Kisah ini ku jadikan tatapan buat semua yang bergelar anak. Aku masih ingat saat abah berdiri mencengkak pinggangnya, abah pernah memarahi aku yang ketika itu sedang leka bermain Friendster.

“Hang dok main apa ni?! Kalau abah takda, hang jaga mak hang!”

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pelik kan ayat tu sebabnya apa kaitan main Friendster dengan abah takda? Aku masih belasan tahun, masih lagi budak hingusan.

Masa itu, badan abah sangat kurus kering kerana penyakit kanser yang dihidapinya. Aku terpana dan merajuk. Yalah, anak bongsu ni kan pantang dimarah, bila ada saja yang tak kena, pasti merajuk.

Peristiwa itu berlaku pada hujung tahun 2007. Abah bertarung melawan penyakitnya habis-habisan. Bermacam-macam ikhtiar yang kami buat untuknya, daripada rawatan moden hinggalah ke rawatan alternatif.

Sehinggalah sampai, saat keramat, ALLAH menjemput abah kembali ke pangkuanNya pada tanggal 23 Februari 2008.

Tarikh itu sehari sebelum hari lahir emak.

berbakti-kepada-ibu-bapa6

Setelah abah menghembuskan nafasnya yang terakhir, emak yang selama ini jarang menangis, tersedu bercakap pada tok (nenek) saya,

“Mak, Usop dah takda, saya nak dok dengan sapa lepas ni.”

Atok sangat terkilan dengan pemergian abah dan sememangnya sangat menyayangi abah sebagai menantunya kerana allahyarham abah sangat baik dan pandai mengambil hati semua orang.

Tidak lama kemudian, setelah allahyarham abah disemadikan di tanah perkuburan, atok pula diserang strok dan demam panas lalu rebah. Tok pula dijemput ALLAH 3 hari selepas abah pergi.

Pada tanggal September tahun yang sama, kakak ipar sulungku pula pergi menyahut seruan Illahi akibat kanser mulut dan meninggalkan seorang anak, Puteri Sofia yang ketika itu baru berumur 3 tahun.

Keluarga kami dirundung ujian bertali arus pada tahun itu dan kami menggelar tahun 2008 sebagai tahun sedih untuk kami sekeluarga..

Namun emakku tetap redha dengan ketentuan ALLAH ini. Hidup kami diteruskan seperti biasa.

Aku memasuki tahun pertama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2009 dengan perasaan terkilan yang amat sangat apabila melihat kelibat ayah orang lain yang melambai-lambai pada anak-anak mereka.

“Alangkah bahagianya aku kalau abah masih ada, boleh lah abah drive kereta bawa kami semua naik kereta dan hantar aku di Kuantan ni. Dia mesti dok menyanyi-nyanyi dan buat lawak dalam kereta hilangkan penat.”

Apakan daya, ALLAH lebih sayang pada abah. Aku redha ya ALLAH.

Kemudian, aku bergraduasi setelah 4 tahun menimba ilmu dan memegang ijazah sains bioperubatan. Sekali lagi, tatkala konvokesyen, aku menitikkan air mata kerana aku rindu pada abah sebab tak dapat lihat abah duduk bersama mak di kerusi penonton dalam dewan konvo ketika itu.

 

berbakti-kepada-ibu-bapa5

Tahun 2014 pula membuka tirai ujiannya yang tersendiri.

Pada tanggal Februari 2014, aku mengambil langkah panjang sekali lagi untuk mendaki alam pendidikan yang lebih tinggi, aku mengambil keputusan untuk menyambung ijazah sarjana (master) di bawah kelolaan Supervisor (SV) untuk FYP (Final Year Project) semasa ijazah dahulu, Dr Radiah.

Tidak lama kemudian, pada awal Jun aku dikejutkan dengan panggilan daripada abangku,

“Mak masuk hospital, la ni dia dok KMC (Kedah Medical Centre), dia tak bagi habaq kat hang sebab hang dok jauh. Depa kata mak macam ada kanser”.

Pandangan aku kelam. Tangan aku terkulai layu. Aku meminta izin dari SV dan dia membenarkan aku pulang.

Pada malam itu juga, aku bergegas membeli tiket 8 pagi dan pulang menaiki bas. Aku sampai pada lewat petang keesokan harinya.

