Nak travel dulu atau miliki rumah dulu? Tajuk ini sangatlah luas spektrumnya, kadar orang pukul rata amatlah tinggi, dan tidak lupa bias seorang penulis adalah mengikut persepsi kepentingannya atau apa yang nak dijualnya.

Ia seperti bertanya:

  • Nak berak dulu atau nak makan lunch dulu?
  • Nak labur dulu atau nak lindung (bertakaful) dulu?
  • Nak beli kereta dulu atau smartphone baru dulu?
  • Nak kahwin dulu atau nak buka bisnes dulu?

Sebagai penasihat takaful, pengembara tegar dan pelabur hartanah, saya tiada dilema nak mana dulu. Saya nak semuanya sekali. Kalau ikut keutamaan saya, kahwin adalah keutamaan paling akhir sekali.

Mereka yang membaca buku saya “Musafir Duniawi” akan faham cara pengurusan kewangan seorang musafir mengikut pendapat saya.

Mazhab saya ialah mazhab kewangan yang sustainable (bertahan lama). Kewangan hartanah dan musafir saya sudahpun masukkan dalam pengurusan kewangan peribadi.

Jadi untuk menyelesaikan masalah ini, perlulah ada pemikiran strategik dan rasional lebih daripada emosional. Perlulah ada kemahiran berfikir aras tinggi lebih daripada kemahiran pukul rata.

1. Matlamat Peribadi

Saya tidak kisah jika sesiapa yang tiada matlamat kewangan (financial goals) kerana wang bukan segalanya. Tapi kalau tiada matlamat peribadi, ini masalah besar kerana hidupnya tiada tujuan langsung sehari-hari.

Matlamat kita berbeza, kelebihan kita berbeza, kemampuan kita berbeza, situasi berbeza, penilaian risiko berbeza. Nak paksa semua orang beli rumah dahulu, atau paksa orang travel seluruh pelusuk dunia dahulu memang bukan caranya.

Itu cara mereka yang hanya mahu menaikkan autoriti diri secara keras sebagai pengembara atau pelabur hartanah. Cara yang terbaik ialah mendidik kepentingan setiap segmen tanpa membid’ahkan kategori yang lain samada kepentingan memiliki hartanah atau kepentingan travel masa muda.

Mereka yang mementingkan capital appreciation dan pendapatan pasif melalui hasil sewa, tiada masalah melabur hartanah dahulu. Mereka yang sebegini mempunyai strategi kewangan yang agresif dan penilaian risiko yang bagus.

Manakala mereka yang suka travel pula adalah seorang introverted, suka berfikir dan melihat kelainan, belajar budaya lain, dan belajar kemahiran baru. Mereka ini adalah risk takers, lagi-lagi golongan backpackers.

Adakah kedua-dua golongan ini saling bertembung dan menentang antara satu sama lain? Sama sekali tidak. Seseorang itu boleh jadi kedua-duanya, seperti saya.

2. Keperluan VS Kemahuan

Rumah kediaman (residential home) adalah keperluan. Cuma untuk mereka yang masih bujang, mereka tiada kepentingan memiliki rumah kediaman pertama terlalu awal berbanding mereka yang sudah berkeluarga dan beranak-pinak.

Mereka yang bujang boleh berkongsi menyewa atau duduk dengan keluarga. Kalau mahu beli rumah pertama, ia adalah lebih afdhal untuk pelaburan berbanding untuk kediaman, samada untuk menyewa atau capital appreciation.

Manakala, golongan yang berkeluarga boleh juga menyewa (kerana ia lebih jimat daripada membeli rumah untuk kediaman). Namun untuk jangka masa panjang mereka perlu berusaha juga untuk ada rumah persendirian bagi memberi keselesaan kepada pasangan dan anak-anak terutamanya selepas kematiannya.

Itu baru penilaian bujang dan berkeluarga. Belum masuk mereka yang kerjanya berpindah sana sini. Selalu offshore. Selalu keluar negeri. Mereka yang dalam syarikat kurang stabil seperti oil dan gas atau mereka yang baru saja memulakan bisnes.

Travel pun banyak kategori, jadi tidak boleh pukul rata semuanya.
1. Travel haji adalah satu kefardhuan.
2. Ada orang memang cari makan dengan travel, maka ia adalah satu keperluan.
3. Ada yang menuntut ilmu semasa travel, maka ini adalah suatu keperluan.
4. Travel vacation sekali setahun sekurang-kurangnya adalah digalakkan bagi meningkatkan produktiviti pekerjaan. Ini adalah satu kemahuan yg digalakkan.
5. Travel yang tiada keperluan penting lain adalah kemahuan.

Meletakkan bumbung atas kepala adalah satu keperluan. Namun tidak semestinya perlu membeli rumah. Menyewa pun boleh. Manakala travel pula boleh jadi kemahuan atau keperluan.

Alah, masa kecoh debat kereta vs rumah dulu pun sama juga. Kereta diperlukan untuk pergi kerja, jadi ia lebih urgent.

