Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin membidas bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kerana menuduhnya sebagai musuh kesihatan awam.

Bung Moktar yang ditemubual NST diminta mengulas kenyataan Khairy yang dibuat semalam mengenai dakwaan bahawa beliau menentang Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023.

Baca Juga:

“Beliau (Khairy) membentangkan undang-undang yang merampas hak rakyat (untuk merokok). Siapa KJ? Dia sudah tiada platform, cuma juruhebah radio, dia hanya ‘hantu raya’.

“Dia mahu orang ramai berhenti merokok, tetapi tanya dia… apa yang dia merokok? Siapa dia untuk menilai orang? Adakah dia mesra kesihatan awam?” katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat hari ini.

Bung berkata beliau akan mendedahkan apa yang Khairy “hisap” di Parlimen minggu depan, apabila rang undang-undang itu dibentangkan pada 12 Jun.

“Saya akan katakan di dalam Dewan Rakyat, saya ada imuniti di dalam,” katanya lagi.

Khairy semalam mengecam Bung Moktar di Instagramnya, melabelkan Bung Moktar sebagai “musuh kesihatan awam” kerana menentang rang undang-undang itu.

Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk membentangkan rang undang-undang yang akan merangkumi peruntukan larangan merokok generasi akhir (GEG).

Versi pertama rang undang-undang itu, kemudian dinamakan “Rang Undang-undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022”, pertama kali dibentangkan di Parlimen pada Julai tahun lepas, ketika Khairy menjadi menteri kesihatan.

Ia dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen selepas rang undang-undang itu mendapat kritikan kerana “terlalu keras”.