Emak yang sedang risau dengan diagnosis dirinya duduk terbaring susah hati. Aku menyelak langsir ‘compartmentnya’ dan terus menerpa memeluk kaki emak. Emak terus terpaku melihat aku terpacak depan matanya.

“La! Bila hang balik? Sapa habaq kat hang?”

“Luqman habaq kat Syah,mak. Awat mak tak habaq?”

Mata aku panas dengan air mata. Mak aku tersenyum kelat.

“Esok doktor baru habaq result biopsy. Tak tentu lagi ada apa, mujoq Kak Dah ada kat rumah. Dia yang tolong check. Tu yang mak pi KMC ni. Takda apa-apa aih, takyah risau”.

Pada keesokan harinya, luka yang paling aku trauma selama ini bernanah semula, Emak didiagnos menghidap kanser payudara. Aku terduduk dan jadi ‘blur’ dan cuba menidakkan kenyataan.

Malam itu kami semua jadi tak keruan. Emak perlu menerima rawatan kimoterapi dan pemeriksaan susulan segera dan ketika itu, aku nekad, aku nak berhenti master dan jaga emak sebaik mungkin. Keputusan aku ditolak oleh mak dan dia mahukan aku sambung.

berbakti-kepada-ibu-bapa3

Namun, aku sudah tidak boleh memikirkan perkara lain dan kata-kata allahyarham abah untuk jaga mak mendorong aku senekad ini.

Maka, aku pun berhenti master dan aku redha dengan keputusan yang dibuat kerana aku yakin rezeki ALLAH ada di mana-mana.

Pada minggu seterusnya kami tidak berlengah dan terus merujuk pada Institut Kanser Negara, Putrajaya. Hasil nasihat dan bantuan kakak iparku yang merupakan doktor pakar, rawatan kimoterapi emak terus dijadualkan pada hujung bulan Julai.

Alhamdulillah, setelah bertungkus-lumus emak melawan penyakitnya, setelah 9 kali kitaran kimoterapi yang gila menyakitkan dan 25 kali kitaran radioterapi yang membakar kulit, berkat doa orang-orang alim, hasil intensif meminum jus daun belalai gajah dan durian belanda, serta sokongan anak-anak dan keluarga, emak disahkan bebas dari sel kanser namun masih perlu meneruskan ubatan anti-estrogen, tamoxifen setiap hari.

Well, yakinlah. Kuasa ALLAH yang menyembuhkan segala penyakit, jangan berputus asa. Doa dan tawakal perlu seiring.

Kini, cerita aneh aku pula bermula. Setelah emak kembali sihat, aku secara rasminya menjadi penganggur berjaya. Aku pernah menjalani kegagalan 2 temuduga kerja. Kabel tak kuat le tu. Jangan bergantung pada kabel manusia yang fana ni ye.

Baca: Demi Hadiri Di Hari Graduasi Saya Di England, Ibu Sanggup Meminjam Dengan Ceti

berbakti-kepada-ibu-bapa2

Aku juga berpengalaman sebagai penjual durian, cempedak dan dokong hasil kebun abah di pasar tani selama hampir sebulan. Syoknya berniaga sebenarnya. Aku mula berangan nak jadi tauke durian yang berjaya (berangan je ni).

Setelah melihat anaknya yang mula tak keruan menganggur, emak menyuruh aku mengambil semula master dan mengisi cita-cita yang pernah tertangguh dahulu.

Aku beristikharah dan memohon petunjuk dariNya dan aku diterima melanjutkan pelajaran dalam jurusan Toksikologi Kesihatan di Universiti Sains Malaysia (USM) kampus Bertam pada tanggal September 2015.

Jeng, jeng, jeng. Aku mula menerima peristiwa pelik bin ajaib kerana aku ditakdirkan meneruskan pengajian mod-campuran seorang diri.

Diulangi. Seorang diri ye.

Kelas tadika pun ada kawan beramai-ramai macam upin upin tu. Pada awalnya, ada seorang classmate tapi dia terpaksa pindah ke kampus Kubang Kerian atas sebab yang tak dapat dielakkan.

Cuba kalian bayangkan, selama setahun pengajian itu, hanya aku seorang sahaja pelajar dan diajar oleh puluhan pensyarah.

