Temubual Abang Din Parang, apa yang tak ada dalam artikel sebelum ini.

Intro:

Medan Selera Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru memang port kegemaran sarapan pagiku. Daripada Nasi Lemak sedap sampai tukang roti canai tebaran ikhlas sampai mi kicap tak guna kiub hinggalah thosai rawa chutney segar, semua ada.

Paling penting, di sini aku boleh berkongsi meja dengan sesiapa sahaja, apa bangsa, apa agama, semuanya batasan ciptaan manusia itu tak wujud di medan selera ini.

Busker dia pun boleh tahan, cukup untuk buat kau rasa tak sampai hati beri RM 1 dengan apa yang dialunkan.

Abang Din, gerainya pelik. Berniaga di kaki lima, berniaga pun, bukannya makanan tapi segala alatan tajam. Pisau, parang, gunting, kait rambutan semua ada.

Dua tahun perhati beliau, aku akhirnya buat keputusan untuk tulis tentang dirinya. Terbit di Bernama (sudah tiada di website, dah archive) dan sudi pula akhbar Kosmo! paparkan seluruh mukasurat (artikel aku tulis, gambar aku ambil sendiri) pada Sabtu 26 Mac lalu (Thanks guys, you are awesome!)

Banyak perkara dah diulas dalam artikel tapi ini adalah beberapa perkara yang tidak dimasukkan atas pelbagai sebab.

5 Perkara Aku Belajar Dari Abang Din:

1. Berniaga Dengan ‘Apa Di Tangan’

abang-parang-01

Abang Din terpaksa tinggalkan kerjaya sebagai penjual kereta pada akibat krisis ekonomi yang melanda negara pada 1997. Beliau terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum membulatkan tekad untuk mula berniaga.

Bermula dengan perniagaan barangan am seperti mainan kanak-kanak, Abang Din mengubah rentak perniagaannya kepada sesuatu yang mungkin nampak tak masuk akal pada waktu itu iaitu – alatan tajam.

Sebabnya? Pertama kerana minat. Kedua kerana itulah perniagaan yang beliau mampu buat pada waktu itu.

“Isi barang dalam kereta, bawa ke sini (tapak niaga) dan buka meja, jadilah. Sikit-sikit orang mula tahu, orang mula kenal,” kata beliau yang sudah berniaga di tapak yang sama selama 17 tahun.

2. Tak Perlu Tunggu Sampai ‘Pakar’

abang-parang-02

Aku tanya, “Abang Din memang pakar buat sarung parangkah sejak dahulu, belajar di mana?”

Jawab beliau, “Bukannya pandai mana pun, masa kat kampung ada minat, adalah belajar sikit-sikit. Ikut-ikut orang…”

Tambah beliau, kemahiran itu datang bila kita semakin kerap mempraktikkan sesuatu kemahiran.

3. Kenali Demografi Pelanggan Untuk Rangka Strategi

abang-parang

“Abang mula niaga pukul 7 pagi, habis pukul 3 petang,” kata beliau.

“Pasal apa pagi sangat, bang? Abang keluar rumah pukul berapa?” tanyaku.

“Pelanggan kat sini datang untuk sarapan, pukul 7 dah ramai orang. Lagipun masa pagi, tak panas, orang senang nak tengok parang. Orang mula kurang di sini lepas makan tengah hari. Jadi waktu pagilah nak buat jualan betul-betul. Masa itulah orang sudi membeli… tapi ada satu lagi sebab. Nak tahu?” ujar beliau, membuat aku jadi tertanya-tanya.

“Mestilah nak tahu,” aku jawab.

“Rumah di Subang. Kenalah keluar awal. Kalau keluar lambat mesti sangkut dalam traffic jam! Berniaga habis awal, balik rumah pun tak jam lagi. Minyak pun jimat… hahaha,” jawabnya.

Pergh. Bijak bang.. bijak…. terbaek!” Itu aja mampu aku cakap. Malu sendiri pun ada sebab ada masa aku terbabas juga masuk kerja lewat.

4. Jujur

abang-parang

(Bab ini ada dalam artikel asal).

“Nak berniaga, kena ikhlas, kena jujur,” ujar beliau. Pendek sahaja bila aku tanya tentang nasihat kepada peniaga generasi muda.

“Jujur ini, yang penting adalah dengan diri sendiri dahulu. Kalau dah boleh jujur pada diri sendiri, baru kau akan boleh jujur dengan orang lain.”

Ok, bab ini aku tak perlu ulas panjang. Sebab bila dia sebut hal ini, aku terus tak nampak jauh, tapi diri sendiri aja.

Bahasa mudah – aku pun belum cukup jujur dengan diri sendiri lagi. Kata nak weight loss tapi bila nampak nasi kandar, popia basah, cokodok… jadi lupa diri sekejap. Patutlah masih gendut.

5. Jangan Buang ‘Golden Hour’ Dengan Tengok Tv

abang-parang

Kalau anda baca artikel itu, anda akan tahu Abang Din luang masa 2-3 jam selepas Isya’ untuk siapkan tempahan pelanggan. Aku tak tahu sejauh mana hipotesis aku ini betul, tapi aku teka beliau akan mula buat kerja lepas siaran berita pukul 8 malam.

Ikut kebiasaan orang kita, yang ditunggu bukan berita, tapi rancangan selepas berita seperti drama, filem… apa ajalah. Kalau ikut waktu siaran, itu dah kira waktu perdana. Kalau nak pasang iklan di tv pada waktu itu, memang mahal tak terkata.

Bersembang dengan Abang Din, isu semasa dia tahu belaka, bererti (aku teka) kemungkinan besar dia tengok berita.
Tapi di saat rakyat dilalaikan dengan cerita ‘Married Tapi Benci’, beliau gigih memegang gergaji.

Ertinya, masa itu memang ada. Tinggal kita nak guna cara apa.

Ok rasanya dah panjang tulisan ini. Jumpa lagi lain kali.

Kalau bermanfaat, silakan SHARE ok.

Ali Imran
Married Dan Tak Benci