Pada hari semalam video yang dimuatnaik oleh Caprice di Instagram miliknya telah mengundang perasaan marah netizen apabila ada pemuda yang memandu SUV Mercedes telah memukul dan menerajang seorang pemandu Subaru yang dipandu oleh seorang warga emas.

Menurut laporan Harian Metro, pemuda itu bertindak menumbuk, menarik rambut dan menyepak seorang warga emas dalam kenderaannya di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran sebuah pusat beli-belah kerana tidak mengendahkan arahannya memberhentikan kenderaan.

Baca Juga:

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, semasa memandu di lampu isyarat Jalan Kolam Air Lama, mangsa iaitu seorang doktor berusia 67 tahun menyedari kenderaannya dilanggar dari arah belakang, jam 10.30 pagi, semalam.

“Apabila sampai di hadapan stesen minyak berkenaan, kenderaan mangsa dihalang dari arah hadapan oleh sebuah kereta Mercedes berwarna putih.

“Kemudian seorang lelaki turun dari kenderaan itu dan bertindak membuka pintu kereta mangsa lalu menumbuk muka bahagian kanan pipi, menarik rambut dan menyepak mangsa di bahagian pinggang menyebabkan dia berasa sakit.

“Kejadian itu dirakam oleh pengguna jalan raya lain yang kemudian ditularkan di media sosial, semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, suspek berusia 27 tahun ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya selepas selesai memberi keterangan jam 9.45 malam tadi.

“Difahamkan, suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang mengendahkan arahan untuk memberhentikan kereta semasa pelanggaran kenderaan berlaku.

“Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing dijalankan ke atas lelaki itu didapati negatif.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah,” katanya.