Vaksin sememangnya sudah terbukti berkesan bukan sahaja untuk satu penyakit tapi lebih dari 10 penyakit berjangkit di dunia. Penyakit-penyakit berbahaya ini wujud di negara kita dan boleh memberi kesan ke atas semua orang tidak kira umur atau latar belakang.

Berikut adalah senarai penyakit yang anda perlu tahu.

Penyakit Tuberkulosis

Anda mesti pernah dengar nama Vaksin BCG? Bacille Calmette-Guerin atau dikenali sebagai BCG adalah vaksin yang memberi perlindungan terhadap penyakit tuberkulosis/Tibi.

Bahayanya penyakit Tibi ini, ia bukan sahaja menyerang paru-paru tapi juga menyerang bahagian lain seperti otak, tulang, kulit, buah pinggang, usus dan kelenjar.

Risiko kematian: Tinggi jika tidak dirawat

Hepatitis B

1 daripada 3 orang dari seluruh dunia pernah dijangkiti Hepatitis B yang boleh disebarkan oleh cecair badan/hubungan seks, berkongsi jarum, tatu, ibu yang berjangkit kepada anak semasa proses kelahiran dan juga dari darah.

Sekiranya bayi dijangkiti, risiko menjadi pembawa adalah 90 – 95% manakala jika orang dewasa yang dijangkiti, risiko menjadi pembawa adalah 5 – 10%. Masalah ini boleh menjadi punca kegagalan fungsi hati, sirosis hati dan juga kanser hati. Disebabkan itu penting untuk bayi mendapatkan vaksin hepatitis B sejurus selepas lahir.

Risiko kematian: Tinggi jika mendapat komplikasi

Difteria

Penyakit difteria adalah jangkitan akut yang menjejaskan sistem pernafasan dan boleh menyebarkan jangkitan kepada 6-7 orang yang lain.

Toksin daripada bakteria difteria ini akan menyebabkan terbentuknya lapisan putih di kerongkong yang akan menebal dan boleh mengakibatkan sesak nafas dan lemas. Ia juga boleh mengakibatkan radang jantung (myocarditis) dan radang saraf (polyneuritis)

Risiko kematian: Tinggi terutama di kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah

Tetanus

Tetanus atau kancing gigi pula boleh menyebabkan otot koyak, patah tulang, radang paru-paru dan jantung berhenti mengejut. Kelahiran tidak selamat atau bukan oleh kakitangan kesihatan terlatih menyumbang kepada kejadian tetanus di kalangan bayi baru lahir.

Risiko kematian: Tinggi terutamanya dikalangan bayi baru lahir

Polio

Bagi penyakit polio pula, tiada rawatan spesifik namun ianya boleh dicegah melalui imunisasi. Penyakit ini mudah dijangkiti dengan hanya tersentuh permukaan tercemar atau mengambil air dan makanan yang tercemar dengan najis.

Ia boleh menyebabkan kerosakan saraf atau lumpuh kekal. Pesakit lumpuh boleh maut akibat daripada kelumpuhan otot pernafasan. Kanak-kanak yang mengalami lemah otot atau kelumpuhan secara tiba-tiba perlu dapatkan rawatan segera.

Risiko kematian: Tinggi sekiranya tidak dirawat

Campak (Measles)

Virus campak disebarkan melalui udara, titisan cecair penafasan dan sentuhan langsung. Seorang pesakit campak boleh menjangkiti 12-18 orang lain, terutama yang tiada imunisasi. Komplikasi termasuklah jangkitan telinga, radang paru-paru, cirit-birit, Encephalitis (radang otak).

Risiko kematian: 1 daripada 100 hingga 1000 kanak-kanak yang dijangkiti maut disebabkan komplikasi pernafasan & saraf.

Beguk

Beguk walaupun sering dipandang remeh, ia boleh mengakibatkan komplikasi radang selaput otak, radang otak, penyebab kemandulan, radang pankreas, radang ovari, cacat pendengaran dan juga radang jantung.

Risiko kematian: Rendah tetapi risiko komplikasi serius tinggi

Rubella

Rubella memberikan komplikasi rendah kepada kanak-kanak tetapi jika ibu mengandung dijangkiti, ia boleh menyebabkan keguguran dan kecacatan bayi.

Risiko kematian: Rendah tetapi berbahaya kepada kandungan

Senarai di atas ini hanyalah sebahagian sahaja. Sebenarnya terdapat banyak lagi penyakit berjangkit lain yang boleh anda alami jika tidak divaksin.

Team OHBulan dan KKM bekerjasama untuk hasilkan satu tinjauan vaksin!

Sebanyak 4068 responden berjaya direkodkan.

Hasil tinjauan kami yang dibuat pada Oktober lalu* kami mendapati, 78.7% responden tahu apa itu vaksin namun ada yang masih samar-samar akan kepentingan vaksin untuk kanak-kanak.

Anda boleh rujuk keputusan penuh tinjauan tersebut dibawah:

*Rujuk artikel survey: [SURVEY] Jom Jawab Survey Ni Untuk Uji Sejauh Mana Korang Tahu Pasal Vaksin!

62% responden daripada kalangan pembaca OHBULAN bersetuju bahawa kanak-kanak perlu divaksin.

Namun, 892 daripada 4068 responden daripada kalangan pembaca OHBULAN masih lagi tidak bersetuju manakala 17.8% masih was-was lagi dengan keberkesanan vaksin terhadap kanak-kanak.

Tujuan vaksin diberikan sebenarnya untuk melindungi kanak-kanak daripada penyakit cegahan vaksin yang boleh membawa kepada kecacatan kekal dan maut.

Sebanyak 90.3% tahu kategori kanak-kanak yang tidak boleh divaksin.

Manakala 97.2% akan bawa anak ke klinik dengan segera serta laporkan kepada anggota kesihatan atau membuat laporan online sekiranya anak mereka menunjukan kesan selepas menerima vaksin.

Berdasarkan tinjauan tersebut, boleh dikatakan 91.8% daripada yang menjawab kaji selidik ini telah menyesuaikan diri dengan norma baharu dan memahami prosedur yang perlu dilakukan jika ingin membuat janji temu imunisasi.

Rakyat Malaysia kini peka akan kepentingan vaksin

Sejak COVID-19 melanda negara, rakyat Malaysia kian peka betapa pentingnya vaksin bukan sahaja untuk orang dewasa tapi juga untuk kanak-kanak. Kanak-kanak yang tidak divaksin daripada kecil akan lebih berisiko tinggi untuk terdedah kepada bahaya dijangkiti penyakit berjangkit lebih daripada kanak-kanak yang divaksin.

Jadi, pastikan anak anda menerima vaksin supaya mereka boleh terhindar daripada penyakit berjangkit dan boleh terokai dunia dengan lebih berani. Untuk maklumat lanjut mengenai vaksinasi kanak-kanak anda boleh tekan dekat SINI!.