Selepas berjaya menambat hati rakyat Malaysia dengan pelbagai produk tenusu mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jenama Farm Fresh baru-baru ini dilaporkan mengambil satu lagi langkah baru apabila memutuskan untuk terlibat dalam sukan permotoran tempatan.

Penglibatan mereka itu difahamkan berlaku dengan penubuhan pasukan lumba motosikal Boss Susu Motorsport yang bertanding dalam kejohanan Malaysian Cub Prix musim ini seperti dilaporkan portal Tarmac Sport.

bos susu
pasukan bos susu motorsport , Foto: Facebook Azmi Zainal

Mengulas mengenai penglibatan mereka, bos Farm Fresh Azmi Zainal berkata mereka memang tidak pernah terlintas untuk menceburkan diri dalam arena permotoran sebelum ini.

Namun segalanya berubah apabila dia dihubungi sahabatnya Rosmaza Ramli yang juga merupakan bapa kepada dua pelumba pasukan Boss Susu Motorsports iaitu Harith Rosmaza dan juga Haziq Rosmaza.

“Saya lihat dua pelumba ini mempunyai bakat yang besar, mereka juga selalu menaiki podium. Wajar untuk saya beri peluang kepada mereka untuk terus berlumba kerana amat rugi jika bakat dan semangat mereka terkubur begitu saja.

“Dimana-mana pun saya selalu tekankan konsep kongsi rezeki. Dengan memasuki bidang ini, saya boleh berkongsi rezeki dengan semua yang terlibat.

“Buat masa ini kami akan lihat dahulu bagaimana perjalanan kejohanan ini untuk tahun ini dan akan mempertimbangkan segala kemungkinan bagi musim 2021,” jelasnya.

115823321_3191239474245324_5441073651991233457_n
pasukan bos susu motorsport , Foto: Facebook Azmi Zainal

Tambah Azmi lagi, pasukan tersebut juga dikuasakan produk terbaru mereka yang bakal dilancarkan September ini iaitu Café Latte Tongkat Ali.

Produk minuman tenaga pertama tanpa gula itu tambah beliau dilihat bakal menjadi signifikan kepada sukan permotoran yang disertai mereka ketika ini.

Jenama Farm Fresh sebelum ini berjaya mencipta fenomena tempatan dengan produk tenusu dan juga daging yang dipasarkan mereka sebelum ini. Baca perkongsian kami mengenai mereka sebelum ini di pautan di bawah.

Pernah Diperlekeh Naik Bas Jual Susu Segar, Jenama Farm Fresh Kini Raih Jualan Jutaan Ringgit Setahun

Bermula Dengan Produk Tenusu, Farm Fresh Kini Jual Daging Segar Premium Di AEON