Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan daripada syarikat minyak terbesar di Malaysia iaitu Shell dengan penarikan balik segala kad bod yang memaparkan Gadis Shell.

Ia adalah berikutan berlakunya perkara tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang menjadikan gambar tersebut sebagai bahan lucah. Ia berikutan gambar seorang lelaki yang tular dengan aksi lucah sewaktu bergambar dengan kad bod Gadis Shell.

Kejadian ini telah mengundang kritikan dan kutukan daripada netizen buat si pelaku yang mengambil gambar dengan aksi yang tidak senonoh. Ada netizen yang berharap bahawa si pelaku itu dibawa ke muka pengadilan.

Melalui daripada kes ini, Gadis Shell telah mengajar kita, terutamanya lelaki, suatu perkara yang kita selalu momokkan. Daripada kes ini juga, kita dapat lihat betapa jijik dan kotornya nafsu kita pada sebuah kad bod yang tidak bernyawa.

Antara lima perkara kes Gadis Shell ini telah ajar kepada kita adalah:

1. Pakaian Tak Menghalang Berlakunya Pencabulan

Kita sering mendengar apabila berlaku suatu kes rogol atau pencabulan, pakaian sering menjadi topik hangat yang dibincangkan. Ini kerana bagi si pelaku, pakaian adalah seperti sebuah tiket untuk seseorang itu memuaskan nafsunya terhadap wanita.

Pakaian yang seksi dan menampakkan bentuk tubuh badan adalah alasan yang sering diberikan oleh si pelaku. Bagi mereka pakaian yang menjolok mata telah menaikkan nafsu mereka.

Pada April 3, 2011 telah berlaku protes yang dipanggil The SlutWalk di mana para gadis berhimpun untuk meminta bahawa budaya cabul dan rogol dihentikan. Mereka juga mengutuk sekeras-kerasnya si pelaku yang menjadikan pakaian sebagai alasan.

Berbeza dengan apa yang berlaku pada Gadis Shell. Beliau telah memakai pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata. Tetapi pencabulan tetap juga berlaku. Si pelaku tetap melihat beliau sebagai salah satu bahan untuk melakukan perkara yang tidak bermoral.

Lalu kita kembali kepada persoalan asal, adakah dengan mengatakan bahawa pakaian seorang perempuan membawa kepada aktivi pencabulan bermaksud beliau boleh dicabul?

2. Meletakkan Status Perempuan Pada Bukan Tempatnya

Ada satu kata-kata daripada seorang cendekiawan Islam di mana beliau mengatakan; perempuan bukan sekadar pagar isi rumah tetapi sebuah taman yang membahagiakan.

Status perempuan di mata lelaki sering menjadi perbincangan. Ada yang mengatakan bahawa perempuan tempatnya di belakang lelaki. Ada juga yang mengatakan bahawa status seorang perempuan lebih rendah dan tidak sama dengan lelaki.

Bagi sesetengah bani Melayu pula, status seorang perempuan tempatnya adalah di dapur. Tidak kira berjaya atau tidak beliau, tempatnya adalah di dapur.

Melalui perlawanan status inilah yang telah mencipta golongan Feminist dimana mereka berjuang bahawa hak kesamarataan diberikan kepada golongan perempuan.

Feminist juga memandang serius tentang aktiviti pencabulan. Atas sebab itu wujud kempen ‘breaking the silence’ dimana mereka meminta agar mangsa untuk melapor kepada pihak berkuasa jika berlaku sesuatu kejadian pencabulan.

Atas apa yang berlaku terhadap Gadis Shell ini, kita dapat lihat bahawa sesetengah lelaki tidak meletakkan seorang perempuan itu pada tempatnya dan tidak menghormatinya.

Apa yang berlaku terhadap Gadis Shell tersebut adalah bukti bahawa sesetengah lelaki tidak melihat perempuan sebagai seorang perempuan. Tetapi melihat perempuan sebagai bahan seks untuk memuaskan nafsu.

3. Antara Lelaki Dan Jantan

Seorang lelaki akan melihat perempuan sebagai seorang perempuan. Lelaki-lelaki ini juga akan menyantuni seorang perempuan dengan sopan dan santun.

Mereka akan melihat seorang perempuan setaraf dengan mereka biarpun berbeza latar belakang kerana bagi seorang lelaki menghormati adalah perkara paling asas yang perlu dikuasai sebelum digelar lelaki.

Tetapi berbeza pula dengan seorang jantan. Jantan akan melihat perempuan sebagai seorang yang lemah. Mereka akan melihat perempuan seperti melihat daun kering di atas tanah yang akan terbang apabila ditiup angin.

Bagi mereka perempuan adalah seperti daun tersebut. Bilamana di arah terbang ke kiri, maka beliau akan terbang ke kiri. Jantan melihat perempuan seperti hamba abdi.

Jantan juga lelaki. Tetapi apa yang membezakan seorang lelaki dan seorang jantan adalah seorang lelaki tahu untuk menghormati seorang perempuan manakala seorang jantan pula hanya tahu dialah tuan kepada si hamba.

4. Sikap

Sikap dan akhlak kita mencerminkan siapa kita. Apabila gambar tersebut tular dan menerima pelbagai kritikan daripada netizen, perkara pertama yang saya tertanya-tanya adalah bagaimana penerimaan keluarga lelaki yang mengambil gambar dengan gaya yang tidak bermoral tersebut?

Saya tidak tahu dan saya tidak mahu meneka.

Tetapi apa yang boleh saya katakan disini adalah baik sikap dan akhlak kita, maka baiklah pandangan masyarakat terhadap keluarga kita.

5. Akibat Nila Setitik Rosak Mat Motor Sebelanga

Tidak dapat dielakkan selepas gambar tersebut tular, mat rempit atau mat motor menjadi bahan kritikan netizen. Mereka seolah-olah menuduh bahawa semua mat motor perangainya sama.

Apa yang boleh saya katakan disini adalah di dalam dunia yang kecil ini mesti ada manusia yang berbeza. Jangan cepat menghukum semua mat motor.

Kesimpulannya, apa yang boleh saya katakan di sini adalah Gadis Shell telah mengajar kita bahawa pencabulan tetap akan berlaku walaupun pada sekeping kad bod.

Artikel di atas disumbangkan oleh Aiman Nazirmuddin. Boleh ikuti beliau di sini.
0 KOMEN

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