Soalan. Berapa kerap Tuan Puan membaca tentang makanan yang hype, tetapi kemudiannya ia mati. Hilang dari radar. Dilupakan.

Ini bukan sahaja melibatkan burger bakar, jeruk mangga asam boi atau kopi tepi jalan, tetapi juga premis-premis yogurt di pusat membeli belah. Ramai francaisi menangis akibat tiada pelanggan selepas makanan tidak lagi trending.

Ben Farhan pada bulan April 2016 pernah menulis bagaimana untuk ride-the-wave tanpa terjerut leher. Dalam artikel ini, beliau menulis cara-cara untuk masuk bisnes trend dengan selamat.

Saya memerhati bisnes Boat Noodle dengan penuh minat. Ketika bermula, sangkaannya ia adalah lagi satu bisnes hype atau fad yang akan berlalu pergi. Tetapi sehingga kini, premis-premis jenama ini masih dipenuhi pelanggan.

BACA: Bisnes Ikut Trend, Mahu Ikut Atau Mahu Tinggalkan?

Mengenali Boat Noodle

Boat Noodle diasaskan oleh Tony Lim. Beliau berasal dari keluarga bisnes, menjalankan perniagaan logistik di Asia Tenggara.

Ketika berumur 23 tahun, sejurus selepas mendapat ijazah kelas pertama dalam bidang automotif, beliau bercita-cita membuka bengkel sendiri.

Sebagai orang bisnes, ibu bapanya memberi sokongan penuh terhadap lelaki ini. Ibu Tony menulis cek bernilai RM150,000 untuk bermula, dengan syarat Tony haruslah membuktikan perniagaannya boleh berjaya.

Ayahnya berkata: “Ayah beri kamu dua tahun untuk bekerja mengikut minat kamu. Tetapi selepas dua tahun, sekiranya bisnes kamu tidak membuat keuntungan, ianya adil untuk meminta kamu pulang menguruskan bisnes keluarga.”

“Ayah beri kamu peluang ini agar kau tidak menyesal di kemudian hari.”

Selepas dua tahun, ternyata perniagaannya tidak untung. Beliau menjual bengkel tersebut pada harga RM80,000.

Dalam perniagaan keluarga, Tony sering terbang ke negara-negara Asia Tenggara.

Adik tamat belajar

Graduasi adik Tony menjadi momen yang penting dalam kisah hidup Tony. Adiknya tamat belajar pada tahun 2012 dan berminat menubuhkan bisnes F&B sendiri. Tony bersama-sama terlibat dalam usaha baru adiknya itu.

Tony bersama-sama adiknya dan seorang rakan kongsi menubuhkan Brands Management Ltd untuk menjadi francais induk jenama ChaTime di Kemboja. Pada September 2015, mereka sudah memiliki 23 cawangan dengan 250 tenaga kerja di sana.

Melihat kejayaan pasukan beliau di Kemboja, Tony kembali ke Malaysia untuk menubuhkan Utara 5 Food & Beverage Sdn Bhd pada 2014.

Idea beliau adalah untuk membangunkan satu jenama makanan yang sedap, berkualiti, menjadi buah mulut orang ramai, tetapi mempunyai sistem operasi yang ringkas tanpa bergantung kepada khidmat chef.

Dalam satu temuramah bersama-sama Radio BFM, Tony berkata, “Makanan yang bagus harus dipadankan dengan proses yang bagus untuk berkembang. Proses yang mudah.”

Maka, lahirlah idea beliau untuk melancarkan jenama Boat Noodle.

Hype tetapi berterusan

Soalan oleh wartawan BFM ini menangkap minat saya.

“Orang Malaysia terkenal dengan keberanian mereka mencuba makanan baru. Jadi apa anda akan buat apabila fad ini berlalu?”

Dan ini jawapan Tony.

1. Makanan ruji

“Mee adalah makanan ruji di Malaysia. Rakyat Malaysia menikmati mee ketika sarapan, makan tengah hari, minum petang, makan malam.”

