1. 16 kenderaan cair terbakar

Sebanyak 16 kenderaan rosak selepas terkena api dipercayai berpunca daripada bahan kimia  yang terdapat di dalam longkang di luar kawasan sebuah kilang plastik di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini, hari ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang kesemua kenderaan itu mencair dari bahagian bawah selepas terkena api di dalam longkang yang mengandungi cecair dipercayai jenis solvent.

Difahamkan, cecair bersifat peluntur itu adalah  lebihan limpahan dari tangki simpanan bahan kimia di bawah tanah milik kilang terbabit yang kemudian mengalir ke dalam longkang sepanjang 61 meter.

Sumber laporan

2. Rakyat Malaysia kena penjara di Singapura

Seorang lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun didapati bersalah kerana terlibat dalam perniagaan membawa keluar pesalah imigresen dari Singapura menerusi Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Lembaga Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Chee Tian Hao dijatuhi hukuman dua tahun penjara dan tiga sebatan pada 23 Mac lepas kerana cuba menyeludup keluar Md Islam Md Haris Madbar, seorang warga Bangladesh berusia 32 tahun yang tinggal lebih masa.

Md Islam ditemui disembunyikan di bahagian lantai tempat duduk belakang di dalam sebuah kereta yang didaftarkan di Malaysia.Kenderaan terbabit telah ditahan dan akan dirampas. Susulan tangkapan Chee dan Md Islam, pegawai ICA menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan mendapati bahawa seorang lagi lelaki warga Malaysia terlibat dalam urusan pelepasan haram itu.

Bernama

3. MARA peruntuk RM2 bilion biaya 68,000 pelajar tahun ini

Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM2 bilion tahun ini untuk membiayai 68,000 pelajar tajaannya termasuk 20,000 pelajar baharu.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata penajaan itu diberikan kepada pelajar mengikut kategori kelayakan pendapatan ibu bapa masing-masing.

Bernama

4. Tempoh tunggu haji dipendekkan kepada 89 tahun daripada 102 tahun

Tempoh menunggu untuk menunaikan haji bagi rak­yat Malaysia kini menjadi 89 tahun iaitu dipendekkan 13 tahun berikutan penambahan kuota haji kepada 30,200 orang tahun ini berbanding 27,900 orang sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tempoh menunggu kepada 2.5 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sebelum ini adalah 102 tahun.

“Kita mempunyai keseluruhan pendeposit Tabung Haji lebih sembilan juta orang dan kira-kira 2.5 juta pendeposit telah tersenarai untuk pergi haji,” katanya.

Sumber laporan

5. Harga terkini petrol dan diesel akan diumum bermula besok

Bermula esok, rakyat Malaysia akan menyaksikan harga bahan api di pam minyak ditetapkan setiap minggu, bukan lagi setiap bulan seperti yang dilaksanakan sejak Disember 2014.

Dengan itu, pelarasan harga bahan api, iaitu petrol dan diesel, akan diumumkan pada tengah malam setiap Rabu dan harga itu akan berkuatkuasa pada Khamis. Bagi pengguna, ini bermakna harga runcit bahan api di pam akan kekal sama atau berubah setiap Khamis.

Kaedah penetapan harga mingguan itu dikatakan perlu dalam menambah baik pelaksanaan pengapungan terkawal secara bulanan sebelum ini khasnya memandangkan harga minyak dunia berubah setiap hari. Oleh itu perubahan harga setiap bulan itu kemungkinan tidak menunjukkan harga sebenar kepada pengguna.

Sumber laporan