Di zaman serba tidak menentu ini, pelbagai kisah menarik dan menyayat hati yang kita dengar. Ada orang dibuang kerja, manakala yang lain pula terhenti punca pencarian. Semua disebabkan wabak COVID-19.

Kesan ini bukan sahaja menimpa orang kebanyakan, ia juga turut menimpa bekas pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang kini berkecimpung dalam bidang penghantar makanan.

Dia yang ditemuramah oleh Harian Metro menegaskan bahawa dia senang melakukan pekerjaan ini kerana boleh menunggang motosikal, sebuah kenderaan yang sudah menjadi kebiasaan dan minat bagi seorang pelumba.

Bagaimana tercetusnya idea?

Umum tahu bahawa sejak wabak COVID-19 menyerang negara pada awal tahun ini, kebanyakan aktiviti sukan telah direhatkan bagi menghalang penularan wabak COVID-19.

Disebabkan larangan ini, Azlan telah memilih jalan lain bagi meneruskan kerjayanya dengan membantu perniagaan keluarganya, Santai Brooo, yang menjual nasi ayam penyet.

Idea untuk menjadi penghantar makanan mula tercetus selepas negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebanyakan rakyat Malaysia dilarang untuk keluar daripada rumah.

Jadi daripada situ dia mula bertanya pada dirinya mengapa tidak dia menjadi ‘budak penghantar’ makanan ke rumah pelanggan

Melalui temubual dengan Harian Metro, Azlan akui bahawa dia tidak malu menjadi penghantar makanan. Baginya, apa sahaja kerja yang memberikan rezeki yang halal dan membuatkan dia gembira, dia bersedia.

Lebih manis lagi katanya, sepanjang menjadi penghantar makanan, ada sebahagian daripada peminat yang memintanya untuk menghantar sendiri makanan tersebut kerana mereka mahu berjumpa dengannya secara berhadapan.

Dia turut bersyukur dengan rezeki yang melimpah, peminat yang sentiasa memberi sokongan dan permintaan yang diterima juga amat menggalakkan.

Dia yang kini bersama pasukan Onexox Tkkr SAG Team dalam saingan cub prix turut berkongsi harapan agar semua rakyat Malaysia dapat keluar daripada kesan ekonomi yang dihadapi sejak wabak COVID-19 melanda negara.

Baginya, masalah yang menimpa rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi, namun dia percaya bahawa kita mampu untuk mengharunginya bersama-sama.

Terdahulu, seorang pelakon Gerak Khas yang terkenal dengan wataknya sebagai Detektif Lingam kini membuka gerai. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Bakal Pencen Tidak Lama Lagi, ‘Detektif Lingam’ Kini Buka Dapur Gerak Khas