Sebagai penjawat awam di Malaysia, kita diberi pelbagai manfaat dan kemudahan, dan salah satunya ialah kemudahan cuti. Sebarang permohonan cuti mestilah dibuat berdasarkan pekeliling-pekeliling cuti yang telah diperuntukkan. Antara cuti yang diperuntukkan kepada seorang penjawat awam ialah Cuti Bergaji Penuh, Cuti Separuh Gaji dan Cuti Tanpa Gaji.

Di dalam pecahan cuti-cuti ini ialah Cuti Rehat Khas/Tahunan, Cuti Sakit, Cuti Menunaikan Haji, Cuti Melahirkan Anak, dan cuti-cuti lain yang melibatkan sambung belajar (dalam atau luar negara), sakit berpanjangan, ahli keluarga rapat meninggal dunia, dan beberapa lagi cuti-cuti yang dibenarkan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Syarat-syarat permohonan cuti ini boleh dirujuk dengan lebih lanjut di Pekeliling Perkhidmatan yang boleh didapati di internet atau rujuk kepada Ketua Kerani di jabatan masing-masing.

Saya ingin berkongsi kisah saya yang kini sedang bercuti Separuh Gaji. Untuk makluman pembaca sekalian, Cuti Separuh Gaji termaktub di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4/2009. Pekeliling Perkhidmatan sentiasa dikemaskini, jika ada yang nak memohon, rujuk kepada pekeliling yang terbaharu.

Saya bekerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah dan ini adalah tahun ke-8 saya dalam perkhidmatan. Perkataan ‘Cuti’ ini boleh saya katakan sebagai satu perkataan yang sensitif kepada para penjawat awam.

Di kalangan rakan-rakan saya, seboleh-bolehnya tidak mahu bercuti kerana komitmen tinggi mereka terhadap kerjaya dan murid-murid, dan tentunya kerana sayang kepada pencen mereka nanti. Bagi seorang guru, Cuti Rehat Khas diperuntukkan sebanyak 7 hari kepada kami bagi setiap satu tahun perkhidmatan.

Ramai yang sanggup tidak mohon cuti dan kumpulkan untuk imbuhan ‘gratuity’ semasa pencen nanti. Ianya seperti mengumpul saham, 1 hari anda tidak bercuti, banyak sekali imbuhan ‘Golden Hand Shake’ anda yang terkumpul.

Jika anda ada memohon Cuti Separuh Gaji atau Tanpa Gaji walau sehari pun, anda akan rugi tempoh perkhidmatan selama 1 tahun tersebut. Oleh itu, sebelum anda membuat permohonan ini, fikirlah masak-masak dan buat perkiraan keadaan, seboleh-bolehnya dielakkan, itulah kata pengetua-pengetua saya yang terdahulu.

Saya memohon Cuti Separuh Gaji ini adalah atas sebab menjaga suami saya yang menjalani satu pembedahan pada bahagian lutut dan kaki, dan ini menyebabkan dia tidak mampu bergerak sendiri. Suami saya dapat Cuti Sakit selama 3 bulan dari hospital.

Sebelum menjalani pembedahan, suami bertanya dengan saya, adakah saya mampu menjaganya selepas ini, kerana dia akan hilang upaya sementara untuk bergerak. Setelah mengadakan perbincangan, kami bersetuju agar saya memohon Cuti Separuh Gaji agar dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada penjagaan suami.

Saya telah memohon Cuti Separuh Gaji dengan jumlah hari maksimum iaitu 180 hari (6 bulan) bermula 1 Januari 2016 sehingga 29 Jun 2016.

kerja 1

Saya ada sahabat yang suaminya lumpuh kerana strok, ada yang sakit jantung, sakit buah pinggang, namun mereka tabah menjaga suami di rumah tanpa memohon cuti.

Saya kagum kepada rakan-rakan saya ini kerana sesungguhnya sukar sekali menjaga orang sakit di rumah, dengan bebanan kerja di sekolah, kerja masih dibawa balik ke rumah, termasuk menjaga anak-anak yang masih kecil, dan tentunya rutin harian di rumah seperti memasak, mengemas dan urusan-urusan membeli barang, semuanya ditanggung oleh diri kita seorang.

Apa yang saya ingin kongsikan ialah pengalaman saya bercuti. Ada rakan-rakan yang berkata:

“Wah seronoknya kau bercuti, mesti asyik berehat kan.”

Itu adalah satu pernyataan yang tidak adil.

Apabila saya tidak bekerja, saya juga tiada pendapatan. Setelah selesa menerima gaji tetap selama 8 tahun, tiba-tiba tiada pendapatan, dengan komitmen tinggi yang sedia ada, tentunya menyebabkan kita terpaksa berjimat cermat dengan drastik.

