Kalau anda rasa kopi luwak sudah mahal, tunggu untuk cuba kopi terbaru yang kini jadi kegilaan penggemar kopi di Thailand. Kalau kopi luwak diambil dari sisa tinja musang, kopi hasil idea Blake Dinkin ini pula dihasilkan dari sisa tinja gajah.

Black Ivory Coffee ciptaan Blake ini sudah beroperasi sejak tahun 2012 dan sebelum ini, Blake sudah mahir dengan kopi luwak yang diusahakan oleh beliau di Ethiopia pada tahun 2002 tetapi beliau lebih tertarik untuk menggunakan gajah selepas eksperimen beliau memberi makan kopi kepada gajah berjaya di sebuah zoo di Canada.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Penggembala gajah di Ban Ta Klang Elephant Village, Thailand merupakan penggembala gajah professional kerana komuniti di kampung ini sudah beratus tahun hidup bersama gajah. Gajah-gajah ini digunakan untuk membawa pelancong berjalan di kampung itu dan kini menjadikan pula sisa tinja gajah sebagai pendapatan yang baharu.

Biji kopi bukanlah makanan ruji gajah. Blake membuat satu air minuman khas hasil campuran buah-buahan yang akan diminum oleh gajah melalui belalainya. Enzim di dalam perut gajah membantu untuk hilangkan rasa pahit kopi dan kopi berkenaan akan mempunyai rasa yang tersendiri apabila ianya diproses untuk diminum kelak. Ianya selamat untuk diminum kerana pekerja akan membersihkan setiap biji kopi dengan teliti.

Biji kopi diasingkan dari tinja gajah (Photo: Taylor Weidman/Bloomberg)
Proses pembersihan biji kopi (Photo: Taylor Weidman/Bloomberg)

Biji kopi kemudiannya akan diasingkan dari tinja gajah dan dibasuh sehingga bersih sebelum ianya dijemur dan dibiarkan kering. Blake berkata caffeine di dalam kopi tidak akan membahayakan gajah kerana cengkerang biji kopi akan melindungi caffeine daripada keluar dan caffeine cuma akan keluar apabila ianya dipanaskan.

Walaupun gajah-gajah ini dirantai oleh penggembala mereka, Blake memberi jaminan setiap gajah di perkampungan ini dijaga dengan rapi oleh tuan mereka. Gajah-gajah ini juga mendapat perlindungan dari Golden Triangle Asian Elephant Foundation supaya penggembala menjaga mereka dengan baik dan tidak memberi tekanan kepada gajah-gajah yang terlibat dengan bisnes kopi ini.

Berapakah harga kopi Black Ivory ini? Harganya memang sangat mahal. Ianya dijual pada harga USD198 (lebih kurang RM877) untuk sepaket kopi seberat 35gram! Rasanya untuk secawan kopi anda perlu bayar lebih kurang RM150 bergantung kepada berapa pekat kopi yang anda mahu. Kalau untuk sekilo? Anda perlu membayar USD1,886 (lebih kurang RM8,340).

Blake Dinkin sedang menyediakan kopi premium Black Ivory kepada pelanggan (Photo: Taylor Weidman/Bloomberg)

Blake merancang untuk menghasilkan sehingga 150kg kopi ini sepanjang tahun 2017. Blake mendapat jemputan untuk mengembangkan bisnes kopi ini di Afrika dan negara Asean yang lain tetapi beliau mahu tumpukan perhatian di Thailand dahulu dan mengembangkan bisnesnya secara perlahan-lahan.

Blake kini sedang cuba untuk membawa kopi ini ke pasaran Eropah dan restoran dengan pengiktirafan Michelin. Dengan pasaran kopi premium yang semakin mengembang di Eropah, Black Ivory Coffee ini tidak akan mempunyai masalah untuk menembusi pasaran di sana. Anda penggemar kopi di luar sana? Sanggup anda belanjakan ratusan ringgit untuk mencuba secawan kopi Black Ivory ini?

Sumber