Jika anda berada di media sosial sejak beberapa hari ini, topik mengenai Boss Susu dan sebuah syarikat tenusu tempatan mungkin menjadi antara yang hangat dibicarakan netizen dan sering membuat kemunculan di timeline anda ketika ini.

Ia susulan hantaran oleh seorang individu yang menyenaraikan pegangan saham syarikat berkenaan dan menjelaskan Boss Susu atau nama sebenarnya Azmi Zainal hanya mempunyai pegangan saham yang kecil dalam syarikat tersebut.

Menyedari perkara itu menjadi perbincangan netizen, Azmi Zainal pada pagi ini tampil menjawab perkara berkenaan melalui satu hantaran di akaun Facebook-nya.

“Ya, pegangan saham saya memang kecil, mana bisa orang yang dah down dalam bisnes dan meniaga di pasar malam punya banyak wang untuk memiliki saham yang besar. Pelaburan dalam industri tenusu pula ratusan juta.

“Selepas 11 tahun nilai syarikat kami melonjak berlipat kali ganda atas usaha keras kami. Alhamdulillah nilai share yang kecil itu jadi banyak juta nya,” jelasnya.

Pendedahan maklumat berkait pegangan syarikat pengeluar susu segar tempatan itu difahamkan mula berlegar-legar dan dikongsikan kembali netizen tidak lama selepas Azmi Zainal membuat satu perkongsian di Facebook-nya mengenai pengambilalihan sebuah kilang jem di Australia.

Hantaran pendedahan berkenaan kemudiannya dikongsikan kembali netizen dan tular sekaligus mencetuskan perbincangan panjang mengenai status pemilikan syarikat tenusu yang mengeluarkan antara jenama pilihan ramai di Malaysia itu.

Kecil tetapi bermanfaat

Walaupun hanya memiliki pegangan yang kecil dalam perusahaan berkenaan (seperti yang dibicarakan netizen) , Azmi bagaimanapun menjelaskan kejayaan terbesarnya  memberikan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat tempatan.

Tambah beliau, sepanjang terlibat dengan syarikat tenusu berkenaan, sebanyak ratusan peluang pekerjaan dan perniagaan telah diwujudkan mereka selama ini terutamanya kepada golongan luar bandar.

” 634 peluang pekerjaan dapat kami berikan, ramai anak-anak luar bandar di Muadzam mendapat manfaatnya.

“Bukan setakat jadi operator atau jaga lembu, tapi ramai yang kami angkat menjadi tenaga kerja professional, kami latih, kami didik mereka,” jelasnya.

Beliau dalam hantaran berkenaan turut berkongsikan perjalanannya bersama Farm Fresh sejak 2016 dan bagaimana mereka berjaya menjadi sebuah jenama susu yang digeruni pesaing.

Antara yang menjadi perhatian dalam perkongsian berkenaan adalah bagaimana mereka memasarkan produk serta membangunkan program keusahawanan membabitkan suri rumah yang dipanggil Home Dealer.

Mengulas lanjut mengenai pendedahan yang mengatakan dia mempunyai pegangan yang kecil bersama usahawan berbangsa lain, Azmi berkata dia berbangga dengan perkara berkenaan.

“Saya bangga boleh cerita dgn anak-anak saya bila kami bertemu bagaimana ayahnya berusaha meningkatkan pendapatan golongan B40.

“Tapi bagi saudara Aliff 111 mungkin dia bangga dan bilang pada anak dia ‘hari ini papa dah malukan Boss Susu, meh tengok kat FB ramai orang puji Papa sebab Papa pandai cari maklumat. Nanti Papa ajar anak-anak macam mana nak buat’.

“Alhamdulillah saya tak ajar anak saya begitu, saya ajar anak saya untuk jadi insan berguna agar boleh berbakti kepada negara,” jelasnya sambil mengucapkan terima kasih kepada masaryakat yang sentiasa menyokongnya sebelum ini.

Baca juga perkongsian kami mengenai perkembangan Boss Susu sebelum ini yang sentiasa menjadi perhatian dan inspirasi kepada netizen melalui pautan di bawah. 

Dari Malaysia Ke Australia, ‘Boss Susu’ Kongsi Kisah Ambil Alih Kilang Jem Terkenal

Bermula Dengan Produk Tenusu, Farm Fresh Kini Jual Daging Segar Premium Di AEON

Pernah Diperlekeh Naik Bas Jual Susu Segar, Jenama Farm Fresh Kini Raih Jualan Jutaan Ringgit Setahun

Anda Mungkin Suka