Pada awal bulan Februari lalu, Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef) telah membuat satu pelancaran tertutup kenderaan nasional berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4×4) buatan tempatan yang pertama.

Ramai orang memberikan sokongan dan pujian kerana ada anak-anak tempatan berjaya membina kenderaan berperisai yang menyamai taraf antarabangsa kerana lengkap dengan teknologi canggih dan terkini.

Terbaru, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa, MILDEF mahu menjadikan Malaysia sebagai antara negara pengeluar kenderaan pertahanan utama di Asia Tenggara dalam tempoh lima tahun akan datang.

70% pembangunan HMAV 4×4 adalah daripada kepakaran tempatan, manakala selebihnya adalah berdasarkan kerjasama dengan pihak ketiga.

Katanya, Malaysia sehingga kini masih tidak mempunyai kenderaan pertahanan nasional yang mampu menyelesaikan cabaran sokongan selepas jualan dalam perkhidmatan tentera, kerana terlalu bergantung kepada pembekal antarabangsa.

“Industri kenderaan pertahanan mampu melonjakkan lagi ekonomi negara dalam pembuatan kenderaan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta peralatan tulen (OEM).

“Ia juga akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan selain meningkatkan kemahiran tenaga kerja mahir tempatan melalui perkongsian dengan pihak lain.

“Kami percaya, pembangunan kenderaan berperisai HMAV 4×4 ini adalah langkah awal dalam menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama kenderaan sedemikian dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya dalam satu temu bual bersama Berita Harian.

Tambah beliau lagi, MILDEF dalam proses perbincangan akhir bagi pemilikan tanah di Dengkil, Selangor bagi membina kemudahan pengeluaran utama dikenali sebagai ‘Defend City’.

Apabila fasiliti tersebut siap nanti, ia mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran HMAV 4×4 sebanyak 100 buah setahun berbanding hanya 30 hingga 50 buah ketika ini.

Datuk Seri Mohd Nizam turut yakin sepenuhnya HMAV 4×4 menepati standard yang ditetapkan oleh kebanyakan pasukan tentera di dunia. Lebih-lebih lagi setelah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melakukan ujian pada minggu lalu.

“HMAV 4×4 pada minggu lalu sudah diuji oleh ATM dan melalui pelbagai struktur jalan dan cabaran darat dan air. Berdasarkan maklum balas awal, mereka berpuas hati dengan kemampuan HMAV 4×4.

“Malah penyelidikan dan pembangunan HMAV 4×4 juga selama empat tahun ini turut dibantu oleh agensi pertahanan Malaysia iaitu Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride) serta ATM dalam mengesahkan reka bentuk termasuk pembangunan kenderaan mengikut aplikasi standard ketenteraan.

“HMAV 4×4 dicipta sesuai dengan kehendak muka bumi dan iklim negara serantau,” katanya.

vocket-atm-puas-hati-mildef-2
Sumber Gambar: Berita Harian

Sejak kenderaan berperisai MILDEF diperkenalkan pada dua minggu lalu, pihak mereka telah mendapat pertanyaan daripada beberapa negara untuk pembelian dan perkongsian hak cipta intelek.

Terang beliau lagi, ini membuktikan negara lain turut mempercayai produk keluaran Malaysia berdasarkan kepada reka bentuk dan teknologi yang digunakan.

Pada awal bulan Februari lalu, MILDEF telah memperkenalkan kereta berperisai nasional yang pertama dan sudah menerima beberapa tempahan dari luar negara.

MILDEF Buktikan Syarikat Tempatan Mampu Hasilkan Kereta Berperisai Bertaraf Antarabangsa

 

 

Sumber