1. Rosmah gembira dan sokong RUU, kesalahan seksual terhadap kanak-kanak

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota Parlimen yang memberi sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Rosmah yang juga Penaung Program Permata Negara (Permata) berharap agar RUU itu dapat diluluskan dan dipercepat untuk diguna pakai bagi menghindari kejadian yang tidak diingini berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Bernama

2. Dego Ride, Malaysia contohi negara maju

Malaysia akan mencontohi Tokyo, Singapura, London dan New York yang tidak menggunakan operasi teksi motosikal di bandar mereka. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Menjawab persoalan mengapa kenapa Ride tidak dibenarkan beroperasi di negara ini biarpun negara jiran seperti Thailand dan Indonesia menggunakan perkhidmatan itu, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menerangkan terdapat risiko pengguna motosikal terlibat dalam kemalangan maut dan kemalangan yang mengakibatkan cedera parah adalah 42.5 kali lebih tinggi berbanding bas dan 16 kali lebih tinggi berbanding kereta.

Bernama

3. Perang petrol bermula

Hari ini, sejarah baharu tercipta apabila kerajaan melaksanakan kaedah penetapan harga bahan api secara mingguan, bagi menggantikan mekanisme secara bulanan yang diguna pakai sebelum ini. Pengumuman penetapan harga petrol dan diesel secara mingguan itu ialah pada setiap hari Rabu dan harga akan berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam pada hari berikutnya, iaitu Khamis.

Kaedah yang digunakan oleh kerajaan bagi menetapkan harga bahan api, bergantung kepada beberapa faktor seperti Mekanisme Penetapan Harga Minyak (APM), kadar pertukaran mata wang ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) serta kesan pembatalan subsidi petrol dan diesel oleh kerajaan.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan kaedah ini menimbulkan kebimbangan daripada beberapa pihak yang melihat, mekanisme berkenaan akan menyebabkan stesen minyak yang mempunyai sumber kewangan kecil tidak mampu bersaing dengan stesen minyak yang memiliki sumber kewangan besar.

Sumber laporan

4. Pemimpin politik ambil dadah

Seorang pemimpin politik di Johor yang bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengambil dadah pada tahun lalu.

Tertuduh, Mohamed Mustafa Abdul Kadir, 57, yang merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Bakri, Muar bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan dadah jenis methamphetamine kepada diri sendiri kira-kira pukul 6 petang di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 1 Ogos tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1)(b) dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.

Sumber laporan

5. Valet Doa akhirnya diarah berhenti beroperasi

Laman Facebook Valet Doa yang menawarkan perkhidmatan kiriman doa untuk dibacakan di Makkah diarah menghenti operasi mereka oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Mufti Selangor.

Dalam pada itu, umat Islam di negara ini turut disaran supaya memberi maklumat kepada Jabatan Agama Islam negeri dan JAKIM sekiranya terdapat kemusykilan terhadap sesuatu isu berkaitan agama bagi tindakan lanjut.

Sumber laporan