1. Chong Wei buru gelaran terbuka Malaysia

Selepas menjuarai Kejohanan Seluruh England buat kali keempat di Birmingham, kelmarin, Datuk Lee Chong Wei kini mahu memberi fokus untuk merangkul gelaran ke-12 Terbuka Malaysia, bulan depan. Jaguh perseorangan negara itu berkata kejayaan di Seluruh England itu telah menyuntik semangat untuk dirinya terus menampilkan prestasi terbaik.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Tumpuan saya selepas ini ialah Terbuka Malaysia dan sebelum itu Terbuka India pula,” katanya.

Terbuka Malaysia akan berlangsung di Kuching dari 4 hingga 9 April ini manakala Terbuka India di New Delhi dari 28 Mac hingga 2 April ini.

Sumber laporan.

2. Hab Asia Pasifik pertama di Malaysia

Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO)  hari ini melancarkan hab Asia Pasifik pertama di Malaysia bertujuan membangunkan pasaran modal berterusan di rantau ini. Hab Asia tersebut dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Persidangan Kawal Selia Pasaran Pesat Membangun Global 2017 (GEMRC).

“Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah hab serantau pertama ini dapat membantu negara dalam usaha mengukuhkan pasaran modal yang berkualiti tinggi supaya dapat dikawal selia dengan lebih baik.

“Secara tidak langsung, pelancaran hab ini juga akan dapat mengeratkan keberkaitan dan keterangkuman dalam rantau Asia Pasifik,” katanya pada majlis pelancaran Hab Asia Pasifik IOSCO di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara di sini sebentar tadi.

K! Online

3. Punca harga gula naik

Kenaikan 11 sen harga gula pasir putih bertapis kasar berkuat kuasa 1 Mac lalu berpunca daripada kenaikan harga gula mentah yang diimport, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainudin.

Beliau berkata pada 2013 harga gula mentah import ialah US$0.15 bagi setiap 0.45 kilogram (kg) (nilai pertukaran ketika itu US$1=RM3.20) berbanding harga baharu US$0.21 bagi jumlah yang sama sekarang.

“Bermakna harga import itu sudah bertambah daripada perkiraan hampir 100 peratus dari harga mentah yang diimport dari luar negara,” katanya.

Sumber laporan

4. Peniaga naikkan harga bakal dikenakan tindakan tegas

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan bertindak tegas terhadap peniaga makanan dan minuman yang menaikkan harga jualan mereka secara melampau susulan kenaikan harga gula pasir putih.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kenaikan harga gula sebanyak 11 sen berkuat kuasa 1 Mac lepas itu yang berpunca daripada kenaikan harga gula mentah yang diimport sepatutnya tidak memberi kesan kepada peniaga terbabit.

“Jika didapati mereka mengambil kesempatan menaikkan harga barang berikutan kenaikan harga gula pasir putih bertapis kasar, pihak kementerian akan mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Akta ini dapat memastikan supaya tidak berlaku peningkatan harga yang melampau,” katanya

Bernama

5. Siling lama Centro Mall runtuh

Lebih daripada 50 pekerja kontrak yang sedang mengubahsuai bangunan Cetnro Mall nyaris maut apabila siling bangunan lama tersebut runtuh. Walaubagaimanapun mereka masih bernasib baik kerana dapat keluar dengan selamat.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, insiden runtuhan itu berlaku pada pukul 10.45 pagi ini dan pihaknya mengerahkan 20 anggota dari tiga balai ke lokasi kejadian. Menurutnya lagi, runtuhan melibatkan keluasan 6,096 meter persegi dan kerja-kerja mencari mangsa lain sedang diteruskan jika ada.

Sumber laporan