Tanpa kereta cari makan, rumah pun tak dapat beli. Namun pilihlah kereta yang tidak lebih 15% bayaran balik bulanan sahaja supaya boleh beli rumah yang lebih mampu dimiliki.

3. Kos Dan Kemampuan

Inilah yang pening bila debat rumah dulu atau travel dulu? Ianya subjek kategori terlampau luas untuk diperkatakan.

Kalau soalan itu dikhususkan kepada “Graduan baru perlu menabung untuk mengembara dunia terlebih dahulu sebelum bekerja atau menabung untuk membeli rumah kediaman pertama terlebih dahulu?” Kalau ini, banyaklah poin yang lebih spesifik untuk diambil kira.

Kos permulaan beli rumah termasuk deposit downpayment, kos guaman, kos valuation, kos takaful, beli perabot dan sebagainya.

Itu belum masuk jenis rumah apa nak beli: subsale, under construction atau lelong. Seseorang boleh membelanjakan duit permulaan antara RM2000 sehingga RM200,000 untuk pemilikan rumah baru. Satu pemboleh ubah (variable) yang konstan ialah harga rumah tetap akan naik, jadi tiada guna tunggu harga rumah turun.

Travel pula nak fikir kos penerbangan, kos pengangkutan darat, kos penempatan, aktiviti dan sebagainya. Itu belum masuk persediaan dana kecemasan dan insurans. Dahulu, travel adalah suatu aktiviti yang mahal. Sekarang ini tidak lagi, dan semakin banyak pilihan dan harga juga naik turun, bergantung pada harga minyak mentah dunia.

Pelabur hartanah tegar boleh memiliki berpuluh rumah dengan modal kecil. Pengembara tegar pula boleh travel seluruh dunia dengan bajet amat rendah. Kenalah belajar bagaimana memiliki hartanah dengan modal kecil dan belajar travel bajet rendah, daripada hanya mengecam meroyan tak tentu arah.

Tiada jawapan betul salah. Balik semula pada matlamat peribadi poin nombor satu tadi. Apa yang penting dan diutamakan oleh anda. Kalau anda tiada matlamat peribadi, itu yang pening tiada halatuju. Rumah tak ada, travel pun tak ada. Asyik berfikir saja mana nak dulu.

4. Penilaian Risiko

Samada beli rumah atau travel, atau apa-apa aktiviti kehidupan yang kita buat, adalah penting untuk menilai risiko. Apa yang kita mampu ambil dan apa yang perlu kita tinggalkan. Dan apa yang kita dapat in return.

Jika kewangan kita hanya ada ruang untuk salah satu sahaja antara beli rumah atau travel, dan anda masih buntu juga nak pilih, buatlah SWOT analysis.

SWOT ialah penilaian “Strength Weakness Opportunities Threats”. SWOT analysis banyak digunakan dalam decision-making process bisnes besar. Boleh google kalau masih tak faham.

Bisnes, pelaburan, travel, beli rumah semua ini tiada betul tiada salah. Hidup ini bukan soalan objektif, bukan soalan MCQ (multiple choice questions). Ia berbentuk subjektif yang memerlukan kemahiran analitis, kritis dan kreatif. Ini baru aras tinggi!

Keputusan untuk beli rumah atau travel oversea bergantung pada penilaian risiko, dan SWOT analysis adalah alat yang terbaik untuk bantu menilai risiko.

Sekali sudah buat keputusan, membeli unit hartanah impian atau travel ke destinasi impian, janganlah menyesal. Be firm in your decision!

Apa yang berisiko tinggi ialah beli rumah tanpa ilmu. Lepas itu rugi, tak boleh nak jual balik rumah itu sampai mati. Samalah, travel tanpa ilmu pun berisiko juga, malah sangat rugi jika tiada perolehan apa-apa ilmu semasa berkelana.

5. Kemampuan Melakukannya

Jika ada kemampuan, why not both? Buatlah kedua-duanya kalau mampu. Harga rumah takkan turun, dan sebaiknya mula melabur hartanah sewaktu muda lagi supaya anda boleh jaga aliran tunai dan pemilikan ekuiti yg lebih besar. Pelabur hartanah yang hebat mampu memiliki berpuluh hartanah dengan modal kecil.

Waktu muda juga ialah waktu yang sesuai untuk travel kerana usia 20-an adalah usia yang impressionable dan bertenaga.

Kita belajar menuntut ilmu benda baru dan buka minda, belajar bahasa dan budaya, melihat dan mensyukuri nikmat Allah. Backpackers tegar boleh travel dengan kos yang rendah sahaja seperti RM500 ke Jepun.

Waktu mudalah kita sepatutnya belajar samada dalam bentuk travel atau pelaburan, demi memberi erti dalam sebuah kehidupan. Segala aspek perlulah diwarna-warnikan.

Kenalah belajar bagaimana memiliki hartanah dengan modal kecil dan belajar travel bajet rendah, daripada hanya mengecam meroyan tak tentu arah. Apa yg penting ialah kita tahu apa yang kita mahu dalam hidup.

Mahu hartanah OK. Mahu travel pun OK. Mahu kedua-duanya lebih OK!