Nota Editor: Benarkah Jepun hebat kerana bahasa kebangsaan digunakan di dalam penyampaian ilmu? Untuk mengetahui jawapannya, baca perkongsian ini yang telah ditulis oleh Profesor Emeritus Abdullah Hassan di laman Facebook miliknya. Dengan izin beliau, kami kongsikan semula di sini buat bacaan peminat Vocket.

30 November 2015

Bahasa dan Ekonomi

Apabila pendidikan disampaikan dalam bahasa kebangsaan sendiri kita dapat mengekalkan keaslian minda kita. Kita dapat melihat bahawa negara-negara yang berbuat demikian mempunyai minda yang kreatif untuk mencipta alat-alat dan kaedah untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Kita dapat melihat Jepun. Jepun menerima pendidikan Barat. Jepun meniru Barat. Tetapi, Jepun masih Jepun. Dari segi budaya ia masih Jepun. Pentadbirannya, perdagangannya, sains dan teknologinya antara yang terbaik di dunia. Inilah jatidiri Jepun. Ia timbul daripada keaslian mindanya.

Penyampaian pendidikan melalui bahasa kebangsaan sendiri telah mengekalkan minda asli yang kreatif dan jatidiri sesuatu bangsa.

Hingga 500 tahun dulu, bahasa Jepun tidak pun mempunyai sastera. Yang ada hanya lagu-lagu rakyat. Ilmu terkepung dalam bahasa Cina. Pendidikan disampaikan melalui bahasa Cina. Rakyatnya terasing daripada ilmu kerana tidak memahami bahasa Cina.

Pada tahun 1856 Commodore Perry datang dan memaksa Jepun membuka pintunya kepada dunia. Jepun perlu membuat perubahan. Jepun mesti belajar dari Barat, menandingi Barat, dan mengalahkan Barat dalam permainannya sendiri.

Bagaimanakah pemimpin Jepun membina generasi Jepun moden?

Pemimpin Jepun yang memulakan pembaruan pada Zaman Meiji, Yukichi Fuzukawa, berkata Jepun hendaklah belajar dari Barat untuk maju. Count Okuma dalam laporannya mengenai perkembangan pendidikan Jepun dalam Japan by Japanese (1924) mengatakan pemimpinnya maka Jepun kekal Jepun untuk Jepun.

Jepun mahu belajar dari Barat, tetapi mahu mengekalkan kebebasan belajar ilmu pengetahuan. Mereka mementingkan kemandirian ilmu. Bebas menurut kerangka minda Jepun. Dengan demikian Jepun mengekalkan keaslian minda mereka.

Bagi menyampaikan ilmu kepada rakyatnya, Meiji memilih bahasa yang paling luas digunakan. Jepun mempunyai empat peringkat bahasa: bahasa bangsawan, bahasa perwira, bahasa pedagang, dan bahasa petani dan wanita. Meiji memilih bahasa petani untuk menyampaikan ilmu, sebab bahasa itulah yang paling luas penyebarannya.

Jepun juga menghadapi masalah guru, bahasa pengantar, dan istilah. Pengalaman Jepun sama saja dengan pengalaman Malaysia sekarang. Kita boleh belajar daripada Jepun. Selepas Jepun menerima dan melaksanakan pendidikan Barat, ramai pelajar dihantar ke Eropah dan Amerika untuk belajar dan membawa balik ilmu.

Oleh sebab kekurangan tenaga pengajar, pada mulanya ramai pensyarah Amerika dan Eropah diambil bertugas di universiti-universiti Jepun. Tetapi, sedikit demi sedikit mereka digantikan oleh pensyarah Jepun yang pulang dari Eropah dan Amerika tadi.

Umeko Tsuda (Disember 31, 1864 - Ogos 16, 1929) merupakan antara wanita pertama yang dihantar belajar di Amerika Syarikat semasa pemerintahan Meiji.
Umeko Tsuda (Disember 31, 1864 – Ogos 16, 1929) merupakan antara wanita pertama yang dihantar belajar di Amerika Syarikat semasa pemerintahan Meiji.

Pada mulanya 80% pensyarahnya terdiri daripada ekspatriat, tetapi pada tahun 1904 bilangannya menjadi hanya sekitar 30%. Sekarang hampir tiada.

Bahasa Jepun pada masa itu tidak mempunyai sistem ejaan sendiri, ia hanya menggunakan ejaan huruf kanji yang diambil dari sistem ejaan Cina. Oleh sebab itu Jepun membentuk sistem ejaannya sendiri, huruf hiragana untuk perkataan-perkatan Jepun dan katakana untuk perkataan-perkataan pinjaman daripada bahasa asing. Huruf kanji masih dikekalkan.

Apabila timbul masalah sebutan, Jepun memutuskan supaya sebutan menurut sebutan penutur bahasa petani digunakan. Oleh sebab itu, tidak timbul kesukaran belajar dan menggunakan bahasa Jepun dalam bidang ilmu.

