Korea Utara dibawah pimpinan Kim Jong Un sering menampilkan cerita-cerita kuku besi dalam menghukum rakyat yang gagal mematuhi undang-undang. Terbaharu, menerusi laporan media antarabangsa, kisah seorang kanak-kanak dihukum seumur hidup pula menjadi bualan ramai.

Menerusi laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat, difahamkan bahawa seramai 70,000 orang yang berpegang kepada prinsip keagamaan telah ditahan. Ini termasuk seorang bayi yang berusia dua tahun yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana ibu bapanya ditahan kerana memiliki Bible.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Laporan itu menekankan pemenjaraan sebuah keluarga pada 2009 berdasarkan amalan agama mereka dan pemilikan Bible oleh ibu bapa. Seluruh keluarga, termasuk seorang bayi berusia dua tahun, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

“Hak kebebasan berfikir, hati nurani, dan agama [di DPRK] juga terus dinafikan, tanpa sistem kepercayaan alternatif yang diterima oleh pihak berkuasa,” kata Setiausaha Agung PBB António Guterres pada Julai lalu.

Guerres menulis bagaimana keadaan di Korea Utara tidak berubah sejak laporan hak asasi manusia 2014, yang mendapati bahawa pihak berkuasa “hampir sepenuhnya menafikan hak untuk kebebasan berfikir, hati nurani, dan agama” dan mendapati bahawa kerajaan pimpinan Kim Jong Un melanggar hak asasi manusia.

Di Korea Utara, kesalahan yang dilakukan oleh seorang ahli keluarga akan berjangkit kepada ahli keluarga yang lain. Dalam kes ini, walaupun ibu bapanya dianggap memiliki Bible, tetapi pihak berkuasa di sana mengganggap bahawa kesemua ahli keluarganya bersalah kerana memiliki Bible.

Walaupun perlembagaan negara menyatakan bahawa rakyatnya bebas untuk mengamalkan mana-mana agama, dengan syarat ia tidak membawa budaya asing sehingga memudaratkan sistem sosial. Tetapi secara umum, masyarakat global tahu bahawa Korea Utara berpegang kepada prinsip bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah.

Orang beragama yang telah dikenakan hukuman penjara di Korea Utara menggambarkan ia suatu pengalaman yang teruk dengan pelbagai bentuk penganiayaan fizikal. Laporan itu juga menyatakan bahawa Kementerian Keselamatan bertanggungjawab terhadap 90% pelanggaran hak asasi manusia yang didokumenkan terhadap kedua-dua penganut Shaman dan Kristian.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Korea Utara akan menahan dan menghukum mana-mana individu yang terlibat dalam amalan keagamaan, memiliki barang keagamaan, mempunyai hubungan dengan orang beragama, atau berkongsi kepercayaan agama.

Individu yang didapati bersalah boleh ditangkap, ditahan, dipaksa bekerja, diseksa, dinafikan perbicaraan yang adil, dihantar pulang, dinafikan hak untuk hidup, atau dikenakan keganasan seksual.

Laporan pada tahun 2022 pula mendapati bahawa kerajaan Korea Utara terus “menghukum mati, menyeksa, menangkap dan mendera rakyatnya secara fizikal kerana terlibat dengan aktiviti keagamaan.”

Walaupun terdapat sebilangan kecil institusi agama yang didaftarkan secara rasmi, mereka difahamkan diarahkan untuk beroperasi di bawah kawalan kerajaan yang ketat dan berfungsi sebahagian besarnya sebagai pameran untuk pelancong asing sahaja.

Sebuah organisasi bukan kerajaan, Korea Future pada 2021 telah melaporkan penyalahgunaan kebebasan beragama terhadap wanita di negara terbabit. Laporan itu, yang menemubual lebih 100 wanita Kristian mendakwa bahawa bentuk penderaan yang paling biasa bagi mereka yang didapati menganut agama ialah penahanan tanpa bicara, penyeksaan, pengusiran, kerja paksa, dan keganasan seksual.