Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini telah disaman susulan daripada pembubaran parlimen. Saman yang difailkan oleh penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU), lapor Berita Harian.

Selain itu, Charles turut menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan – membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen – hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Peruntukan Perkara 40(1) menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Manakala (1A) adalah sewaktu menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Charles juga menuntut satu deklarasi bahawa permintaan Defendan Pertama kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober 2022 untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat, atau berdasarkan kuasa am, Jemaah Menteri dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

Beliau juga menuntut satu deklarasi bahawa pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober 2022 seperti yang dimaklumkan melalui P.U.(A) 320 tidak mengikut Perkara 55(2) dibaca bersama Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Justeru, Charles menuntut satu deklarasi bahawa defendan ketiga iaitu SPR, tidak mempunyai asas undang-undang untuk mengambil apa-apa langkah mengadakan PRU. Beliau juga memohon suatu perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi untuk menghalang defendan ketiga dan ejen, pengkhidmat dan/atau pekerjanya daripada mengambil sebarang langkah untuk mengadakan PRU berdasarkan kepada pembubaran itu.