Ketika ramai berkongsi di media sosial gambar memaparkan anggota pasukan penyelamat kepenatan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di sini, tidak ramai yang tahu terdapat ‘hero’ lain turut mengalami keadaan sama.

Pendamping pasukan SAR iaitu anjing unit pengesan (K9) turut bertungkus lumus dalam operasi mengesan dan menyelamatkan mangsa insiden tanah runtuh sejak Jumaat lepas.

Mempunyai deria bau yang tajam, kehadiran ‘hero’ ini bagi membantu pasukan penyelamat di medan pencarian dalam apa jua keadaan – berlumpur tebal, lecak atau hujan.

Malangnya dalam operasi kritikal tanah runtuh itu, seekor anjing K9 daripada baka English springer spaniel yang diberi nama ‘Blake’ mengalami kepenatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata anjing itu ‘kecundang’ setelah dua hari berturut-turut bekerja bertungkus lumus dan kini direhatkan.

“Selepas dua hari bekerja lebih daripada masa yang ditetapkan, anjing pengesan itu kemungkinan perlukan rehat tetapi bukan cedera.

“Sebab itu, pada peringkat ini kita akan gerakkan secara bergilir-gilir bermula dengan tiga ekor dahulu, kemudian kita akan masukkan bakinya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Norazam berkata setakat ini terdapat 11 ekor anjing pengesan diletakkan dalam keadaan siap siaga di lokasi kejadian untuk membantu operasi dengan enam daripadanya milik JBPM, empat (Polis Diraja Malaysia) dan seekor (Angkatan Tentera Malaysia).

“Kita mungkin akan minta penambahan sekiranya perlu,” kata beliau kepada BERNAMA.

Setakat petang semalam, 24 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Jalan Genting-Batang Kali itu.

SAR bagi sembilan lagi mangsa yang belum ditemukan diteruskan hari ini bermula pada 9 pagi selepas ditamatkan pada 9 malam semalam.

Sumber