Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertindak membekukan aset dan akaun bank milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan. Tindakan ini diambil selepas agensi terbabit memulakan siasatan di atas dakwaan pemilikan rumah oleh Tim Leissner yang dibeli menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Awani.

Menurut sumber SPRM, pembekuan ini dibuat di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA 2001) selepas bekas pegawai bank Goldman Sachs, Leissner mendakwa telah diugut oleh Rohana Rozhan untuk membelikannya sebuah rumah bernilai AS$10 juta di London.

Perintah pembekuan aset dan akaun bank milik Rohana ini membabitkan larangan ke atasnya daripada melakukan sebarang transaksi melibatkan akaun bank miliknya di United Kingdom (UK). Ini selepas Rohana didapati membayar harga rumah tersebut menggunakan wang yang diberikan oleh Leissner, sementara baki wang telah disimpan di sebuah akaun di UK.

Menurut laporan The Star, SPRM telah mengambil keterangan daripada Rohana di ibu pejabatnya di Putrajaya pada 9 pagi Khamis. Siasatan SPRM dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Agensi antirasuah itu dikatakan telah membuka siasatan berikutan keterangan Leissner di mahkamah persekutuan AS dalam perbicaraan terhadap warga Malaysia Roger Ng, yang dituduh bersubahat untuk mencuci wang dan melanggar undang-undang anti rasuah melibatkan dana 1MDB.

Pada Selasa lalu, Leissner memberi keterangan kepada mahkamah persekutuan AS bahawa dia telah menghadiahkan sebuah rumah berharga AS$10 juta (RM42 juta) di London kepada seorang CEO media semasa mereka menjalinkan hubungan sulit selama sedekad.

Leissner mendakwa bekas kekasihnya telah memeras ugut dan memintanya membeli sebuah rumah di London dan mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB. Hubungan itu berlangsung dari 2003 hingga 2013, katanya kepada juri.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro letak jawatan. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Letak Jawatan