1. Kuota haji Malaysia ditambah

Kuota haji rakyat Malaysia tahun ini ditambah kepada 30,200 berbanding 27,900 orang tambahan tersebut berikutan perbincangan semasa lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Januari lalu, kuota haji Malaysia telah dikembalikan kepada 27,900 berbanding 22,230 sejak 2013. Abdul Azeez berkata selain manfaat tersebut, lawatan Raja Arab Saudi itu juga membawa pelbagai kebaikan selain pelaburan dalam negara.

Bernama

2. Khidmat Imigresen KLIA diiktiraf terbaik dunia

Perkhidmatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) diktiraf dan dianugerahkan sebagai Perkhidmatan Imigresen Lapangan Terbang Terbaik Dunia pada Majlis Anugerah Lapangan Terbang Dunia SKYTRAX di Ekspo Terminal Penumpang di Amsterdam, Belanda, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata kemenangan itu mencerminkan tahap perkhidmatan tinggi warga kerja Jabatan Imigresen di KLIA selaras dengan slogan Integriti Profesional Mesra yang sentiasa diterapkan dalam penyampaian perkhidmatan Jabatan Imigresen.

Anugerah Lapangan Terbang Dunia itu adalah berasaskan kajian daripada 13.82 juta responden melibatkan lebih 105 rakyat pelbagai negara yang menaiki pesawat, meliputi lebih 580 lapangan terbang di seluruh dunia.

Bernama

3. Hutan Lipur Sekayu viral sebab kotor

Terkesan dengan tular di media sosial kerana didakwa gagal menjaga dan melakukan kerja-kerja pembersihan di Hutan Lipur Sekayu, beberapa pihak telah tampil memberi penjelasan.

Pegawai Hutan Daerah Hulu Terengganu, Mohd Asri Yussof berkata pihaknya tidak menafikan bahawa ketika suasana di situ dirakam, kawasan tersebut bermasalah namun ia bukanlah sepanjang waktu dalam keadaan sedemikian.

Selain daripada itu, beliau turut menafikan bahawa bayaran masuk ke hutan lipur tersebut adalah RM8 seorang tetapi hanya RM2 untuk dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak. Asri berkata pihaknya bertanggungjawab mengutip sampah dua kali sehari iaitu pada pukul 1 pagi dan kali kedua pada 4 hingga 5 petang.

Sumber laporan

4. Johor bukan tempat untuk individu yang korup! – TMJ

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan tiada tempat individu mahupun pihak tidak berintegriti dan korup di negeri ini. Menurutnya, individu yang diberikan amanah dan tanggungjawab diingatkan supaya menjalankan kewajipan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

“Saya ingin beri nasihat sedikit terhadap isu berbangkit berkaitan dengan negeri Johor Darul Ta’zim. Perlu saya ingatkan di negeri Johor ini tidak akan ada tempat untuk mereka-mereka yang tidak mengamalkan integriti dalam tugasan yang diberikan serta terlibat dengan budaya korup.

Kepada mana-mana individu yang diberi amanah dan tanggungjawab, jalankan kewajipan anda untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik,” katanya seperti dipetik dari laman Facebook Johor Southern Tigers.

Sumber laporan

5. Air Selangor kena curi, rugi RM129,145

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) kerugian lebih RM129,145 akibat tindakan sebuah ladang ternakan ayam di Jalan Raja Abdullah, Batu 20, Jeram di sini mencuri air lebih setahun lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, ladang tersebut telah beroperasi sejak Julai 2012, namun hasil siasatan dan risikan mendapati pemiliknya telah menjalankan kegiatan mencuri air terawat sejak Januari 2015.

Katanya, operasi penguatkuasaan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ke premis berkenaan semalam mendapati pemilik telah melakukan satu sambungan haram daripada paip utama. Pemilik ladang tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM100,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber laporan