Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Tahun 2018 merupakan tahun yang hebat untuk dunia perfileman tempatan. Sepanjang tahun lalu, sebanyak 51 filem tempatan diterbitkan dengan kutipan kasar mencecah RM165.3 juta; iaitu hampir tiga kali ganda berbanding 2017.

Penonton di Malaysia sudah kembali percaya dengan hasil filem tempatan dan disebabkan itu, ramai yang mula kembali memberi sokongan kepada filem tempatan yang berada di pawagam. 15 Mac depan pula, selepas 6 tahun karya sekuel Bikers Kental 2 akhirnya akan berada di pawagam!

Sedikit tentang sinopsis Bikers Kental 2. Bidin Al-Zaifa (Zizan Razak) perlu ke Thailand untuk mendapat restu keluarga Cherry (Julangtip Sukkasem) untuk mengahwininya. Namun, ianya tidak semudah yang disangka kerana Albuqueque (Amerul Affendi) dan abangnya Ponthaliwat (Bront Palarae) menanti beliau di Thailand. Disebabkan itu, beliau memerlukan bantuan Eddie Cuardo (Awie) dan Afdlin Syauki untuk menyelamatkan beliau daripada gangguan Albuqueque .

Jadi adakah filem ini mampu untuk jadi salah satu filem ‘pecah panggung’ untuk tahun ini? Menjadi antara yang pertama menonton filem ini sebelum yang lain, ini beberapa kekuatan filem ini.

1. Filem road trip yang santai

Bikers Kental 2 adalah filem aksi santai yang sesuai untuk ditonton bersama seisi keluarga. Filem kedua ini memang ada kaitan dengan Bikers Kental yang pertama dan tidak memerlukan penceritaan watak daripada mula.

Tetapi jika anda terlepas atau ingat-ingat lupa dengan filem yang pertama, ianya tidak menjejaskan pemahaman anda untuk filem yang kedua ini. Filem ini menjalani penggambaran di sekitar Danok, Songkla, Hatyai, Trang dan Phuket dan kami yakin bahawa filem ini akan terus mendapat dokongan padu masyarakat tempatan khususnya peminat sukan dan hobi permotoran.

Konsep filem road trip ini mudah diterima semua peringkat umur dan selepas menonton filem ini, rasa macam mahu ke Thailand konvoi naik motor pun ada dan memang betul; ride sorang-sorang memang tidak seronok tanpa rakan-rakan.

2. ‘Comeback’ Afdlin Shauki dalam dunia perfileman

Bikers Kental Afdlin

Sudah agak lama tidak melihat Afdlin Shauki berlakon filem. Ketika bertemu Afdlin semasa sidang media Bikers Kental 2, beliau berkata keputusan untuk kembali berlakon adalah disebabkan pujukan pengarah Helmi Yusof yang mahu beliau berada dalam filem Bikers Kental 2.

Watak Afdlin juga perlu dipuji kerana beliau melakukan sendiri keseluruhan babak aksi yang terdapat dalam filem ini Afdlin adalah penyeri baharu untuk siri Bikers Kental ini selepas ketiadaan tonggak Bikers Kental yang pertama seperti Allahyarham Harun Salim Bachik dan Zul Ariffin.

3. Kehebatan ‘Albuqueque’

biker kental amirul

Dalam banyak-banyak watak, watak Albuqueque lakonan Amerul Affendi antara yang menarik perhatian. Amerul memang memberi 100% usaha dalam menjayakan watak beliau sebagai penyangak Thai. Sepanjang filem ini, beliau bercakap bahasa Thai ibarat beliau memang berasal dari sana.

Dari segi lakonan, tidak perlu diulas banyak kerana Amerul memang tidak ‘keras’ dan membawa wataknya dengan baik. Harapnya Amerul akan terima watak filem yang lebih selepas Bikers Kental 2 ini.

4. Gabungan aksi dan penceritaan yang baik

Bikers Kental 4

Untuk filem kedua ini, bagi kami susunan penceritaan dan babak aksi adalah lebih baik dan tidak meleret. Ditambah lagi dengan punch line daripada Awie, Zizan Razak dan Afdlin Shauki, memang berdenyut! Owh tidak lupa, pemilihan lagu Thai dalam filem ini juga mantap!

Bikers Kental 2 adalah karya filem yang pada kami mempunyai potensi untuk box office tahun ini. Jika anda menyukai Bikers Kental yang pertama, anda pasti akan lebih enjoy karya kedua hasil tangan Helmi Yusof ini. Jangan risau, kedai makan Saiyaa Sukaporn masih wujud dalam Bikers Kental 2.

P/S: OST untuk filem ini pula dinyanyikan oleh Akim Ahmad dan Faizal Tahir. Sampai ke lagu OST pun mereka buat yang terbaik.