Tahun ini genap umurku 42 tahun.

Sepatutnya di umur umur begini, amalan dan ibadahku semakin mantap.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tetapi hakikatnya? Hanya Allah yang tahu.

Percayakah anda, pada umurku sebegini aku masih belum khatam Al Quran walaupun sekali?

Malahan lebih memalukan, sebelum ini aku tidak mampu langsung untuk membaca Al Quran.

Ketika muda aku tidak merasakan ini satu kekurangan, dan ianya tidak penting bagiku.

Mula Berkahwin

Tapi keadaan mula menekan, apabila detik aku ingin mendirikan rumahtangga, dan bakal suamiku adalah orang Johor, yang memang menitik beratkan pendidikan agama.

Sedangkan aku? Anak kelahiran Kuala Lumpur, yang tidak pernah langsung menjejakkan kaki ke sekolah agama.

Hanya mendapat pendidikan agama ketika di sekolah rendah dan menengah.

Keadaan semakin buruk apabila di sekolah menengah, hampir separuh kelasku terdiri daripada pelajar bukan Islam.

Kelas agama hanya beberapa minit sehari, itupun aku sering ponteng kelas agama dan mengikuti teman-teman bukan Islam menghabiskan masa di luar kelas.

Adakah Aku Solat?

Solat? Iya aku juga solat, tapi sekadar menghafal bacaan dari buku panduan solat yang bertulisan rumi.

Adakah aku membaca bertajwid?

Entah aku tak tahu apa itu tajwid. Aku solat dengan bacaan yang aku hafal bertahun tahun.

Sambung kisah sewaktu aku mula berkahwin

Ketika aku berumur 20an, aku mula rasa tidak lengkap.

Nak kahwin, tapi nak mengaji pun tak pandai, malunya apa nak cakap dengan mertua sedangkan tahu kebiasaan majlis pernikahan diadakan bersama majlis khatam quran.

Dengan muka yang menahan malu, terpaksa aku berterus terang.

Suami menerima aku seadanya, dan memujukku supaya belajar mengaji selepas kahwin nanti.

42tahun-01

Masih Belum Berubah

Hari berganti hari, tahun berganti tahun, aku tetap juga dengan diriku yang masih buta huruf.

Apabila ada majlis doa selamat, majlis Yasin, tahlil, aku sudah mulai rimas, dan resah gelisah, Allah macam mana ni?

Nanti nak mengaji ramai ramai, aku ni tak pandai mengaji. Malulah… adoiii!

Sudahnya jalan paling selamat, terpaksa aku berlakon dan bohong sunat yang aku sedang uzur.

Ok, alasan itu diterima pakai, tetapi satu ketika, di kala itu aku sedang mengandung, keadaan makin sukar, takkan aku nak cakap aku uzur?

Issh pelik pula nanti. Apa alasan aku nak beri ini untuk mengelak? Hendak tak hendak aku terpaksa ambil juga surah Yasin yang dihulurkan kepadaku.

Oklah miming sahajalah, ikut bacaan makcik makcik disebelah aku ini, tapi semakin lama mereka baca semakin laju, tak terdaya aku nak “miming” dah. Terkial-kial aku mengintai muka surat makcik sebelah.

Macam mana nak intai, nombor tulisan jawi pun aku tak tahu.

Allah, begitu sekali tahap buta hurufku.

Apabila selesai bacaan Yasin, aku menarik nafas lega. Fuhhh…

42tahun-02

Titik Perubahan

Aku masih lagi dalam keadaan selesa, dan ada juga pergi mengikuti kelas mengaji tetapi sekadar buat syarat, kerana sesungguhnya kesedaran itu belum ada lagi.

Sampai satu saat, pada tahun 2009, ketika itu aku berumur 36 tahun ibu jatuh sakit.

Ibu batuk tidak berhenti-henti, aku jadi musykil dan semakin risau bila ibu mula hilang selera makan dan semakin lemah.

Ibu dimasukkan ke Hospital Selayang, dan setelah beberapa ujian dan pemeriksaan dilakukan, ibu positif kanser paru-paru tahap 4.

Allah, duniaku gelap, aku hampir pengsan mendengar berita itu. Aku berlari ke surau, dan meraung menangis di dalam surau.

Terus ku capai sejadah menangis mengadu dan berdoa kepada Allah.

Jujurnya hatiku ketika itu kosong.

Ingin aku mengaji untuk ibu, apakan daya, aku tidak mampu.

Ingin aku bacakan Yasin untuk ibu. Aku tidak mampu.

Allah, aku rasa sungguh tidak berguna ketika itu.

Di saat ibu sangat memerlukan doa dari anak anaknya, aku hanya mampu berdoa tetapi tidak mampu untuk membaca Al Quran untuk ibu.

Aku sungguh tertekan!

Ibu Pergi Meninggalkanku

Setelah 2 tahun dirawat di hospital ibu pergi juga menemui kematian.

42tahun-03

Dan saat yang membuatkan aku sangat terkilan hingga ke hari ini, aku tidak mampu untuk membacakan yasin di sebelah jenazah ibu.

Aku hanya mampu berdoa sambil memeluk jenazah ibu.

Sungguh aku terkilan, sungguh aku rasa sangat menyesal.

Maafkan aku ibu. Maafkan aku.

Beberapa bulan selepas itu, hati terasa kosong, sungguh.