“Mee bukanlah makanan baru. Ianya bukan seperti yogurt yang di luar kebiasaan diet kita,” kata Tony.

Familiarity atau kebiasaan bakal pelanggan menjadi faktor memilih menu utama perniagaan beliau.

2. Konsisten

Rasa dan kualiti makanan hendaklah konsisten. Makanan yang kadang kala sedap, kadang kala tidak, akan ‘dibunuh’ pasaran.

Untuk mendapatkan resipi sekarang, Boat Noodle membeli 5 resipi daripada 5 gerai berbeza di Thailand.

Kira-kira 80-85% ramuan yang digunakan adalah daripada bahan-bahan yang sama. Mana-mana bahan yang tidak boleh didapati di Malaysia, diganti dengan bahan lain yang lebih sesuai.

Boat Noodle mengadun ramuan-ramuan menjadi pes agar rasa kekal sama walaupun disediakan oleh kakitangan berbeza.

3. Tempatan

Pada satu ketika, 15 orang kawan Tony berada di Bangkok. Beliau membawa kawan-kawan merasa pelbagai jenis makanan di sana.

Dari situ, beliau mengetahui yang mana disukai oleh kawan-kawan dan yang mana tidak.

Tony mendapati rakan-rakannya lebih gemar bot sampan yang biasa berbanding bot sampan dari gerai popular di Thailand.

Lalu Tony dan pasukannya mengadun resipi mengikut tunas rasa rakyat Malaysia.

4. Keep it fun

Tony juga berkata amatlah penting untuk kekal segar dan seronok.

“Antara kedai makan mamak yang menggunakan daun pisang dan pinggan, yang mana lebih seronok? Tentulah yang menggunakan daun pisang. Saya makan di kedai daun pisang menggunakan tangan.”

“Ianya tentang mencipta pengalaman,” tegas Tony.

Di bawah pula adalah kesimpulan yang dibuat oleh saya dan kawan-kawan.

5. Harga

Hanya RM1.90 semangkuk. Risiko yang diambil oleh pelanggan baru untuk mencuba amatlah minima.

Apabila sudah rasa, ‘tersangkut’, pasti ada yang datang berkali-kali.

6. Jelas

Boat Noodle berdiri atas jenama yang jelas. Pelanggan ‘nampak’ apa yang bakal dihidangkan ketika nama Boat Noodle disebut, dan tahu apakah yang akan mereka dapat apabila mengunjungi premis syarikat ini.

Bermula ‘1 menu’, Boat Noodle mendapat visibility hasil daripada nama, menu dan perasaan yang hadir ketika makan di restoran mereka. Perkongsian di media sosial pelanggan-pelanggan tentulah membantu jenama ini naik lebih tinggi.

Boat Noodle tidak mempunyai menu-menu lain yang mengelirukan pelanggan. Hanya selepas fasa trending, dan jumlah pelanggan berada pada keluk yang betul, premis ini mula memperkenalkan menu-menu lain seperti nasi, kepak ayam dan tempura.

BACA: Bagaimana Membuka Kedai Makan Bermula 1 Menu Sahaja

7. Selesaikan masalah sebenar

Menurut Izwan Wahab, seorang pengkaji dunia bisnes, unique selling proposition (USP) boat Noodle adalah pelanggan boleh mencuba pelbagai jenis makanan.

Walaupun melekat sebagai satu menu, sebenarnya ia mempunyai banyak pilihan. Mee wantan, mee goreng dan kue teow dihidangkan dalam mangkuk kecil untuk dirasa serba sedikit.

Konsepnya tidak ubah seperti lauk pauk atau Nasi Minang, cuma dalam skala lebih kecil.

Menurut Izwan lagi model Boat Noodle ini menyelesaikan persoalan: “Nak makan apa tengah hari ini?”

“Pergi sahaja Boat Noodle, semua kau boleh makan,” katanya berseloroh sambil menutup perbualan.

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