Petang semalam kita dikejutkan dengan kemangkatan Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, sultan negeri Kedah. Sebagai rakyat Malaysia kami turut berdukacita atas pemergian Tuanku yang pernah menjadi Agong sebanyak 2 kali.

Pagi ini, cucu almarhum Tuanku telah memuat naik perkongsian tentang atuk beliau di Instagram miliknya, kisah di sebalik wajah yang selalu tersenyum tapi ramai di antara kita sebagai rakyat jelata tidak tahu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Tanggungjawab” dan “rakyat”. Inilah dua perkataan yang Tok sering ucapkan semasa masih hidup. Bila difikirkan kembali, manakan tidaknya; inilah asas rutin hariannya bagi memenuhi tanggungjawab sebagai seorang Sultan. Bagi Tok, apa sahaja yang dilakukannya adalah demi rakyat yang tercinta.

Tok sentiasa mencuba yang terbaik untuk memenuhi setiap jemputan acara yang diterima sebagai tanda penghargaan dan hormat; meskipun kadangkala Tok merasa lemah dan kurang sihat kerana Tok tidak mahu menghampakan mana-mana pihak.

Graduan kursus kewartawanan ini juga memberitahu, ada masa mereka sebagai keluarga merasakan perlu untuk menasihati Tuanku Abdul Halim supaya tidak memudaratkan diri terutama semasa Baginda masih memegang takhta sebagai Agong.

“Walaupun selepas cubaan untuk meyakinkannya yang pihak lain pasti akan memahami hadnya sebagai seseorang yang sudah dimakan usia, tok masih tegas dengan pendiriannya – tidak. Ini tanggungjawab Tok.”

Menurut Raja Sarina, sikap bertanggungjawab almahum sultan banyak diwarisi daripada bapa Baginda. “Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Seperti bapanya – Tok percaya bahawa menjadi seorang Sultan merupakan suatu amanah yang besar. Sifat pemurahnya tidak terhad kepada apa yang kita lihat di media; secara senyap-senyap, Tok juga telah menaja pendidikan beberapa orang pemuda sehingga ke peringkat universiti.”

“Melihat rakyatnya berjaya membawa sejuta kegembiraan kepadanya. Kasihnya untuk Kedah boleh diibaratkan seperti kasih seorang bapa yang penuh dedikasi; baginya Kedah adalah seperti anak kecil yang perlu dilindungi dan ditatang sehingga dapat berdikari dan jalan dengan sendiri.”

Mengakhiri catatannya, Raja Sarina memberitahu, apa ang dipelajari daripada atuk beliau adalah untuk tidak membiarkan hidup dikawal oleh tohmahan dan hinaan daripada anasir luar. “Jika kita hidup dengan berintegriti, kenapa perlu kita berasa gentar? Perasaan tersebut hanyalah untuk Allah SWT, dan Allah SWT sahaja.”

sultan-kedah-3

Sementara itu semalam, Raja Sarina juga telah memuat naik kisah belakang tabir tentang atuk beliau yang disifatkan sebagai seorang yang sanggup mengorbankan kesihatan sendiri demi menunaikan tanggungjawab.

Beliau menambah, apabila Tuanku Abdul Halim dimasukkan ke wad kerana kurang sihat, adakala baginda tuanku meminta untuk keluar sebentar dari hospital untuk menghadiri majlis rasmi.

“Tapi sebaik saja majlis selesai, Tok akan balik ke wad dan semua tub akan dipasang semula ke badan Tok. Malah di hari kesihatan Tok sangat tidak baik,  Tok masih akan tiba di majlis rasmi tepat pada waktunya. Tok tak akan biarkan orang menunggu Tok.”

Bagi Raja Sarina, inilah sisi lain di sebalik kehidupan seorang raja yang ramai orang tidak tahu. Kedudukan sebagai raja bukanlah tiket memberi ruang untuk atuknya bersenang lenang sebagai mana yang sering difikirkan oleh sesetengah pihak.

“Tok korbankan kehidupan normal. Tiada istilah privasi dan jadual harian yang normal dalam kehidupan Tok. Kedudukan sebagai raja adalah amanah dari Allah buat Tok.”

Free Malaysia Today pada tahun 2012 juga pernah melaporkan  Sultan Abdul Halim dikenali sebagai pemerintah berjiwa rakyat dan berusaha tanpa mengenal penat lelah dalam menjaga kebajikan rakyat.

Pada Disember 2005 negeri jelapang padi Malaysia telah dilanda banjir terburuk, sehingga menyebabkan Baginda bimbang akan nasib rakyat.

Apabila Kedah dilanda banjir sekali lagi pada November 2010, Baginda turun padang untuk bertemu dengan rakyat di pusat-pusat pemindahan. Baginda menghulurkan sumbangan peribadi berjumlah RM100,000 dan menyeru semua pihak agar mengetepikan perbezaan fahaman dan berusaha bersama-sama untuk membantu rakyat membina semula kehidupan.

Menurut penulis di FMT tersebut, secara peribadi, Sultan Abdul Halim seorang yang bersifat lemah lembut dan komited dalam tugas sebagai ketua negeri.

Baginda juga pernah berjalan kaki sejauh dua kilometer ke stadium Batu Kawan di Pulau Pinang pada 2007 untuk menyaksikan pasukan negeri Baginda beraksi selepas kenderaan yang dinaiki rosak dalam perjalanan.

Buat rakyat Kedah, ketahuilah bukan kalian saja yang bersedih tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Tuanku. Alfatihah.