Hai, anda pernah lihat logo di bawah? Pernah? Anda tahu maksudnya?

Mari kita selami cerita di sebalik logo ini.

Ada BeSS, barulah best!

Bukan logo biasa

Logo biru putih bulat ini anda akan dapat lihat di kedai-kedai makan.

Ianya adalah pengiktirafan Bersih, Sihat dan Selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada premis-premis yang mematuhi syarat-syarat penyediaan makanan yang bersih, sihat dan selamat kepada pelanggan.

Ya, ianya bukan sahaja menitik beratkan aspek keselamatan, tetapi juga kesihatan.

Bermakna, bukan sahaja makanan yang anda bakal suap itu bersih, tetapi seimbang dan jumlah pengambilan kalori mematuhi setiap saiz hidangan.

Apa maknanya untuk anda?

Encik Feroz bersama logo BeSS.

Sebagai seorang ibu, saya juga mahu anak-anak memilih makanan yang lebih sihat.

Dengan adanya logo ini, tidak perlulah saya tercari-cari premis yang sesuai dengan keperluan diet anak dan keluarga.

Premis-premis BeSS menyediakan makanan yang kurang lemak, minyak, gula, garam dan tambah serat.

Lagipun menurut Encik Feroz, pemilik trak L’Pizz Pizza, seorang pengusaha makanan yang diiktiraf BeSS, “Kalau dahulu restoran ada pengkelasan A, B, C, D – BeSS sebenarnya adalah pengkelasan A, ditambah dengan elemen sihat.”

Menurut Encik Feroz lagi, pengiktirafan BeSS mementingkan aspek penyediaan makanan dari memilih, menyimpan, memasak sehinggalah makanan dihidangkan kepada pelanggan.

Dengan BeSS, bisnes saya berkembang

Saya pernah menemuramah Encik Feroz untuk bertanya pengalaman beliau menjaga kebersihan sepanjang menjalankan perniagaan trak makanan.

Saya bertanya, “Kenapa Tuan sangat tekankan aspek kebersihan?”

“Apa yang membezakan kita dengan yang lain? Kebersihan,” jawabnya pendek.

“Kenapa kita masuk ke dalam restoran-restoran besar yang ada nama? Kebersihan,” katanya lagi.

“Apabila kami mahu sertai satu program bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), iaitu 1MMH (1 Malaysia Mobile Hawker), salah satu kriteria mereka adalah bersih.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui KPDNKK memperkenalkan kami kepada pengiktirafan BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat).

Siapa sangka, perniagaan L’Pizz Pizza menerima lebih banyak pendedahan selepas mendapat sijil BeSS.

Pengikirafan BeSS buat Feroz lebih mudah berniaga.

“Contohnya jualan mega di Johor. Kami ‘dipaksa’ hadir kerana kami adalah trak contoh.

Oleh kerana saya menemuramah Feroz ketika acara MAHA 2016 di MAEPS, Serdang, saya meminta beliau bercerita mengenai hal itu.

“Selalunya tapak jualan di ekspo-ekspo mahal. Oleh kerana kami masuk melalui agensi, harga tapak adalah lebih berpatutan.

“Kami dapat masuk MAHA dengan lebih mudah.

“Malah di MAHA, kami mendapat tapak di laluan orang ramai.

“Kami dijemput berniaga di Morib. Ketika itu ada 20 biji trak makanan. Kami dapat tapak di depan sekali, tapak nombor satu. Menteri naik dan masuk trak makanan kami.”

“Ketika di Selama, Perak, kami dapat tapak yang pertama juga.”

“Kami juga pernah berniaga di Kilang Bateri, Johor. Di sini, kami berniaga di dalam dewan.”

Jelaslah, untung sangat berniaga dengan menjaga kebersihan ini.

Apa itu BeSS?

BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) adalah satu pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengiktirafan BeSS adalah satu inisiatif KKM kepada premis-premis makanan untuk penyediaan yang lebih bersih, selamat dan sihat kepada pelanggan.

Ianya adalah satu program penambahbaikan terhadap program pemantauan sedia ada yang dilaksanakan oleh KKM.

KKM akan membimbing pengusaha premis makanan dari segi keselamatan makanan dan mempromosi makanan yang lebih sihat.

Setiap premis BeSS dipantau selama 3 tahun, jadi anda tidak perlu ragu-ragu apabila mengunjungi kedai-kedai makan BeSS bersama keluarga.

“Pengusaha bijak yang mengamalkan kebersihan dan keselamatan makanan digalakkan memohon pengiktirafan BeSS bagi mewujudkan
persekitaran makanan yang berkualiti.” – Puan Noraini Binti Dato’ Mohd Othman, Pengarah Kanan Bahagian
Keselamatan dan Kualiti Makanan.

Tidak terhad kepada premis mewah

Bersama staf Encik Feroz yang bertugas di MAHA 2016.

Kalau dahulu kita samakan makanan mahal dengan bersih, tetapi sekarang kita sudah boleh ubah cara kita berfikir.

Kalau dahulu hanya kedai-kedai besar ada proses pemakanan yang bersih dan teratur, kini kedai-kedai kecil pun boleh berdiri sama tinggi duduk sama rendah dalam aspek kebersihan.

Antara bimbingan KKM termasuklah peralatan-peralatan yang perlu ada, dan cara-cara mengendalikan makanan seperti memilih, menyimpan, menyahbeku, memasak dan menghidang.

Pelbagai kategori vendor makanan layak memohon Pengiktirafan BeSS seperti gerai penjaja (hawkers), gerai / medan selera, restoran / kedai makan, kafeteria, kantin / dapur asrama, trak makanan dan katering.

Jadi siapa berani kata makanan murah (atau mampu milik) itu tidak bersih?

Lebih-lebih lagi apabila premis itu telah memperoleh Pengiktrafan BeSS?

Setelah anda tahu fakta ini, yang mana anda mahu, vendor dengan Pengiktirafan BeSS atau tanpa Pengiktirafan BeSS?

Untuk pemilik premis makanan, anda tahu apa yang perlu dilakukan, bukan?

BeSS lagi

Ini pula cerita BeSS, dari kacamata Ahmad.

Comel dan mudah faham. Senyum.

Maklumat lanjut

Untuk maklumat lanjut tentang pengiktirafan BeSS, anda boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri berhampiran, atau layari laman web BKKM KKM dan laman Facebook BKKMHQ.

Untuk lebih mudah, anda boleh meneliti lampiran ini.

Ada BeSS baru Best!