Ramai pensyarah yang pelik kerana pengalaman mereka mengajar seorang sahaja pelajar dalam kelas. Kiranya, aku seperti menerima ‘personal tuition’.

“Kamu ni kes unik. Dekan boleh luluskan kelas untuk kamu sahaja. Special case ni”.

Pada awal semester pertama, aku seperti kerang busuk tersengih-sengih bila mereka bercakap seperti itu. Segan yang amat. Tapi, aku tetap kebalkan jiwa, tebalkan muka, dan mantapkan ilmu, aku harungi juga hari-hari ‘forever alone’ di kelas sehinggalah aku menerima keputusan peperiksaan semester pertama yang tak diduga.

berbakti-kepada-ibu-bapa-1

Aku seakan tak percaya kerana setahu aku, aku adalah golongan pelajar yang lemah ketika ijazah. Dapat grad pun sipi-sipi 3 pointer. Kalau tak study tu, pandai-pandai tembaklah jawabnya.

C tu macam dah jadi penghias transkrip ijazah dulu.

Aku ternganga dan tepuk dahi, “Aik, silap tengok kot ni. 3.67? Rasanya aku study last minute, dalam dewan exam pun aku terketaq-ketaq tak boleh jawab”.

Alhamdulillah, keputusan itu aku kongsi dengan emak. Satu ayat keluar daripada mulut mak,

“Syah berkorban untuk mak, ALLAH ganti yang lebih baik untuk Syah.”

Aku juga ditawarkan biasiswa MyMaster (Mybrain15) dalam kalangan ribuan pelajar yang memohon. Kuasa ALLAH dan berkat doa emak.

Semester kedua pula bermula, dengan kesuntukan masa mengejar kerja makmal yang dirundung banyak dugaan, masa pula berbaki tak sampai seminggu untuk peperiksaan semester kedua, aku masih juga tak dapat mengulangkaji pelajaran sebaiknya.

Azam awal semester dulu study awal, tapi masih lagi last minute study. Mampuihlah aku kali ni (ceq oghang Kedah no).

Mesti result teruk punya. Jawab hantam keromo orang kata. Peperiksaan akhir pun ditempuh dan peperiksaan lisan untuk disertasi juga berjaya diharungi.

Alhamdulillah, sekali lagi aku menerima berita ajaib dari langit, ALLAH mengurniakan aku dengan keputusan yang sangat tidak disangka, aku mendapat CGPA 3.72.

berbakti-kepada-ibu-bapa7

Aku terkedu dan terus termenung lewat malam itu (Ogos 2016)

ALLAH Maha Berkuasa. ALLAH Maha Berkuasa
Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Surah Ar-Rahman ; ayat 13)
Aku mula percaya pada kuasa berbakti pada ibu bapa.
ALLAH bayaq cash wahai cik adik dan cik abang uit.
Buruk kita buat, buruklah balasannya.
Baik kita buat, maka baiklah jua balasannya.

Aku tidak mengharap kredit semua orang setelah membaca nukilan ini tetapi apa yang aku harapkan adalah kalian hargailah ibu bapa kalian yang masih bernyawa di atas muka bumi ALLAH ini.

Percayalah, kuasa di sebalik doa dan redha seorang ibu serta kasih dan cinta seorang bapa, sangatlah AJAIB dan MENAKJUBKAN.

Kalau boleh, pergilah sujud di kaki mereka pohon keberkatan hidup kita kerana mereka adalah keramat hidup buat kita. Jalan menuju redha ALLAH adalah melalui redha orang tua kita.

Yang telah berkahwin dan mempunyai anak, ajarlah anak kalian berbakti pada orang yang lebih tua kerana contoh dan tauladan semuanya cerminan kita.

Yang tak berkahwin lagi, pungutlah saham akhirat anda berbakti pada orang tua kita selagi jantung mereka masih berdegup. Ciumlah pipi tua itu dengan pohonan maaf atas kederhakaan yang mungkin kita terlepas pandang.

Jika ada di kalangan mereka yang telah pergi menghadap Illahi, jangan sombong dan jangan lupa diri tanpa mendoakan kesejahteraan mereka di alam sana. Al-Fatihah.

Baca lagi: Akhirnya Saya Berjaya Sambung Belajar Selepas 43 Kali Gagal Mohon Biasiswa PhD