Yang baiknya pula, apabila ada tekanan kewangan sebegini, tiba-tiba minda kita jadi kreatif pula hendak berniaga. Nak dikatakan berehat, tidak juga. Sebagai seorang wanita dan ibu, tentunya beban kerja rumah tidak pernah habis. Cuma waktu untuk membuat kerja rumah tentunya lebih fleksibel dan rileks.

2 bulan pertama setelah saya bercuti (Januari hingga Februari), masa banyak dihabiskan dengan berulang-alik ke hospital. Boleh dikatakan dalam masa 2 bulan itu, tiada apa-apa yang saya lakukan selain memandu dan menghantar suami ke 2 buah hospital berlainan. Tahu-tahu sahaja dah hujung bulan Februari.

Pada awal bulan Mac, atas saranan rakan, saya membuat tawaran mengadakan tuisyen di rumah. Tuisyen itu mendapat sambutan terutama dari murid-murid sekolah rendah dan ada juga pelajar yang ingin servis ‘private tutoring’. Sedikit sebanyak dapat memberikan pendapatan kepada saya. Selain itu, saya juga belajar membuat jualan di internet.

Di sini, saya ingin memberi panduan kepada individu yang mungkin ada perancangan bercuti lama:

1. Baca Pekeliling berkaitan cuti yang ingin dimohon

Sebelum anda mengajukan surat permohonan, baca dan fahami kesan dan implikasi cuti tersebut terhadap pergerakan gaji dan perjawatan anda. Sebaik-baiknya anda merujuk kepada Ketua Kerani (Chief Clerk atau CC) untuk maklumat lanjut.

2. Uruskan surat-menyurat beserta dokumen sokongan yang diperlukan

Jika anda mahu memohon cuti, pastikan anda memaklumkan Ketua Jabatan anda terlebih dahulu, seelok-eloknya 2-3 bulan sebelum tarikh anda rancang bercuti. Siapkan semua surat menyurat (Surat permohonan, borang permohonan bercuti) serta sediakan semua dokumen sokongan (Sijil sakit, perakuan doktor dan lain-lain). Bercuti itu memang hak anda, tetapi kuasa meluluskan di tangan Ketua Jabatan.

3. Bincang kesan cuti anda terhadap organisasi

Anda perlu berbincang dengan Ketua Jabatan jika anda memegang suatu jawatan penting dalam organisasi, siapa akan memangku jawatan anda dan apa persediaan anda untuk membantu pemangku anda semasa ketiadaan anda.

Dalam kes saya, saya tidak menyusahkan mana-mana pihak kerana saya bercuti pada awal tahun, dan telah memaklumkan kepada pihak sekolah daripada bulan November tahun sebelumnya lagi. Dan oleh itu, tiada perjawatan penting dan kelas diagihkan kepada saya. Dan oleh sebab itu, Pengetua bersetuju untuk meluluskan cuti saya.

4. Kelulusan dari pihak pengurusan perjawatan/ perkhidmatan/ sumber manusia

Setelah cuti anda diluluskan oleh Pengetua, kelulusan seterusnya adalah daripada Jabatan Pelajaran Negeri. Permohonan ini mengambil masa untuk diluluskan. Sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk mengetahui jika cuti anda telah diluluskan.

5. Kewangan anda selepas cuti diluluskan

Selepas cuti anda sahih diluluskan, anda boleh merancang kewangan sepanjang tempoh tidak bekerja ini. Anda perlu review semula kedudukan kewangan anda. Sepatutnya sebelum bercuti lagi anda sudah buat pengiraan perbelanjaan dan komitmen bulanan anda. Dan sepatutnya anda sudah menyimpan gaji yang ada sebaiknya untuk kegunaan dalam tempoh tidak bekerja.

Saya bersyukur kerana suami saya ada pendapatan tetap, namun begitu komitmen kewangan semuanya terbeban kepada beliau. Setelah membuat pengiraan, kami bersetuju agar saya bercuti dengan keyakinan gaji beliau dapat menampung kami sekeluarga.

6. Aktiviti semasa bercuti

Walaupun kita sedang bercuti, itu tidak bermaksud kita boleh berehat sewenang-wenangnya. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan, terutamanya aktiviti dan hobi yang kita dah lama nak buat tetapi tiada masa kerana faktor bekerja.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah:

a) Belajar memasak
b) Belajar membuat kek
c) Berkebun / bercucuk tanam
d) Membaca bahan ilmiah
e) Bersantai membaca majalah kegemaran
f) Bersenam / beriadah
g) Bergaul mesra dengan jiran tetangga
h) Menjahit
i) Mengaji dan solat sunat

7. Tambah nilai diri

Saya suka menyarankan di sini agar individu yang bercuti panjang mengambil masa ini untuk menambah nilai diri. Saya gemar membaca tulisan Puan Masayu Ahmad, penulis buku terkenal ‘ Jana RM Dari Rumah’.

