Masalah paling besar dalam sesebuah penulisan berita adalah – RUANG!

Untuk akhbar, mereka punya ruang yang terhad untuk memuatkan sesebuah berita dalam ruang beberapa mukasurat yang diberi kepada setiap meja berita.

Berita am ada berapa, ekonomi, sukan, kolumnis, rencana dan sebagainya bukannya boleh pakai hentam isi sahaja.

Ada hari, berita amat banyak sampai tak cukup ruang. Ada hari yang ‘dry’ wartawan sampai kalut lari sana-sini cari bahan.

Jangan lupa dalam akhbar akan ada juga perebutan ruang untuk masukkan gambar, iklan, dan juga akan ada berita yang dapat tajuk font besar, siap bold dan ada pula yang haluuuussss amat sampai kau pun boleh tak perasan.

Berita online juga ada masalah sama, walaupun tidak terikat dengan ruang secara fizikal, tetapi bila pengguna ketik pada link dan lihat artikel panjang sangat, that can become a turn off for readers.

Jangan lupa lebih 90 peratus pengguna internet negara ini melayari laman sesawang menggunakan telefon.

Maka dengan berita panjang dan orang jenuh nak scroll down memang sama ada orang tak baca atau simpan untuk bacaan kemudian (yang jarang pun dibaca kemudiannya).

Itulah sebabnya seseorang wartawan perlu bijak menilai bahan apa nak dimasuk dan bahan apa nak ditapis keluar.

Sebab itulah kalau kau ditemubual wartawan, janganlah harap sangat apa yang kau katakan sebiji-sebiji akan disalin-tampal ke dalam berita.

Satu lagi cara wartawan saring bahan yang nak dimasukkan adalah dengan memastikan bahan yang nak dijadikan berita selari dengan ideologi sesebuah rumah penerbitan.

Jadi kalau pun si subjek berucap panjang, jangan terkejut hanya sekelumit benda yang dia cakap akan keluar.

Ideologi rumah penerbitan ada pelbagai.

Ada yang berat ke belah kerajaan, ada yang berat ke belah pembangkang. Ada yang pro Islam, ada yang anti Islam. Ada yang pro sekular ada yang ortodoks.

Ada yang mahu menyatukan, ada yang mahu memecahkan. Ada yang sensitif dengan sentimen masyarakat setempat ada pula yang pakai langgar sahaja asal boleh jual berita.

Ada yang tutup mata benda buruk dan naikkan elemen positif, ada juga yang mahu sengaja memburuk-burukkan golongan yang berbeza ideologi dengan mereka.

Ada yang anti-sesuatu golongan seperti anti-Islam, anti-Kristian, anti-Hindu, anti-Melayu, anti-Cina, anti-India, anti-perpaduan, anti-Semenanjung, anti-kebenaran pun ada.

Jadi setiap kali kau baca berita, fahami juga rumah berita atau jenis berita yang kau baca itu termasuk dalam golongan mana.
Media adalah alat propaganda. Itu adalah satu fakta yang tak mungkin dapat disangkal sesiapa.

Pembaca adalah ibarat kebun, rumah berita pula ibarat petani yang menanam bibit-bibit pohon kepada pembaca sesuai dengan kemahuannya.

Rumah berita, akhbar, portal dan setiap artikel yang kau baca adalah alat yang diguna untuk membentuk opini massa semahu pemilik rumah berita itu.

Opini massa itulah yang akan menentukan perilaku masyarakat. Suka, benci, sokong, bantah, redha, melawan, aman atau perang.
Terkejut? Terasa dipergunakan?

Jadi mulai hari ini hati-hati bila kau laung ‘free media’, ‘free press’ atau ‘freedom of speech’.

Sebab yang berlaku tidak begitu setulennya.

Welcome to reality, or maybe for some – utopia.