Baru-baru ini telah beredar sebuah tweet dari netizen yang menyatakan bahawa kita sebenarnya tidak perlu berkumur selepas memberus gigi untuk memastikan keberkesanan Fluorida dalam ubat gigi. Akan tetapi, tweet ini menerima banyak kecaman dan dipersoalkan kebenaran fakta tersebut.

Perkara ini kemudian dipanjangkan kepada seorang doktor pergigian yang terkenal dalam kalangan pengguna media sosial iaitu Dr Ib Shah. Berikut merupakan ulasan daripada beliau.

Ternyata kenyataan ini adalah benar kerana menurut ulasan beliau, konsep ‘spit don’t rinse’ ini diperkenalkan untuk menggalakkan ion fluorida daripada ubat gigi berada pada permukaan gigi lebih lama. Untuk pengetahuan anda, kebanyakan angkasawan telah mempraktikkan cara ini semenjak dahulu lagi.

Mengapa ion fluorida bagus untuk penjagaan gigi? Perkara ini dijelaskan dalam thread seterusnya kerana ion fluorida digunakan untuk proses pembentukan struktur gigi yang lebih kuat dan membantu menyekat bakteria daripada membiak dan seterusnya merosakkan gigi.

Kebenaran fakta ini juga terbukti hasil daripada kajian beberapa pengkaji dari luar negara. Oleh itu, benarlah berkumur dengan air yang banyak selepas memberus gigi dapat mengurangkan keberkesanan ion fluorida dari ubat gigi.

Mungkin bagi sesetengah orang yang sudah terbiasa berkumur selepas memberus gigi dan merasakan agak janggal untuk tidak berkumur, jangan risau kerana terdapat 3 langkah lain yang disarankan untuk memastikan kita mendapat kebaikan fluorida.

Cara pertama ialah anda masih boleh berkumur tetapi dengan kuantiti air yang sedikit kemudian diludahkan dan tidak mengulangi untuk berkumur kali kedua dan seterusnya. Kedua, anda juga boleh berkumur dengan ubat kumur yang mengandungi fluorida dan akhir sekali menggunakan jumlah ubat gigi dengan betul.

Mungkin ada yang bimbang dengan mengatakan bahawa menelan ubat gigi akan menyebabkan keracunan dan seterusnya mendatangkan maut. Menurut Dr Ib Shah sukatan ubat gigi yang betul iaitu sebesar kacang pis dalam sekali penggunaan tidak akan mencapai taraf toksik. Sukatan yang sama juga perlu digunakan dalam kalangan kanak-kanak untuk mengelakkan fluorosis terjadi.

Diakhir thread, beliau sempat memberikan tips untuk membiasakan diri dengan perubahan ini. Caranya ialah dengan menggunakan tongue scrapper yang boleh didapai di farmasi untuk mengurangkan rasa buih di dalam mulut.

Sumber