Selepas mengeluarkan buku ini, Puan Masayu telah menjadi kolumnis di Majalah Mingguan Wanita di ruangan ‘Panduan Bekerja dari Rumah’. Banyak contoh dan kisah inspirasi yang saya dapat daripada Puan Masayu.

8. Pengurusan perbelanjaan

Menjadi satu cabaran kepada saya yang telah biasa mempunyai pendapatan sendiri tanpa perlu meminta daripada suami walaupun suami berkemampuan memberikannya. Dalam 2 bulan pertama, saya masih lagi dengan tabiat asal yang berbelanja seperti masih bekerja.

Contohnya membeli baju, beg, tudung, serta membeli belah dalam talian. Hal ini sepatutnya dielakkan kerana ia adalah perbelanjaan yang tidak perlu.

Cara terbaik mengekang diri dari terlebih belanja ialah:

a) Pindahkan wang dari akaun simpanan utama ke bank lain, dengan syarat ada wang simpanan kecemasan.
b) Guna duit yang ada untuk membeli emas (Boleh dijual bila-bila masa).
c) Jangan guna kad kredit untuk pembelian barang, terutamanya secara online. Mungkin untuk kegunaan seperti minyak sahaja.
d) Tulis senarai barang yang ingin dibeli sebelum ke kedai, dan beli barang dalam senarai sahaja.
e) Kurangkan kehendak ke pusat membeli belah kerana ia adalah tempat yang ‘tidak selamat’ untuk duit anda. Lebih selamat jika anda ke pasar raya berhampiran kediaman sahaja kerana di sana selalunya lebih murah dan anda tidak akan ‘overspend’.
f) Barang-barang keperluan semasa kerja seperti pakaian kerja, kasut, beg, tudung, aksesori, barang mekap dan alat tulis (Guru banyak beli alat tulis) tidak perlu lagi dibeli kerana tiada lagi keperluan, buat masa ini.
g) Hentikan tabiat mengumpul barang koleksi, contohnya Tupperware, majalah-majalah yang tidak berfaedah, mekap, tudung jenama popular dan lain-lain. Ingat semula anda tidak mahu terlebih belanja.
h) Jangan beli barang-barang keperluan di rumah yang perlukan belanja besar pada ketika ini, contohnya perabot, langsir atau alat-alat elektrik baru. Jika ada niat nak beli baru, hentikan sahaja. Pandang rumah anda, dan anda akan dapati bahawa semua barang keperluan sudah ada di rumah. Bezanya, baru atau lama sahaja.
i) Rancang setiap perjalanan anda ke mana-mana kerana kini setiap titisan petrol di kereta amatlah berharga.

9. Usaha menambah pendapatan

Banyak cara boleh dilakukan untuk menambah pendapatan dari rumah. Antara usaha-usaha yang telah saya lakukan ialah:

a) Jual beli online
b) Jual beli emas
c) Meletakkan barang jualan di butik-butik vendor dan dapat hasil jualan setiap bulan
d) Khidmat tuisyen dan tutor persendirian
e) Agen dropshipping
f) Kumpul points yang boleh ditukar ke bentuk wang tunai secara atas talian dengan cara menjawab soal selidik

10. Eratkan hubungan dengan ahli keluarga

Semestinya apabila ibu berada di rumah bersama anak-anak, hubungan menjadi bertambah erat. Kini, saya ada masa untuk mengajar anak membaca dan mengeja selepas dia balik dari sekolah. Ini adalah suatu perkara yang amat sukar saya lakukan dahulu. Saya juga dapat memahami emosi dan personaliti anak dengan lebih baik. Dan saya juga dapat menjaga makan minum suami dengan lebih baik.

Jika dahulu, ketika bekerja, saya ada kuasa berbelanja. Kadang-kadang berbelanja hingga di luar kawalan. Kini, saya dapat satu pengalaman untuk mendisiplinkan diri dalam urusan kewangan. Semua perbelanjaan direkodkan. RM 1.00 sangat bernilai kepada saya sekarang. Saya dapat lihat, semakin besar wang yang kita pegang, semakin kecil nilai wang di mata kita. Itulah punca kepada keborosan dalam berbelanja.

Saya tidak sesekali menyesali keputusan untuk bercuti. Pada tahun ini, saya sudah berumur 31 tahun. Saya masih ada 34 tahun lagi untuk bekerja. Boleh jadi pengorbanan saya sekali ini menjadi tiket untuk saya ke syurga, siapa yang tahu? Mudah-mudahan.

Kepada pembaca yang ingin membuat pertanyaan tentang prosedur atau contoh surat, boleh ajukan pertanyaan di ruang komen.