Kita semua maklum bahawa Ogos 2017 adalah bulan kita menyambut kemerdekaan negara yang ke-60. Walau bagaimanapun, sedikit menyedihkan apabila kita lihat semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat Malaysia semakin merosot. Baik muda ataupun dewasa.

Tidak mahu menyentuh aspek yang lebih mendalam, cukuplah kita lihat sendiri berapa ramai sahajakah yang masih mengamalkan budaya mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat dan kereta masing-masing.

Ternyata jumlahnya mengecewakan. Maka apa yang patut kita lakukan? Hayati perbualan ini.

“Nenek seorang je ke yang pasang bendera dekat rumah?”

Itu soalan saya kepada nenek sewaktu pulang ke kampung di Taman Desa Rhu, Seremban baru-baru ini selepas melihat hanya rumah beliau sahaja yang memasang bendera penuh di sekelilingnya. Meriah! Macam di Dataran Merdeka.

“Nenek memang suka pasang bendera kalau bulan Merdeka. Rasa pelik bila rumah kosong. Dulu waktu kami kecil memang dah jadi kebiasaan meriahkan rumah dengan Jalur Gemilang. Kami semua semangat nak sambut merdeka!”

Nenek menjawab soalan saya dengan mudah. Tidak berpuas hati, saya bertanya lagi.

“Tak rasa pelik ke nenek seorang je yang pasang bendera? Orang lain buat tak kisah pun. Macam dah lupa je pasal hari Merdeka.”

Ini jawapan nenek yang menarik perhatian saya.

“Apa nak peliknya. Itu bendera negara kita bukan negara orang lain. Kena la bangga. Kalau rumah orang lain tak nak pasang tu hal mereka, yang penting biar nenek buat dulu.”

Tidak sempat saya mencelah, nenek menambah.

“Biar kita pasang dulu, tak apa. Jangan malu. Kita tak perlu sibuk tengok dan salahkan orang lain kenapa dia tak buat tapi kita buat. Kita perlu jadi contoh. Lama-lama nanti orang lain ikutlah. Itu cara paling mudah kita nak didik orang Malaysia ni. Perlu ada seorang yang menjadi contoh. Siapa dia? Kitalah!”

Saya akur dan rasa bangga dengan penjelasan nenek yang sudah menjangkau usia 70-an itu. Benar apa yang dikatakan. Menunjukkan contoh dan tauladan baik adalah jalan paling mudah dan halus untuk kita memperbaiki masalah hilangnya semangat patriotisme yang sedang melanda masyarakat Malaysia.

Tidak perlu kita menuding jari dan meletakkan kesalahan ini kepada sesiapa kerana diri kita sendirilah sebenarnya jalan penyelesaiannya.

Ayuh lakukan perubahan!

Artikel di atas disumbangkan oleh Fadzil Harris. Beliau ialah penulis dan penerbit sambilan. Boleh ikuti beliau di sini. Pautan artikel asal.

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