Kerajaan Belanda bercadang untuk mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi kepada Indonesia kerana menjajah dan melakukan perhambaan kepada rakyatnya.

Menurut laporan CNN Indonesia, kerajaan Belanda juga berhasrat untuk membayar €200 juta atau sekitar RM928 juta kepada negara-negara yang menerima kesan daripada jajahan Belanda. Menurut sumber, terdapat juga tambahan €27 juta atau sekitar RM125 juta yang akan diperuntukkan untuk mewujudkan muzium perhambaan.

Tindakan kerajaan Belanda itu adalah respons rasmi kepada laporan tahun lalu oleh Kumpulan Dialog mengenai Sejarah Perhambaan. Kumpulan itu, yang ditubuhkan oleh Kementerian Dalam Negeri, mengesyorkan Perdana Menteri (PM) Mark Rutte mengakui dan memohon maaf atas perhambaan yang dilakukan di masa lalu.

“Di satu pihak, pengiktirafan akan memberikan kepuasan kepada mereka yang menderita di bawah perhambaan, dan di satu pihak lagi, ia akan mempromosikan pandangan kritis terhadap sejarah Belanda dalam erti kata yang lebih luas,” kata kumpulan itu pada masa itu.

Permohonan maaf secara rasmi ini dilaporkan akan disokong oleh kebanyakan ahli Parlimen dan parti-parti politik yang lain.

Pada Julai 2021, Datuk Bandar Amsterdam Femke Halsema secara rasmi memohon maaf atas “penglibatan aktif” bandar itu dalam sistem komersial perhambaan penjajah.

Tahun 2023 akan menandakan 150 tahun sejak Belanda membebaskan puluhan ribu hamba di Suriname dan di pulau Caribbean Belanda. Pada bulan September, semasa lawatan rasmi singkat ke Suriname, PM Rutte berkata “masa yang tepat” untuk pengiktirafan perhambaan.