Umum mengetahui bahawa pemaju perumahan masa kini berebut-rebut untuk membina bangunan perumahan ‘pencakar langit’ bagi menampung bilangan kepadatan penduduk yang ramai di bandar.

Berikutan itu, ada kalanya pemaju terpaksa mengambil sebahagian bidang tanah milik penduduk asal sekiranya ruang untuk membina perumahan tidak mencukupi. Pampasan wang tunai akan diberikan kepada pemilik asal tanah sebagai permulaan modal untuk mereka membeli rumah di kawasan baru.

Seperti yang diketahui, Singapura merupakan negara paling kecil di Asia dan konsep perumahan ‘pencakar langit’ adalah sesuai untuk menampung kepadatan penduduknya. Namun, tahukah anda akan kisah dua orang penduduk Singapura yang enggan menjualkan kawasan rumah teresnya kepada pemaju kondominium walaupun mereka ditawarkan dengan nilai pampasan yang tinggi?

Ibarat kisah dalam filem Disney, Up (2009)

MR GOH HOUSE
Rumah Encik Goh digambarkan sudah terhimpit dengan kepesatan pembangunan kondominium di sekelilingnya. Sumber: News Nastia

Jika kita imbas kembali babak dalam filem animasi Disney Up (2009) di mana ia mengisahkan seorang lelaki tua bernama Carl yang tinggal di sebuah rumah kecil serta disekelilingi dengan bangunan perumahan ‘pencakar langit’. Disebabkan rumah tersebut dipenuhi nostalgia bersama isterinya, Carl tidak mahu menjualnya walaupun pihak pemaju menawarkan pampasan yang lumayan.

Hakikatnya, bukan sahaja sebagai kisah dalam filem animasi, realitinya isu sebegini juga wujud dalam alam nyata apabila dikatakan seorang lelaki bernama Goh, 60 tahun, yang enggan sekali menjualkan rumah teresnya yang terletak di Jalan Guillemard, Lorong 28 Geylang, Singapura kepada pemaju kondominium Noma di bawah syarikat Macly Group.

Beberapa tahun ini, dikatakan kawasan perumahan di situ berpotensi untuk mendapat sambutan daripada para pembeli dengan anggaran nilai keuntungan yang sangat tinggi.

Rumah pusaka milik ibu dan ayah Mr. Goh

Walaupun ditawarkan dengan nilai pampasan yang tinggi, Encik Goh yang berkerja sebagai peniaga kecil masih lagi dengan pendiriannya dengan tidak menjual rumah teresnya kepada pemaju kondominium berkenaan.

“Mendiang ibu saya yang membeli rumah pusaka ini dan saya akan terus menjaga rumah ini bersama kakak saya sampai ke akhir hayat kami,” ujar Encik Goh semasa ditemu ramah oleh wartawan akhbar Mandarin tempatan.

Encik Goh membuka rahsianya di mana ini merupakan kali kedua dia dilamar oleh pihak pemaju perumahan untuk memujuknya supaya menjual rumah teresnya itu. Encik Goh sebelum ini mempunyai sebuah lagi rumah yang sudah dijual dan menjadi sebahagian kawasan kondominium La Brisa.

“Sebelum ini saya mempunyai dua buah rumah dan salah satunya terletak di Lorong 20 Geylang telah saya jualkan kepada pihak pemaju kondominium La Brisa sepuluh tahun yang lalu,” jelas Encik Goh.

“Kali ini saya tidak akan menjual rumah pusaka ini kerana ia milik saya bersama kakak. Lagipun, sekarang ini amatlah susah untuk menemui rumah jenis teres di Singapura. Bagi saya ia something valueable yang tidak boleh dijual sampai bila-bila walaupun nilai pampasan yang tinggi ditawarkan,” tambah Encik Goh.

Rumah ibadat menghalang pembinaan kondominium Noma

Buddha House
Rumah beribadat Buddha yang dahulu hidup berjiran kini bersendirian. Sumber: 99.co

Tidak cukup dengan sikap keras hati Encik Goh yang enggan menjual rumahnya kepada pemaju kondominium Noma, dikhabarkan juga ada seorang pemilik rumah ibadat agama Buddha di kawasan itu juga yang enggan menjual tanahnya kepada pemaju kondominium tersebut.

Seorang wanita telah ditugaskan sebagai penjaga rumah berkenaan dan dia menjelaskan bahawa rumah beribat tersebut hanya terbuka kepada ahli keluarga dan kenalan yang rapat dengan pemilik. Namun pemilik tidak menjelaskan mengapa dia masih tidak mahu menjual rumah tersebut kepada pemaju kondominium Noma.

Kedua-kedua buah rumah tersebut akan dikelilingi bangunan kondominium Noma

noma conda
Kawasan biru berkenaan merupakan kawasan pembinaan kondominium Noma yang telah diluluskan. anak panah kuning tersebut merupakan lorong untuk ke rumah beribadat Buddha. Sumber: 99.co

Dijangkakan pada 2023, proses pembinaan kondominium Noma akan siap sepenuhnya. Sebanyak 50 unit kondominium jenis satu ruang tamu dan dua bilik tidur akan dibina. Jika Macly Group berjaya memujuk kedua-dua pemilik rumah teres tersebut, sebanyak tambahan 20 unit lagi kondominum Noma boleh dibina di situ.

Dikhabarkan kawasan rumah beribadat Buddha tersebut terletak di dalam kawsan kondominium Noma. Rumah Encik Goh pula terletak bersebelahan kondominium tersebut dan tersepit dengan satu lagi bangunan disebelahnya. Walaupun kawasan rumah mereka semakin dihimpit dengan kepesatan pembangunan, mereka masih lagi ingin terus tinggal di situ.

“Saya akan terus tinggal di sini sambil menjaga laman bunga-bungaan yang sudah saya tanam sekian lamanya. Setiap pagi, saya akan bangun awal dan bersantai di laman sambil melihat kawasan bandar Singapura. Kicau-kicau burung jagaan saya dapat meningkatkan lagi aroma ketenangan saya di awal pagi,” Encik Goh menjelaskan rutin hariannya.

Jika anda diletakkan di tempat Encik Goh, adakah anda akan menjual rumah tersebut kepada pemilik kondominium dan berhijrah ke tempat lain? Wang boleh beli segalanya tetapi dalam kes ini, wang tidak dapat beli lot rumah Encik Goh.

Baca lagi perkongsian kami mengenai isu-isu hartanah dan perniagaan. Klik pautan di bawah untuk bacaan yang seterusnya.

‘Alstonia Hilltop Homes’ Perumahan Eksklusif Buat Warga Kota Di Sungai Buloh

Menurut Media Antarabangsa, Malaysia Negara Kedua Terbaik Untuk Anda Mulakan Perniagaan

Demi Rezeki Untuk Anak Dan Keluarga, Rakyat Malaysia Jadi Gelandangan Di Singapura


 

 

 

Sumber