Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib berkata kepada New Straits Times (NST) bahawa kajiannya mendapati secara purata 52,900kg sampah dihasilkan setiap hari daripada 5,694 lot perniagaan bazar ramadan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Jika kita kira 90 peratus daripada 52,900kg, ia adalah 47,610kg dan jika ia dibahagikan dengan penggunaan makanan per kapita sehari, iaitu 1.2kg, kita boleh memberi makan kepada 39,675 orang dengan jumlah sisa makanan itu,” katanya kepada NST.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ummi berkata, sebahagian besar bahan buangan itu, iaitu purata 49,800kg, datang daripada 5,260 lot bazar di Kuala Lumpur. Setiap lot bazar, katanya, menghasilkan purata 9.5kg sisa makanan.

Sebanyak 434 lot bazar di Putrajaya menghasilkan kira-kira 3,200kg sisa atau purata 7.3kg setiap lot sehari, tambahnya.

Sumber Gambar: NST

“Jadi kita mempunyai kira-kira 52,900kg sisa di Kuala Lumpur dan Putrajaya setiap hari, dan jika kita membahagikannya dengan 28 hari, ia akan menjadi 1,481kg.”

Ummi berkata 81 peratus peniaga berkata mereka mengitar semula baki makanan mereka.

Bagaimanapun, tiada bukti untuk menyokong dakwaan itu, katanya, sambil menambah 16 peratus daripada peniaga mendakwa mereka mampu menjual semua makanan mereka.

“Kira-kira 74 peratus daripada mereka berkata mereka telah membuang kurang daripada 1kg makanan, dan lapan peratus lagi telah membuang lebih daripada 1kg makanan.

“Itu agak tinggi, kan? Kami mahu ia menjadi sifar sisa makanan tetapi itu mustahil.”

Beliau mengaitkan pembaziran makanan itu berpunca daripada penyediaan makanan yang tidak dirancang oleh peniaga.

Ummi Kalthum Shuib | Sumber Gambar: NST

“Pada masa awal, mereka harus melihat trend. Sekiranya perniagaan perlahan pada Isnin-Jumaat, sebagai contoh, mereka boleh mengurangkan jumlah makanan yang mereka jual,” katanya.

Beliau berkata peniaga yang menjual makanan siap bungkus juga menyumbang kepada peningkatan pembaziran makanan kerana ia memaksa pelanggan membeli lebih daripada apa yang mereka perlukan.

“Anda tidak boleh beli dua kuih, kena beli lima. Kami nak cuba dua jenis kuih, tapi tak boleh, dan kalau beli dua, kami tak boleh habiskan.

“Saya meminta penjual menjual separuh daripada bahagian itu kepada saya, tetapi mereka tidak membenarkan saya berbuat demikian. Itu adalah sikap buruk untuk mengaut keuntungan hanya untuk menghabiskan apa sahaja yang anda jual.

“Ini juga menambahkan pembaziran makanan di rumah kami,” katanya sambil menambah bahawa untuk mengurangkan pembaziran, orang ramai juga harus merancang pembelian mereka di bazar.

Beliau turut menggalakkan pembeli membawa bekas sendiri dan menggunakan semula beg.