumah banglo satu tingkat. Rumah Lipas ini akan mengalu-alukan kedatangan lipas dan cicak untuk bertandang ke dalam. ‘Juadah makanan’ atau umpannya pun sudah diberi sekali bersama di dalam kotak ini. Tetapi sengaja saya tambah cokelat dan kacang supaya lipas-lipas ini lebih terliur dan rakus untuk masuk ke dalam perangkap.

Hasilnya? Dalam masa tak sampai 6 jam, Rumah Lipas sudah berjaya tangkap 7 ekor lipas! Tertipu mereka ingatkan ada open house, rupanya termasuk ke dalam perangkap. Padan muka. Saya sangat berpuas hati sebab sebelum ini saya gunakan perangkap lipas dari jenama lain yang murah. Tetapi langsung tidak dapat tangkap seekor pun. Umpan habis tetapi lipas berjaya larikan diri. Tetapi tidak kali ini.

Antara lipas yang sudah terpedaya

Sempat lagi kalau anda nak pasang perangkap sebelum mulakan perjalanan pulang ke kampung untuk cuti raya. Rasanya perangkap jenama Hoy Hoy ini ada dijual di semua cawangan Econsave. Harganya? RM9.45 untuk 5 keping. Saya rasa perangkap lipas ini adalah antara investment terbaik yang saya buat tahun ini. Memang berbaloi.

Kalau anda nak pasang perangkap ini di dapur pun tak ada masalah kerana gamnya tahan selama lebih tiga minggu selepas ianya dipasang. Katakan tidak pada lipas. Lipas tidak comel. Mereka tidak berhak untuk berada di dalam kereta kita. Selamat mencuba!

P/S: Nanti kita lawan berapa ekor lipas yang ada dalam kereta. Jika anda ada cara atau tips lain untuk basmi lipas yang lebih berkesan, boleh kongsi di ruangan komen. Peace!