Tiba tiba aku terasa ingin menunaikan umrah, sebelum itu beberapa kali aku bermimpi melihat orang tawaf di Kaabah, dan mimpi itu kerap datang.

Aku nekad, dan syukur Alhamdulillah ada rezekiku untuk ke sana. Tetapi kerisauan tetap ada, macam mana ni?

Aku tak pandai mengaji, jawi pun aku tak pandai, apa yang boleh aku buat di sana?

Aku tak boleh mengaji, tapi hatiku terlalu kuat untuk terus ke sana.

Hati ini macam tak mampu dibendung lagi seperti ada satu tarikan magnet yang sungguh kuat untuk aku ke sana.

Aku pasrah dan berserah sepenuhnya pada Allah, aku hanya mampu berdoa:

Ya Allah terimalah aku ini HambaMu yang sangat lemah, tidak mampu mengaji kitab mu sekalipun, aku hanya datang dengan segunung rasa rindu dan rasa cinta padaMu, Ya Allah.

Hidayah di Kaabah

Pertama kali melihat Kaabah, Allah, Allah, Allah, aku hampir rebah, kerana terlalu sebak, sedih, bahagia, tak percaya.

Hanya Allah yang tahu perasaan aku ketika itu.

Air mata mencurah-curah sepanjang pertama kali aku melihat Kaabah.

Sungguh aku terasa amat bahagia. Sungguh dekat dengan Allah.

Tapi cuma satu perkara aku terasa sungguh rugi.

Aku tidak mampu mengaji seperti jemaah-jemaah lain yang bersungguh sungguh membaca Al Quran di dalam Masjidil Haram dan di Masjid Nabawi, aku hanya mampu berzikir dan membaca surah surah lazim yang aku hafal.

Aku tidak berputus asa, ku ambil Al Quran di rak yang disediakan, ku selak satu persatu.

Aku mula membaca, aku mengeja satu persatu, untuk menghabiskan satu baris sahaja sudah berpeluh-peluh.

Apa lagi untuk menghabiskan satu mukasurat.

Air mata sahaja yang tumpah, aku sungguh sedih, Ya Allah maafkan aku Allah, maafkan aku Allah.

Janganlah sampai Kau tidak sudi memandang diriku kerana kekurangan ku ini.

Setiap kali berdoa, aku panjatkan juga doa supaya aku dapat membaca Al-Quran dan sempat khatam sebelum aku pergi menemui Allah.

Air mata adalah teman setia sepanjang aku disana.

Terus Berubah

Selepas beberapa tahun, aku berazam untuk meneruskan niat untuk belajar mengaji, tidak putus putus aku mencari maklumat kelas kelas atau tenaga pengajar yang boleh mengajarku.

Tetapi beberapa jawapan yang diterima agak menghampakan, ada yang cuma mengajar tajwid sahaja, bukan dari kelas asas dan pengenalan huruf.

Ada yang tidak mengambil pelajar dewasa.

Sampailah satu ketika aku menjumpai kelas Celik Al Quran di Facebook.

Syukur Alhamdulillah dengan izin Allah aku dapat mengikut kelas intensif selama 2 hari di Tebrau, Johor.

Kelas bermula dari pagi sampai malam, Masya Allah, tidaklah susah mana pun mengaji ini, bermula dari mengenal huruf, membunyikan huruf dan beberapa hukum tajwid yang mudah.

Cumanya maklumlah di usia usia sebegitu, terasa tepu untuk menyerap semua maklumat dalam 2 hari.

Gigih Berusaha untuk Berubah

Balik dari kelas, semangat mula berkobar-kobar!

Aku mula membeli Al Quran yang besar, maklum sahaja mata sudah tidak berapa terang, dan yang istimewanya ada tulisan rumi dan terjemahan sekali.

Bila mula baca untuk tulisan rumi itu ku tutup dan setelah habis satu perenggan, barulah semak dengan tulisan rumi.

Sungguh seronok bila semakin hari semakin aku boleh membaca.

Kegembiraan Sebenar Mula Terbit

Anak-anak juga mula gembira melihat ibunya membaca Al Quran, anak-anak sukarela untuk menyemak bacaanku.

Syukur Alhamdulillah. Kali pertama membaca, berjaya juga ku habiskan satu mukasurat bermula dengan surah Al-Baqarah.

Masya Allah, nikmatnya rasa hanya Allah sahaja mengetahui, selesai membaca satu muka surat itu aku peluk erat Al Quran itu, kesyukuran tidak henti kuucapkan.

Sampai tersengih sendiri, belum khatam lagi ni dah seronok macam ni.

Cukup membakar semangat untuk terus belajar dan untuk khatam sebelum dijemput Allah.

Azamku untuk mengerjakan haji secepat mungkin dalam keadaan aku telah mampu untuk membaca Al Quran dengan baik.

Ingin sekali aku membaca Al Quran dan khatam Al-Quran di hadapan Kaabah, di dalam Masjidil Haram.

Aku ingin Masjidil Haram menyaksikan aku yang datang buat kali kedua dan telah berjaya khatam Al Quran.

Kepada sesiapa yang membaca coretanku ini, mohon seikhlas hati untuk mengaminkan doaku ini. AllahuAkbar.

Artikel ini pernah diterbitkan dan dikongsikan semula oleh Celik Al Quran.