Mereka juga pernah mencuba menggunakan bahasa asing sebagai bahasa pengantar. Mereka mengajarkan ilmu medan perang dalam bahasa Rusia, undang-undang dan falsafah dalam bahasa Perancis, kejuruteraan dan sains dalam bahasa Jerman, dan kemanusiaan dalam bahasa Inggeris. Amalan ini dihentikan kerana pendidikan tidak sampai dengan sempurna.

Jepun telah mementingkan menguasai ilmu dengan bebas menurut kerangkanya sendiri. Jepun juga telah menggunakan bahasanya sendiri untuk menyampaikan ilmu supaya dikuasai oleh semua rakyat. Buku-buku teks dan rujukan diterjemahkan untuk kepentingan pelajar.

Pada hari ini kita dapat melihat bagaimana Jepun telah menyerap pendidikan Barat sepenuhnya, tetapi keaslian mindanya masih kekal.

Kita melihat kreativitinya meningkat. Mereka menyerap ilmu barat, tetapi berhasil mencipta barangan Jepun, televisyen Jepun, kamera Jepun, kereta Jepun, jam kuartza Jepun, dll.

Kita dapat melihat betapa mereka menjadi kreatif kerana tidak terkepung dalam minda budaya lain. Minda Jepun menjadi dominan. Minda Jepun dapat menggunakan ilmu sains untuk membina barangan yang diperlukan.

Mereka telah berjaya belajar ilmu dari Barat, kemudian mereka mengungkapkan semula ilmu itu menurut acuan Jepun bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri, menurut keperluan mereka sendiri.

Mereka berhasil mengambil ciri-ciri moden dari Barat dan membawa masuk ciri-ciri itu dalam masyarakat Jepun supaya Jepun menjadi moden. Mereka tidak mengadaptasi segala-galanya, bahasa, budaya dan ciri-ciri barat untuk menjadi manusia moden.

Daripada Barat mereka belajar ilmu sains. Kemudian, mereka mengolah semula ilmu ini untuk keperluan hidup mereka. Contohnya, daripada sains haba dan logam, asas, Jepun mencipta periuk nasi automatik. Mereka menyesuaikan ilmu dari barat bagi memperbaiki kehidupan masyarakat Jepun.

Bangsa Asia lain yang memakan nasi ramai, seperti India, Bangladesh, Pakistan, dan Sri Lanka. Tetapi, oleh sebab mereka menerima pendidikan dalam bahasa asing, minda mereka tidak asli, dan kreativiti mereka tidak timbul walaupun negara-negara ini mempunyai banyak ilmuwan.

Minda Jepun masih asli. Dengan ilmu yang dipelajari dari Barat, mereka mengolah semuanya untuk menyelesaiakn masalah kehidupan mereka.

Jepun belajar teknologi Barat yang menggunakan traktor untuk membajak ladang, mereka ungkapkan semula teknologi itu menjadi traktor kubota untuk keperluan sawahnya.

Mereka belajar tentang enjin penjana elektrik yang mampu mengeluarkan berjuta megawat tenaga, mereka ungkapkan semula teknologi itu menjadi penjana elektrik bimbit yang dapat dibawa ke mana-mana. Dan banyak lagi.

Mereka mendapat kekayaan daripada ciptaan mereka. Barangan yang dicipta oleh Jepun itu tidak pun menggunakan ilmu dan teknologi tinggi seperti pengetahuan sains untuk mencipta periuk nasi automatik. Tetapi, hasilnya mendatangkan kekayaan kepada negaranya. Mereka meminjam dan membeli teknologi Barat, kemudian diungkapkan semula menjadi teknologi Jepun.

Mereka belajar ilmu dengan bebas, tidak mengikut kerangka minda bahasa asing. Dengan itu mereka mengekalkan keaslian dan kreativiti mindanya.

Thailand juga menyampaikan pendidikannya dalam bahasa kebangsaan, dan minda orang Thai kekal asli dan kreatif. Begitu juga Indonesia, Korea, Cina, Taiwan, dan Hong Kong. Malah seluruh rantau Asia-Pasifik mengalami perkembangan ekonomi pesat. Inilah juga kawasan yang menggunakan bahasa kebangsaan dalam pendidikan.

Negara-negara yang menggunakan bahasa asing untuk menyampaikan pendidikan tidak dapat menyaingi kepesatan perkembangan ekonomi bangsa-bangsa yang mindanya asli. Minda mereka lebih kreatif untuk menjana idea bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Korelasi antara pendidikan yang disampaikan melalui bahasa kebangsaan sendiri dengan kejayaan ekonomi adalah suatu bukti yang nyata. Ia adalah hubungan sebab akibat.

Pendidikan yang disampaikan melalui bahasa kebangsaan sendiri telah dapat membina Rakyat yang berpendidikan. Rakyat yang berpendidikan ini mengembangkan ekonomi negara. Bukti ini sudah cukup. Inilah dasar bahasa yang akan dapat menentukan survival kita dalam abad ke-21.

Kita masih perlu mengimport ilmu ke dalam bahasa Melayu, sama seperti yang dilakukan oleh Jepun. Tugas ini perlu kita beri perhatian bersama. Gabungan tenaga dan usaha akan memperbanyak produktiviti dan mempercepat penyebaran ilmu.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram