Pelakon yang juga ahli perniagaan, Boy Iman dan tiga individu lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hooray X Fest Raya, minggu lalu.

Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, 43, Norazah Sahud, 51, Norzana Rapie, 51, dan Nor Azmi Jantan, 49, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abdul Halim.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menipu Siti Wardina Basir, 21, dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan dan penyewaan tapak perniagaan sempena festival Hooray X Fest Raya sehingga mendorong wanita itu menyerahkan wang RM1,500.

Bagi kesalahan berkenaan, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Sumber Gambar: Harian Metro

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh.

Namun keempat-empat tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Syakir Mohamad Fauzi dan Earnest Azad memohon ikat jamin paling rendah kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Jun depan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh berusia 23 tahun tidak dituduh bersama kerana dimasukkan ke hospital.

Difahamkan, lelaki itu yang juga pengarah syarikat akan didakwa sebaik keluar hospital.