Kebiasaannya, ular, sesumpah, kura-kura serta anak buaya merupakan antara haiwan eksotik paling popular untuk dijadikan haiwan peliharaan bagi sesetengah pencinta haiwan.

Namun, lain pula ceritanya bagi seorang bekas guru agama, Azhar Mohamad Shafawi, 49 tahun yang kini lebih memilih untuk menternak dhab atau biawak pasir sekali gus menjanakan pendapatan yang lumayan. Harga seekor dhab yang sudah matang adalah sekitar RM5,000.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sanggup meninggalkan kerjaya guru

Khabarnya, beliau sanggup meninggalkan kerjaya lama sebagai pendidik demi menumpukan sepenuhnya terhadap penternakan dhab ini. Beliau juga berkata, permintaan dhab yang tinggi pada ketika ini mendorong beliau untuk meninggalkan kerjaya gurunya itu.

Bagi yang belum mengetahui, memakan dhab ini dipercayai baik untuk kesihatan tubuh badan. Paling penting, ianya halal dimakan dan menjadi kegemaran bagi penduduk di negara-negara Asia Barat seperti Mesir dan Arab Saudi.

Hanya bermula dengan sepasang dhab

Menurut laporan halaman Berita Harian, hanya bermodalkan sepasang dhab yang dibawa pulang dari Mesir pada tahun 1994 lalu, Azhar kini membuktikan kepada umum bahawa beliau telah berjaya menternak lebih kurang 100 ekor dhab yang ditempatkan di kediaman beliau sendiri.

“Hanya bermula dengan sepasang dhab jantan dan betina, kini bilangan dhab yang saya ternak semakin bertambah. Tumbesaran dhab ini juga agak lambat. Seekor dhab betina perlu mencapai usia matang tujuh tahun bagi menghasilkan 20 hingga 70 telur,” ujar Azhar

Difahamkan, minatnya untuk memelihara haiwan reptilia ini timbul sejak beliau menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir sekitar awal 90-an dahulu. Berkat penternakan dhab yang diusahakan beliau di sana, sedikit sebanyak wang hasil jualan dhab tersebut boleh meringankan perbelanjaan bagi menampung pengajian beliau di Mesir.

Tambahnya lagi, dhab ini kemudiannya berjaya dan selamat dibawa pulang ke tanah air kerana difahamkan pada ketika itu masih tiada lagi penguatkuasaan undang-undang yang melarang membawa haiwan dari luar negara menaiki penerbangan pesawat.

Dhab hanya makan sayur-sayuran

“Menternak reptilia ini tidaklah sesukar mana kerana ia hanya memakan sayur-sayuran yang tinggi kadar air seperti kubis, kacang panjang, daun salad, sawi serta kekacang yang bersesuaian sebagai sumber protein untuk memberikan daya tahan kepada dhab terutamanya apabila mereka berada di cuaca panas.”

Secara kesuluruhannya, Azhar menganggarkan modal sebanyak RM50 sehari diperlukan hanya untuk membelikan makanan bagi dhab ini. Tambahnya lagi, dhab ini sangat sensitif pada air hujan dan memerlukan penempatan yang bersesuaian dengan permukaan kulitnya.

Sensitif pada pasir yang terkena air hujan

“Kawasan penempatannya juga mesti dititikberatkan. Dhab akan sensitif pada kawasan pasir yang terkena air hujan kerana ia boleh melukakan kaki dhab lalu berkudis.”

“Untuk atasi masalah ini, saya cuba meniru dan menghasilkan penempatan habitatnya persis yang biasa terdapat di negara Asia Barat sana.”

“Pasir akan diletakkan di dalam kandang dan beberapa lubang yang diperbuat daripada gelung paip PVC perlu dihasilkan bagi dijadikan sarang untuk mereka berteduh dan menyembunyikan diri,” tambah Azhar lagi.

Kini, Azhar difahamkan sedang giat menghasilkan produk kesihatan berasaskan dhab seperti minyak urut, pil kapsul pati dhab, dan uniknya, dhab juga boleh dijadikan pati campuran bagi kopi. Malah, beliau juga berjaya meraih hampir 100 ejen bagi memasarkan produk-produk ini.

Dalam pada itu, baca lagi perkongsian daripada kami mengenai seorang lelaki yang berhenti menjadi pengurus bank demi menjadi petani menerusi pautan di bawah. 

Lelaki Ini Nekad Berhenti Kerja Sebagai Pengurus Bank Untuk Kejar Impian Jadi Petani

10 Tahun Buat Katering, Usahawan Ubah Kanopi Jadi Reban Ayam Selepas Terkesan Pandemik

Penternak Lembu Berjaya Jana Pulangan RM25 Juta Meski Tanpa Pelajaran Tinggi

Sumber