Entah berapa kali saya taip dan delete artikel ini. Tidak begitu selesa untuk saya kongsi keputusan peperiksaan anak-anak saya di media sosial. Saya gagahi juga setelah rakan-rakan baik saya memohon saya kongsikan sebagai pengajaran dan supaya ibu bapa di luar sana dapat melihat dari perspektif berbeza. InsyaAllah.

Apabila saya lihat gambar ini dan kenangkan apa yang Irsyad lalui sepanjang tahun, air mata mengalir juga tanpa sedar. Bukan mudah bagi anak kecil yang bakal menjejak 12 tahun pada 13 Disember ini untuk mengharunginya. Saya sendiri sebagai orang dewasa belum tentu mampu melaluinya.

Menghadapi peperiksaan besar bagi sekolah rendah, membawa harapan pelbagai pihak serta ‘peer pressure’, dalam masa yang sama diuji dengan kesihatan. Tahun ini sahaja sudah 3 kali masuk hospital.

Belum dicampur dengan cuti sakit berikutan temujanji bersama 3 jenis doktor pakar setiap bulan; pakar kanak-kanak, pakar hidung/telinga/tekak dan pakar mata.

Dengan pengambilan steroid, keadaan kesihatan Irsyad perlu dipantau dengan rapi, dikhuatiri ada implikasi lain. Alhamdulillah buat masa sekarang semuanya baik.

“Kenapa Irsyad nak susah payah ambik rumput untuk Adam dengan Salehuddin (kuda padi)? Bagi dedak cukuplah. Irsyadkan tak sihat. Nak periksa lagi (UPSR)?” antara perbualan kami berdua sebelum ini.

Takpa ibu. Kami sayang Adam dengan Salehuddin. Semua binatangkan makhluk Allah. Depa pun berzikir kat Allah. Kami nak jaga depa elok-elok. Kami harap depa doa kat kami. Doa bagi kami sihat, doa bagi kami dapat elok periksa UPSR ni. Kami banyak tertinggai kelas.”

Allah! Ibu tersentap dengan jawapan sebegini anakku.

Surah Al-Isra ayat 44 telah disebutkan bahwa Allah SWT berfirman,

“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sungguh, Dia Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.”

Inilah dia agaknya testimoni hasil usaha gigih diiringi doa dan tawakkal seorang anak kecil yang tidak risaukan penghargaan manusia seperti orang dewasa. Ada ketikanya dipandang remeh oleh orang dewasa dengan kata-kata sinis mengambil kesempatan di atas penyakit untuk kerap tidak hadir ke sekolah. Menitis airmata kecewa si Irsyad beberapa kali menerima tohmahan sedemikian.

Allah S.W.T Maha Adil, dihantarNya seorang guru kelas yang sangat memahami dan mengambil berat menjadi sandaran Irsyad berpaut sepanjang tahun. Terima kasih Cikgu Yaacob!

Hanya Allah S.W.T yang dapat membalas budi cikgu sekeluarga yang memberi keyakinan dan kepercayaan kepada Irsyad. You are one in a million cikgu! Hanya ucapan terima kasih yang dapat saya sekeluarga ucapkan.

Apa yang boleh saya simpulkan dan titipkan buat ibu bapa yang punya anak yang sakit dan bakal menghadapi peperiksaan besar ialah jangan kita juga sebagai orang yang paling mereka percayai mengambil kesemuanya dari mereka. Jangan ambil dan bunuh minat mereka, jangan ambil dan bunuh kecintaan mereka terhadap sesuatu seperti hobi bersukan dan sebagainya selagi tidak memudaratkan.

Mereka sudah terguris dengan individu-individu yang tidak cuba memahami serta tidak menjaga lisan, jangan kita tambah lagi. Hanya kitalah sandaran mereka untuk berpaut dan mencari kekuatan. Biar mereka bersukan jika itu kecintaan mereka, jangan dikurung hidup mereka dalam kesakitan.

Saya juga mahu tekankan di sini supaya kita memberi mesej yang betul kepada anak-anak kecil yang masih putih bersih ini.

Jangan kita menidakkan mereka yang mendapat keputusan cemerlang dan yang berusaha gigih dengan mengatakan A di dalam UPSR itu tidak menunjukkan apa-apa.

Jangan kita menidakkan usaha dan pengorbanan guru-guru yang tinggalkan keluarga untuk mendidik anak-anak yang bukan darah daging mereka. Saya sendiri sepanjang tahun ini rimas tidak boleh ke mana dengan jadual padat anak saya, cuba bayangkan apatah lagi para guru yang ditekan dengan KPI sekolah, PPD, negeri dan berbagai lagi.

Jadinya mana mungkin jumlah A tidak menunjukkan apa-apa? Ianya menunjukkan hasil selepas berusaha, berdoa dan bertawakkal pada yang Esa.

Jika belum rezeki selepas berhempas pulas tidak mengapa, kita cuba lagi di peperiksaan akan datang atau kita gilap potensi lain yang ada pada anak. Bukan dengan mengatakan ianya tiada makna.

Peperiksaan juga medan anak-anak kita mengurus emosi. Over confident juga boleh menukar semuanya 360 darjah.

“Ibu, pasaipa kami dok baca kat Facebook orang dok kata UPSR tu tak dak makna apa-apa? Awat kata lagu tu? Kami ni dok hospital pun bawak buku. Orang tidoq kami mangkit awai study apa yang kami tertinggai tak pi sekolah. UPSR tak dak apa-apa?”

Saya mahu menjawab pun jenuh.

“Orang gagal mencari alasan, orang berjaya mencari peluang.”

Jangan kita bikin sutera putih ini keliru dengan teori-teori untuk menyedapkan hati kita golongan dewasa. Berilah mesej yang betul pada anak kecil kita. Jangan kita ajar mereka mencari alasan.

Jika mahu marah, marahlah pada tangan-tangan ajaib di kementerian yang saban tahun bertukar dan menjadikan murid-murid serta para guru sebagai tikus makmal untuk mereka menunjukkan taring.

Ampun dan maaf jika coretan ini tidak sealiran dengan anda.

Tahniah anakanda ibu, Cad untuk 5A1B baru-baru ini. Orang sakit juga boleh berjaya jika berusaha, tiada yang percuma.

Terima kasih tidak terhingga buat keluarga NGO Wargakilang yang tidak jemu titipkan doa serta solat hajat buat Cad.

Tentang Irsyad

Pada Januari 2016, Irsyad atau Cad disahkan mengalami Nephrotic Syndrome atau kebocoran di buah pinggang. Sepatutnya, protein kekal di dalam tubuh manusia dan berfungsi mengawal air di dalam tubuh, tetapi buat penghidap sindrom ini, protein tersebut keluar (bocor) melalui urin.

Apabila berlaku kebocoran protein, kawalan air di dalam tubuh menjadi tidak baik dan tubuh pesakit akan menjadi sembab (puffy).

Jika perkara ini tidak dikawal dengan baik ianya akan memberi impak kepada organ lain terutamanya paru-paru dan jantung.

Untuk menangani situasi ini pesakit diberi sejenis ubat steroid (Prednisolone) dan akan dipantau selama 6 bulan. Jumlah steroid yang perlu diambil oleh pesakit bergantung kepada umur dan berat badan mereka.

Setiap hari Irsyad akan membuat ujian protein di dalam urin menggunakan tester yang boleh dibeli di farmasi luar atau hospital kerajaan untuk mencatatkan bacaannya di dalam sebuah buku yang disediakan khas untuk beliau.

BACA: Keputusan UPSR Teruk Tapi Akhirnya Ini Yang Telah Saya Capai