1. Lebih 5 juta permohonan BR1M telah diluluskan

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan, sebanyak 5,153,238 permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi 2017 telah diluluskan kerajaan setakat ini. Manakala 3,123,950 permohonan lagi masih dalam peringkat pemprosesan dan keputusan dijangka diumumkan bulan depan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dari segi peringkat umur, kumpulan tertinggi diluluskan adalah daripada golongan 21 hingga 30 tahun serta yang berumur 61 tahun dan ke atas. Dalam pada itu,  Perdana Menteri menegaskan BR1M adalah bantuan ikhlas kerajaan kepada mereka memerlukan, yang tidak mengira kaum, agama, mahupun pegangan parti politik dan diagihkan mengikut kelayakan serta kriteria ditetapkan berdasarkan pendapatan perseorangan atau seisi rumah.

Sumber laporan

2. Perkhidmatan berdoa di hadapan Kaabah wujud atas permintaan

Menurut pengasas Valet Doa iaitu perkhidmatan berdoa di hadapan Kaabah ini wujud kerana adanya permintaan dari orang ramai untuk meminta tolong berdoa di hadapan Kaabah, jelas beliau dalam satu klip video yang disiarkan oleh Astro Awani.

Tonton penjelasan lanjut tentang perkhidmatan berdoa dihadapan Kaabah bersama Dr. Muhammad Lukman Ibrahim, Pensyarah Kanan USIM dan Hasrin Harin, Pengasas Valet Doa. (tonton video di sini)

Sumber laporan

3. Ejen perisik Korea Utara telah lama aktif di Malaysia

Semenjak berita kematian Kim Jong Nam yang dikatakan mati dibunuh oleh 2 ejen perisik dari Korea Utara, terdapat satu laporan memberitahu bahawa ejen perisik Korea Utara sebenarnya sudah lama aktif di Malaysia, Indonesia dan Singapura sejak 2 dekad yang lalu lagi.

Menurut sumber perisikan, operasi mereka di tiga negara itu dipercayai jaringan terbesar di luar Korea Utara dengan Malaysia dan Singapura menjadi pilihan utama Reconnaissance General Bureau (RGB). RGB adalah agensi perisikan Korea Utara yang beroperasi secara rahsia di negara ini.

Untuk mengelak operasi mereka di Malaysia dan Singapura diketahui, ada dikalangan ejen akan menyamar sebagai jurutera dan perunding teknikal dalam industri pembinaan dan juga mengendalikan restoran Korea.

Sumber laporan

4. Loob Holding Sdn. Bhd lancarkan jenama baharu ganti Chatime

Selepas didakwa menggunakan bahan yang tidak diluluskan oleh Chatime, Loob Holding bekas pemegang francais Malaysia telah melancarkan minuman jenama baharu, Tealive sebagai pengganti Chatime, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, Tealive adalah jenama minuman tempatan yang dibangunkan oleh Loob Holding. Sehingga ini, katanya, Tealive mempunyai empat jenis minuman pilihan iaitu Signature Brown Sugar Pearl Milk Tea, Roasted Milk Tea, Signature Passion Fruit Green Tea dan Grapefruit Chia Tea Booster.

Sumber laporan

5. Penjual ganja ditangkap polis

Polis memberkas tiga lelaki berusia antara 25 hingga 32 tahun dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Tampin, Seremban semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan dadah. Hasil tahanan, polis menjumpai dua bungkusan plastik dengan kandungan ganja seberat 2 kilogram.

Selain itu, polis turut menemui alat penimbang, alat untuk memotong ganja serta plastik untuk membungkus ganja dalam kereta berkenaan. Dipercayai, ganja bernilai kira-kira RM4,000 itu mahu dijual oleh ketiga-tiga suspek di sekitar Seremban.

Sumber laporan