Salah satu rahsia yang dibongkarkan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah koleksi beg tangan mewah Datin Seri Rosmah Mansor yang dirampas semasa serbuan di rumah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terbaharu, menurut Sinar Harian, beg tangan berjenama yang bernilai jutaan ringgit  telah dirosakkan secara cuai oleh pihak polis semasa mengendalikan barang-barang tersebut.

Peguam yang mewakili Najib dan Rosmah, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, kerosakan pada beg tangan itu disedari semasa pemeriksaan barang yang dilakukan di Bank Negara. Pemeriksaan dibuat oleh Najib, Rosmah dan anak perempuan mereka, Nooryana Najwa.

“Beg berharga jutaan ringgit rosak kerana ia ditanda secara terus, ia menunjukkan pihak berkuasa lalai dalam menjalankan tugas terhadap barangan terbabit.

“Sudahlah anak guam saya tidak diberi peluang untuk berada di lokasi ketika kesemua barangan dirampas, proses penyitaan dilakukan secara tidak teratur,” katanya.

Ketika prosiding permohonan melucut hak harta di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin di sini semalam, Shafee menambah bahawa pihak polis telah menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit disebabkan kecuaian mereka mengendalikan beg tangan tersebut.

“Sekarang kerajaan harus bertanggungjawab untuk membayar kerosakan atau mengganti balik produk,” katanya seperti yang dilaporkan oleh South China Morning Post.

Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin menolak tuntutan itu dan mengatakan bahawa semua barangan tersebut telah didokumentasikan mengikut prosiding.

Dia juga menambah bahawa dakwaan mengatakan barang-barang yang dirampas telah rosak adalah tidak tepat kerana ia telah disimpan dengan selamat di peti besi yang berada di Bank Negara dan hanya boleh diakses oleh pegawai yang diberi kuasa.

Terdahulu, kami pernah mengeluarkan satu laporan disebalik kemewahan Datin Seri Rosmah yang mempunyai 284 beg mewah. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Mungkin Ini Penyebab Isteri Bekas PM Malaysia Beli 284 Beg Mewah

Rosmah Mansor Ditahan SPRM Dan Bakal Didakwa Esok

Najib Razak Dan Isteri Bakal Muncul Dalam Siri Dokumentari ‘Dirty Money’ Di Netflix?