Jalan raya di Sabah dan Sarawak selalu menjadi isu yang sering diperkatakan oleh orang ramai yang bertandang ke sana. Kalau anda mempunyai pengalaman ke Sabah dan Sarawak, anda pasti terkejut dengan beberapa kualiti jalan yang ada di sana.

Terbaharu, melalui satu laporan yang dikeluarkan oleh Harian Metro, ia menunjukkan sebuah jalan yang dibina di Sarawak menggunakan bahan berkualiti rendah, namun ‘untung’ yang diperoleh mencecah RM800 juta.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Difahamkan jalan raya tersebut hanya dibina dengan menggunakan lapisan tar yang dianggarkan hanya setebal dua inci. Akibat daripada perbuatan tersebut, jalan itu mudah rosak ketika dilalui oleh kenderaan berat.

Keadaan jalan yang menjadi penghubung antara kawasan pendalaman nyata menyusahkan penduduk walaupun di dalam syarat kontrak, difahamkan, syarikat yang bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja membaik pulih menjanjikan lapisan batu kerikil dan pasir.

Sumber Harian Metro menyatakan bahawa banyak aduan telah diterima daripada penduduk setempat berhubung keadaan jalan yang teruk disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati piawaian yang telah dijanjikan.

Penduduk juga menyatakan bahawa ada jalan yang tidak lagi dapat digunakan dan rosak selepas beberapa bulan dibina dan ia melibatkan beberapa kawasan di Miri, Kapit, Ba’kelalan, Limbang dan Belaga.

“Hasil kajian teknikal mendapati jalan ini langsung tidak menepati piawaian pembinaan jalan yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Jalan ini hanya diletakkan lapisan tar nipis setebal dua inci di atas permukaan tanah. Tiada lapisan batu kerikil dan pasir seperti dalam syarat kontrak,” katanya.

Ditahan SPRM

Susulan daripada itu, dua pengarah syarikat yang diberi amanah bagi melaksanakan 10 Projek Menaik Taraf Jalan di Negeri Sarawak telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki melakukan rasuah mengemukakan tuntutan palsu kepada Kementerian Pertahanan.

Sumber Harian Metro menyatakan bahawa kedua-dua individu yang berpangkat Datuk telah ditahan dalam satu operasi khas di Kuching, Sarawak semalam.

Manakala siasatan mendapati projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak di bawah Kementerian Pertahanan telah dianugerahkan kepada syarikat berkenaan sejak 2010 hingga 2016.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya telah mengesahkan penahanan itu dan siasatan dibuat dengan kerjasama Kementerian Pertahanan selepas laporan audit dalaman kementerian menunjukkan kegagalan projek terbabit.

Difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak sudah mengarahkan JKR Negeri untuk membaik pulih dan menaik taraf jalan berkenaan kerana kegagalan kontraktor yang dilantik melaksanakannya.

Terdahulu, NASA telah berkongsi satu imej perbezaan kawasan hutan di antara Sarawak dan Brunei. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

NASA Kongsi Imej Perbezaan Kawasan Hutan Di Antara Sarawak Dan Brunei

Sumber