Pada 29hb Ogos, 1958 lahir seorang anak kulit hitam dari sebuah keluarga besar miskin yang hanya punya rumah 2 bilik di Indiana, Amerika Syarikat. Anak ke-8 dari 10 adik beradik ini hidup dalam masyarakat kaki buli dan dunia rasis yang cukup luas pada waktu itu.

Hunter Killer Photo
HYPE
Misi Menyelamat Penuh Debaran Dalam ‘Hunter Killer’
Baca lagi →

Hampir kesemua adik-beradiknya merasa bagaimana mereka dihina, dikecam dan dilanyak dengan tangan, kayu serta kata-kata yang tajamnya hingga tembus ke dada masing-masing.

Lahir dari keluarga yang sukakan muzik, ibunya pernah bermain clarinet dan ayahnya seorang peninju juga pandai bermain gitar.

Kedua ibu bapa ini terkenal dengan sikap tegas dan pernah dikatakan seolah mendera anak-anak mereka sendiri kerana mahu mendisiplinkan anak-anak mereka.

Pada tahun 1964, tiba-tiba Amerika Syarikat digegarkan dengan sebuah album dari anak kulit hitam yang dinamakan The Jackson.

Kumpulan ini berjaya memberi nafas baru dunia muzik yang dianggotai oleh lima adik-beradik lelaki Michael Jackson. Waktu ini, beliau baru berumur 6 tahun.

Pada tahun 1971, Michael Jackson berdiri sendiri dengan memulakan langkah solo beliau.

 

micheal-jackson

Selepas 9 tahun, Michael Jackson tiba-tiba menjadi manusia paling berpengaruh di dunia melalui muzik yang beliau lagukan.

Satu demi satu mesej dihantar melalui lirik lagu Beat It, Billie Jean, Thriller, Earth Song, Heal The World, The don’t really care about us, Man in the mirror, Bad, The way you make me feel, Black or White dan banyak lagi.

Semuanya ada skrip pesanan yang tersendiri kepada seisi dunia supaya menolak rasis, menolak kekejaman buli kerana warna kulit, menolak peperangan, menolak perangai haiwan, dan menolak semua bentuk keburukan.

Dan hingga hari ini, lagu beliau terus menjadi tukang inspirasi kepada hampir semua penduduk bumi. Beliau kaya, sangat kaya.

Dan sehingga hari ini juga beliau dikenali dengan memberi adab yang baik melalui lagu-lagu yang sarat dengan kata-kata perjuangan kepada manusia.

Rasis tak pernah berhenti dan Michael Jackson juga tidak pernah putus asa berjuang melalui apa yang dia ada.

Suara, tarian dan lirik lagu. Terbaik di kerusinya yang tersendiri hingga dia mati.

Kau tahu kawan,

Di Malaysia ada seorang lelaki yang lahir pada 22hb Mac, 1929. Juga bukan lahir dari keluarga senang dan hidup pada zaman remajanya pada waktu belum Merdeka.

Beliau pandai menyanyi. Suaranya lunak. Juga pandai menulis, kata-katanya sedap.

Juga seorang bijak yang cukup bertenaga otaknya hingga boleh mengarah, berlakon dan menjadi jantung kepada sesebuah filem di Tanah Melayu.

Ya kawan, waktu itu, Tanah Melayu cukup bersatu. Sebut sahaja Malaya, Indonesia, Singapura, semuanya sama sahaja.

pramlee

Orang ini juga berjuang dalam kehidupannya. Melihat kemiskinan sebagai satu kekayaan.

Yang kurang senang diangkat ke medan lensa dan akhirnya ia menjadi penglihatan besar kepada dunia. Kadang-kadang kita ketawa, kadang-kadang juga air mata mengalir panas tanpa sedar.

P Ramlee yang asalnya hanya mahu berkarya kerana bakat, akhirnya dikenali kerana perjuangannya.

Kau boleh baca naskah Daniyal Kadir yang telah pun dibukukan, tajuknya Membedah P Ramlee.

Ia banyak bercerita bagaimana satu-satu filem itu memberi mesej kepada masyarakat. Itulah perjuangan, kawan.

Semasa hidup, orang yang berjuang tidak pandai mahu menyebut-nyebut tentang orang itu begitu begini.

Mereka fokus untuk memberi nilai kepada orang lain dan akhirnya populis itu datang dengan sendiri melalui pujian, melalui keyakinan dan melalui penghormatan.

Dan kawan, mereka ini berjuang atas nama mahu menghormati suasana, mahu menyanjungi saudara, mahu mengajar tentang kasih sayang suami isteri, mahu memberi ketawa kepada mereka yang penat bekerja dan mengambil lelah di panggung wayang.

Dan mahu memberitahu kepada dunia yang karya-karya mereka ini penuh mesej tentang politik, tentang jangkaan negara, tentang kuasa itu ini, tentang kemiskinan yang tidak pernah berhenti, tentang ibu, tentang anak-anak yang dimanja boleh menjadi sejahat-jahat, tentang dunia yang porak peranda, tentang semuanya.

Maka mereka akan terus berkarya tanpa ada kelebihan zahir apa-apa. Yang penting ialah berjuang memandaikan manusia.

Ya, benar dia merempat, dia memang sudah lama bertempat di hati kami semua. Yang mana selama ini kami ketawa kerana karyanya. Juga kami belajar menangis juga kerana hasil kerjanya.

Sebut sahaja nama biduan, nama sasterawan, nama negarawan, nama sipolan bin sipolan yang berjaya mengharumkan nama negara, adakah setanding dia?

Tidak ada walau kau ada jutaan ringgit, kau tak pernah berdiri sama tinggi. Tak mungkin duduk sama rendah. Dialah P Ramlee yang kami kenal semasa kecil hingga hari ini.

pejuang

Kawan-kawan,

Berjuanglah dengan apapun karya walau ia hanya sebungkus nasi lemak. Jika perjuangan bangun pagi memasak dan menghidang sepuluh dua puluh orang itu hanya memulangkan kepada tapak tangan kecil kau dua tiga puluh ringgit, itu mungkin boleh buat kau beli baju anak untuk mereka ke sekolah.

Tak mengapa kita semua tidak kaya, yang penting kita semua ada adab yang pandai menghormati perjuangan orang lain.

Khairul Hakimin Muhammad
Berjuang memang susah.

Artikel di atas disumbangkan oleh Khairul Hakimin. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group