“Kalau bercerai dengan wanita Negeri Sembilan, keluar rumah sehelai sepinggang lah kamu!”

Di atas ialah antara salah faham terbesar masyarakat yang bukan dalam lingkungan Adat Perpatih terhadap adat ini. Dikatakan bahawa di dalam amalan Adat Perpatih, jika berkahwin dengan wanita dari Negeri Sembilan dan jodoh tidak panjang, si lelaki akan ‘keluar dari rumah sehelai sepinggang’!

Hakikatnya, pemahaman sebegini jauh terpesong. Ia tidak mendasari perbilangan Adat Perpatih iaitu;

“Adat bersendikan hukum,
Hukum bersendikan syarak,
Syarak bersendikan kitabullah
Syarak mengata, adat memakai.”

Di dalam sistem Adat Perpatih, ada tiga jenis klasifikasi umum tentang harta iaitu;

1. Harta Pembawa: Harta yang menjadi milik atau diberi semasa kedua2nya belum bergelar suami isteri.

2. Harta Dapatan: Harta yang menjadi milik atau diberi kepada isteri selepas perkahwinan. Harta Dapatan boleh diberi oleh suami atau harta pusaka yang diturunkan oleh keluarga isteri kepadanya.

3. Harta Carian: Harta sepencarian semasa pasangan bergelar suami isteri. Ia juga adalah harta selain Harta Pembawa dan Harta Dapatan.

Jadi, perbilangan yang menjadi asas supaya urusan perceraian berjalan selancar mungkin dan dalam bentuk yang mudah difahami ialah;

“Pembawa kembali
Dapatan tinggal
Carian bahagi
Mati laki tinggal ke bini
Mati bini tinggal ke laki.”

Maksudnya: Harta yang dimiliki oleh pembawa akan dikembalikan pada dirinya sendiri. Harta dapatan akan tinggal terus bersama isteri. Harta sepencarian akan dibahagi dua sama rata. Jika lelaki meninggal dunia (cerai mati) harta akan ditinggalkan kepada isteri, begitu juga sebaliknya.

Ada kupasan lebih panjang berkenaan hal ini, namun pengakhirannya tetap menyokong pematuhan syarak tentang urusan perceraian. Ia dibuat bagi memastikan keadilan tetap dijaga untuk kedua-dua pihak sekalipun jodoh antara kedua suami isteri ini tidak panjang.

Jadi entah dari mana datangnya pendapat yang mengatakan apabila lelaki bercerai dengan wanita Negeri Sembilan, mereka akan dihalau keluar rumah sehelai sepinggang hanya dengan apa yang ada di badan sahaja.

Mengarut.

Kalau sehelai sepinggang, buatnya jatuh talak ketika memakai seluar dalam semata-mata, tak ke haru?