Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa broker antarabangsa, OctaFX termasuk dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan (FCA). Umum mengetahui bahawa Fizo Omar dan Wak Doyok merupakan duta OctaFX serta mendapat kecaman hebat netizen apabila sanggup mempromosikan iklan pelaburan tukaran mata wang asing.

Lantaran itu, Fizo Omar dan Wak Doyok bertindak mengunci mulut mereka, bahkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu platform pelaburan itu memasuki senarai amaran Bank Negara Malaysia (BNM).

Baca Juga:

Baru-baru ini, Fizo Omar telah memuat naik gambar dirinya bersama isteri bercuti dan melakukan sukan air di Instagram miliknya. Menurutnya, dia memenuhi permintaan isterinya ingin menaiki jet ski selepas selesai tempoh berpantang.

Dilihat gembira bercuti, segelintir netizen telah bertindak menyerang di ruangan komen gambar tersebut. Rata-rata netizen mengambil kesempatan untuk bertanyakan mengenai OctaFX.

Bukan itu sahaja, para netizen mahu Fizo Omar memberi kenyataan dan bukannya berdiam diri kerana ramai orang yang ‘terpengaruh’ dengan iklannya serta mendakwa Fizo makan ‘duit haram’.

Untuk rekod, OctaFX adalah broker antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan dagangan dalam talian di seluruh dunia sejak 2011. Malah, OctaFX dikawal selia dan memegang lesen di luar negara serta menyediakan sokongan deposit dan pengeluaran ke akaun bank di Malaysia.